?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 16
Ayat: 42-44 : Tajuk: Hikmah Ilahiyyah Dari Bantuan Allah Sebelum Perang Badar Bermula
? Firman Allah serta terjemahannya:
إِذۡ أَنتُم بِٱلۡعُدۡوَةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُم بِٱلۡعُدۡوَةِ ٱلۡقُصۡوَىٰ وَٱلرَّكۡبُ أَسۡفَلَ مِنكُمۡۚ وَلَوۡ تَوَاعَدتُّمۡ لَٱخۡتَلَفۡتُمۡ فِي ٱلۡمِيعَٰدِ وَلَٰكِن لِّيَقۡضِيَ ٱللَّهُ أَمۡرٗا كَانَ مَفۡعُولٗا لِّيَهۡلِكَ مَنۡ هَلَكَ عَنۢ بَيِّنَةٖ وَيَحۡيَىٰ مَنۡ حَيَّ عَنۢ بَيِّنَةٖۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ (٤٢)
(Iaitu) ketika kamu berada di tepi lembah yang dekat (ke Madinah) dan mereka (pihak musuh) berada di tepi lembah yang jauh (dari Madinah), sedang kafilah (pembawa dagangan musuh) berada di tempat yang rendah daripada tempat kamu (di tepi laut). Dan kalaulah kamu berjanji (dengan mereka mengenai peperangan itu) nescaya kamu akan berselisih pada menentukan harinya. Akan tetapi (pertemuan angkatan kamu dengan angkatan mereka yang tidak disangka-sangka itu) ialah supaya Allah melakukan suatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya); kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
إِذۡ يُرِيكَهُمُ ٱللَّهُ فِي مَنَامِكَ قَلِيلٗاۖ وَلَوۡ أَرَىٰكَهُمۡ كَثِيرٗا لَّفَشِلۡتُمۡ وَلَتَنَٰزَعۡتُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ سَلَّمَۚ إِنَّهُۥ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ (٤٣)
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya; dan kalaulah Ia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan (perang) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
وَإِذۡ يُرِيكُمُوهُمۡ إِذِ ٱلۡتَقَيۡتُمۡ فِيٓ أَعۡيُنِكُمۡ قَلِيلٗا وَيُقَلِّلُكُمۡ فِيٓ أَعۡيُنِهِمۡ لِيَقۡضِيَ ٱللَّهُ أَمۡرٗا كَانَ مَفۡعُولٗاۗ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ (٤٤)
Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkan-Nya sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
? Tafsir ringkas:
1. Dalam ayat-ayat yang sebelum ini, telah disebutkan juga tentang Hari Furqan iaitu Perang Badar. Pada ayat ini, Allah menjelaskan lagi tentang peperangan tersebut. Iaitu ketika kaum muslimin berada di tepi kawasan Madinah yang berpasir dan tiada sumber air pada awalnya, manakala kaum musyrikin menunggu di lembah yang lebih jauh dari Madinah tetapi mempunyai sumber air. Memang asalnya mereka berada di kedudukan yang lebih baik berbanding kaum muslimin. Ketika tentera muslimin sampai ke Badar, rombongan perniagaan Abu Sufyan sudah agak jauh dari mereka. Abu Sufyan telah mengetahui tentang rancangan kaum muslimin untuk menangkap kafilahnya, maka ia telah melarikan diri lebih awal mengikut jalan pantai.
2. Allah SWT menjelaskan lagi, jika kaum muslimin dan kaum musyrikin berbincang untuk bertemu di sesuatu tempat, mereka pasti tidak akan mencapai kata persetujuan. Walaupun ada daripada kalangan kaum muslimin yang tidak mahu berperang, tetapi Allah SWT telah menentukan bahawa Perang Badar pasti akan berlaku pada waktu yang tepat seperti yang telah ditentukan-Nya.
3. Di akhir ayat 42 Allah SWT menegaskan bahawa Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh manusia, sama ada baik atau jahat. Allah mengetahui kedudukan manusia, siapa yang layak dimatikan dan siapa yang layak diselamatkan.
4. Pada ayat 43 pula diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah bermimpi berkenaan apa yang akan terjadi semasa Perang Badar itu. Akan tetapi dalam mimpi Nabi SAW, bilangan orang kafir tidak ramai. Allah SWT menampakkan pihak musuh itu sedikit agar Nabi SAW dan para sahabat tidak takut untuk berperang. Allah menyelamatkan mereka daripada membuat keputusan yang akan memudharatkan mereka. Allah SWT melakukan semua itu kerana Dia Maha Mengetahui segala isi hati manusia.
5. Pada ayat 44 pula, Allah SWT menjelaskan lagi keadaan sebenar yang berlaku ketika Perang Badar itu. Allah SWT menampakkan tentera musyrikin Mekah itu sedikit sahaja di mata tentera Islam ketika mereka bertempur. Padahal musuh mereka ketika itu berjumlah seribu orang, tiga kali ganda dari jumlah tentera muslimin. Begitu juga Allah SWT menampakkan tentera muslimin di mata tentera musyrikin dengan bilangan yang sedikit. Ini semua terjadi dengan pertolongan Allah SWT.
6. Hikmah Allah SWT menampakkan sedemikian di setiap pihak adalah agar kedua-dua kumpulan tentera berasa yakin, teruja dan bersemangat untuk bertempur dan mengalahkan lawannya. Namun, apabila pertempuran hebat sedang berlaku, Allah SWT menampakkan bilangan tentera Islam dua kali ganda lebih ramai di mata tentera musyrikin, hingga akhirnya menyebabkan mereka gerun dan kucar kacir sehingga membawa kepada kekalahan. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam ayat 13 surah Ali Imran.
? Pengajaran
1. Teruskanlah berdoa serta bermunajat agar Allah mengizinkan syiar Islam benar-benar dapat ditegakkan di bumi Malaysia yang kita cintai ini.
2. Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah. Yakinlah dengan rahmat serta pertolongan Allah sentiasa ada bersama orang-orang yang istiqamah menjaga kemuliaan serta kesucian Islam.
3. Berserahlah kepada Allah SWT dengan penuh tawakkal serta ketaqwaan kepadaNya. Semua urusan kita di dunia ini dikembalikan hanya kepada Nya, dan Dia yang memisahkan yang baik dengan yang buruk dan menghukum makhluk-makhluk-Nya dengan keputusan-Nya yang sangat adil.
4. Bersyukurlah dengan segala nikmat dan juga ujian yang Allah turunkan buat kita kerana setiap apa yang telah ditetapkan oleh Allah adalah yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.
5. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran istimewa buat semua penolong agamaNya. Bermujahadahlah dengan penuh semangat berpaksikan keimanan yang teguh dalam gerak kerja amar ma’ruf nahi munkar.
? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Katsir
2. Fiqh Al-Harakah
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
28 April 2021 / 16 Ramadhan 1442
#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal