Oleh UMMU NIDHAL
TELUK INTAN 26 Apr: Petugas barisan hadapan atau lebih dikenali sebagai ‘Frontliner’, wajar dipuji dan dihargai diatas usaha gigih mereka mendepani penularan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.
Demi memikul amanah yang diberi,mereka sanggup mempertaruhkan nyawa hanya untuk memastikan wabak merbahaya itu terkawal sejak dari awal ia menular dalam negara.
Bagi menghargai jasa dan penat lelah mereka, Dewan Muslimat PAS (DMPK) Teluk Intan dengan penuh rasa penghargaan telah menyantuni golongan frontliners yang bertugas di sekitar daerah Teluk Intan.
Bermula jam 5.30 petang, bungkusan makanan, minuman dan buah tamar telah diagihkan beberapa lokasi petugas antaranya di Balai Polis, Bomba dan petugas Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Daerah serta Klinik Kesihatan Teluk Intan.
Ketua DMP Teluk Intan, Puan Robi’atun Mohd Abas berkata,
“Objektif program ini diadakan adalah bagi menghargai jasa dan penat lelah para petugas barisan hadapan yang sentiasa bersiap sedia menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan masyarakat awam terjaga dengan baik.
“Disamping itu, ia dapat mengeratkan lagi jalinan silaturrahim antara agensi terbabit dengan PAS Teluk Intan,” tambah beliau.
DMPK Teluk Intan berharap ia dapat menyuntik semangat para petugas untuk terus berkhidmat sehingga negara kita bebas daripada virus ini.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, Puan Hamisah Abas, TYDP, Rostam Malik, dan AJK PAS Kawasan Zamzuri Din sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni tersebut.