?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 14
Ayat 38 – 40 : Tawaran kepada orang-orang kafir agar beriman
? Firman Allah serta terjemahannya:
قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ إِن يَنتَهُواْ يُغۡفَرۡ لَهُم مَّا قَدۡ سَلَفَ وَإِن يَعُودُواْ فَقَدۡ مَضَتۡ سُنَّتُ ٱلۡأَوَّلِين (۳٨)
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ انْتَهَوْا فَإِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (۳٩)
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (daripada kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.
وَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَىٰكُمۡۚ نِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ (٤٠)
Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka ketahuilah bahawasanya Allah pelindung kamu; Dia lah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).
? Tafsir ringkas:
1. Pada ayat sebelum ini Allah SWT menyatakan hakikat amalan orang- orang kafir. Seterusnya Allah SWT menawarkan agar mereka menerima Islam.
2. Allah SWT memerintahkan kepada Nabi SAW agar mengajak kaum musyrikin berhenti menentang Islam dan masuk ke dalam Islam. Sebagai ganjarannya segala dosa mereka akan terhapus. Allah mengingatkan agar mereka tidak mengikuti jejak orang terdahulu yang kekal dalam kekufuran.
3. Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW dan umat Islam agar terus memerangi orang kafir sehingga tidak ada lagi fitnah berlaku. Fitnah yang dimaksudkan adalah perbuatan syirik dan segala kesannya.
4. Jika mereka terus memerangi Islam, maka ketahuilah bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.
? *Pengajaran:*
1. Bertaubatlah, kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Walaupun manusia berterusan melakukan maksiat di muka bumi ini, Dia tetap memberi keampunan setiap kali hamba-Nya bertaubat.
2. Janganlah keterlaluan dalam menilai manusia, kerana hanya Allah SWT sahaja yang tahu setiap isi hati hamba-Nya. Tugas kita hanyalah mengajak kepada kebaikan dan menjauhi segala larangan Allah SWT.
3. Membebaskan manusia daripada mensyirikkan Allah SWT adalah tanggungjawab semua Muslim. Berjuanglah dalam apa juga lapangan, dengan menggalas peranan ini setiap masa.
4. Mohonlah perlindungan daripada Allah SWT sentiasa. Persediaan fizikal yang ada hanyalah alat untuk membawa ke arah kejayaan, hakikatnya Dialah Yang Maha Memelihara segala-galanya.
? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
26 April 2021 / 14 Ramadhan 1442
#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal