Oleh: Muhammad Hadi
ARAU : Di sebalik pelbagai desas-desus mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis terus mengorak langkah memperkukuh muafakat yang sedang terjalin bersama-sama dengan sayap pemuda daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Semalam, telah diadakan pertemuan antara saf kepimpinan DPPNPs dan Pergerakan Pemuda UMNO Perlis bertempat di Pejabat DPPNPs di SRI Al Furqan, dekat sini.
Ketua Pemuda PAS Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan Ketua Pemuda UMNO Perlis Harmizan Abd Halim adalah antara yang hadir dalam program berkenaan.
Intipati utama perbincangan menjurus ke arah agenda penyatuan ummah dengan usaha ke arah memperkukuhkan MN menjadi fokus utama.
Turut disentuh adalah isu daftar pemilih serta program-program kepemudaan.
Muhammad Azmir ketika dihubungi semalam menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai amat positif.
“DPPNPs komited untuk terus memacu usaha ke arah memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) di samping mempertahankan Perikatan Nasional (PN) agar matlamat penyatuan ummah dapat kita realisasikan demi Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.
Sebelum ini, pertemuan yang sama turut diadakan bersama dengan barisan kepimpinan ARMADA Perlis yang diterajui ketuanya Syazwan Fahmi Badrul Sham.