PERAK MENEROKA INOVASI PERTANIAN – RAZMAN
IPOH, 07/03/2021-
Menghasilkan makanan sendiri semakin disedari kepentingannya ekoran dari wabak covid19 yang melanda seluruh dunia. Akibat daripada itu kegiatan import eksport semakin terhad kerana kekangan perjalanan menjadikan harga barangan semakin meningkat kerana proses imbangan bekalan dan permintaan yang tidak sekata.
Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri Perak di bawah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memulakan inisiatif bagi menggalakkan penduduk mengeluarkan makanan menerusi produk pertanian yang ditanam sendiri.
Inisiatif tersebut direalisasikan dengan program pertanian bandar yang diperkenalkan PPPNP bagi membolehkan penduduk yang tidak mempunyai tanah seperti di bandar-bandar turut terlibat dengan penghasilan makanan khususnya dalam bentuk pertanian.
Hari ini sejumlah 500 bantuan set kelengkapan ‘kebun kita’ yang antaranya terdiri dari benih sayuran, baja, tanah kompos dan lain-lain disediakan oleh PPPNP untuk serahan kepada penduduk rumah pangsa Jalan hospital, Ipoh bagi mencapai hasrat tersebut.
Program penyerahan diadakan di Dewan Greentown telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Y.A.B MB) Perak Dato’ Saarani Mohamad dengan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Tuan Haji Razman Zakaria.
Sementara itu Razman ketika berucap dalam program tersebut menekankan betapa pentingnya inovasi pertanian dikembangkan bukan sahaja dalam bentuk konvensional, tetapi mencakupi teknik-teknik baru akibat saiz pemilikan tanah yang semakin mengecil demi memenuhi keperluan industri makanan dan juga jaminan keselamatan bekalan makanan itu sendiri.
Beliau turut menyentuh tentang idea yang dicetuskan suatu ketika dulu oleh mantan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Junid berkenaan cadangan penanaman padi di atas bumbung.
Walaupun perkara itu belum direalisasikan namun menurutnya, itu menunjukkan suatu pemikiran yang memandang jauh tentang keadaan keperluan masa depan berkait industri pertanian yang mula disedari hari ini.
Perkara itu turut dipersetujui oleh Y.A.B MB dalam ucapan perasmiannya di mana beliau menyatakan negara Taiwan telah melaksanakan konsep ‘tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam’ demi mengelakkan kebergantungan terhadap negara lain.
Beliau yang satu ketika dulu pernah memegang jawatan sebagai Exco Pertanian turut mengimbau kenangan sewaktu melawat Taiwan di mana penghasilan padi turut dilakukan di rumah-rumah dalam negara tersebut selain sayur-sayuran seperti tomato dan sebagainya.
Walaupun dalam skala yang kecil tetapi apabila dilaksanakan secara menyeluruh Taiwan mampu mengeluarkan padi dan menghasilkan beras yang cukup untuk negara mereka malahan terdapat produk beras Taiwan yang dieksport ke luar negara ujarnya lagi.
Program diakhiri dengan penyerahan set kelengkapan kebun kita kepada wakil penduduk, demonstrasi penanaman oleh Jabatan Pertanian dan tuaian hasil sayuran oleh Menteri Besar yang ditanam di tapak ‘urban farming’ flat tersebut.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Datuk Bandar Ipoh Dato Hj Rumaizi Baharin @ Md Daud, Pengarah Pertanian Perak Puan Norsiyenti Othman, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP Tuan Haji Yahanis Yahya serta dif-dif jemputan yang lain.