Home Minda Presiden

Perpaduan Ummah: Perpaduan Islam Dan Perpaduan Manusia

3282
SHARE


Minda Presiden PAS
PERPADUAN UMMAH: PERPADUAN ISLAM DAN PERPADUAN MANUSIA


Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW menjadikan seluruh manusia adalah umatnya. Para ulama’ membahagikan konsep umat kepada dua kumpulan;

Pertama, ummah ijabah, dinamakan kepada mereka yang menganut Islam tanpa paksaan.

Kedua, ummah dakwah iaitu seluruh kelompok manusia, termasuklah daripada kalangan bukan Islam. Walaupun berbeza agama dan fahaman, namun mereka diajak untuk bernaung di bawah Islam yang adil kepada semua dan bersikap rahmat kepada seluruh alam yang menjadi tujuan kerasulan akhir zaman.

Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ١٠٧﴾

“Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad SAW), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)

Surah al-Hujurat menunjukkan ‘Road Map’ Perpaduan Ummah yang paling unggul mengikut petunjuk Allah SWT.

Pada muqaddimah surah tersebut, Allah SWT telah memerintahkan orang yang beriman agar jangan melampaui perintah Allah SWT dan petunjuk pelaksanaannya yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ  وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ١ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ٢﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya; dan bertaqwalah kalian kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1); Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian mengangkat suara kalian melebihi suara Nabi, dan janganlah kalian menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana sebahagian daripada kalian menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan sebahagiannya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kalian tidak hapus pahala kalian, sedang kalian tidak menyedarinya. (2).” (Surah al-Hujurat: 1-2)

Setiap orang yang beriman percaya kepada Allah yang Maha Esa, lagi Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Bijaksana, Maha Rahmat dalam segala hukum dan urusan-Nya.

Allah SWT Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, bukan sahaja sebagai Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Adapun Rasulullah SAW merupakan pilihan Allah SWT yang membawa petunjuk dan menjadi contoh teladan terbaik melalui acuan wahyu.

Setelah itu, Allah SWT memberikan amaran agar jangan terpengaruh dengan perkara lain, khususnya berita palsu dan bohong kerana ia akan merosakkan diri sendiri. Firman-Nya mengenai perkara tersebut:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian, orang fasiq membawa suatu berita, maka selidikilah ia dengan teliti agar kalian tidak menimpakan suatu musibah ke atas satu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang sebenar, lalu menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan kalian tersebut.” (Surah al-Hujurat: 6)

Berita bohong boleh merosakkan ilmu yang bermanfaat, khususnya menyebabkan manusia terpesong daripada petunjuk Allah SWT. Bahkan ia juga boleh merosakkan hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.

Manusia diciptakan wajib hidup bermasyarakat dan bertamadun. Sekalipun mereka diciptakan dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya yang berbeza, namun mereka tetap bersatu atas konsep kemanusiaan.

Mereka tidak mampu hidup bersendirian dan berasingan tanpa berhubung antara satu sama lain, sama ada diurus atau terpaksa secara tabii. Maka, di sinilah perlunya konsep perpaduan masyarakat majmuk dan madani.

Berpolitik atau bernegara ialah ciri terpenting bagi memakmurkan bumi dengan adil dan saksama mengikut hikmah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ketika menciptakan manusia. Sebagaimana firman Allah SWT kepada para malaikat:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakkan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Hanya manusia yang berperanan untuk memakmurkan bumi, kerana ciri-ciri fitrahnya yang mempunyai jasad, akal, roh dan hidup bermasyarakat. Fitrah penciptaan yang tiada pada makhluk yang lain.

Rasulullah SAW menegakkan negara dengan mendahulukan konsep perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk, bermula dengan menyatukan umat Islam.

Misi perpaduan ummah dilakukan oleh Rasulullah SAW setelah berjaya mengumpulkan orang-orang yang memeluk Islam dan beriman di Makkah. Begitu juga selepas berjaya berdakwah dan mengIslamkan suku Aus dan Khazraj yang menetap di Madinah serta beberapa suku kaum yang kecil dan beberapa orang individu.

Maka, Allah SWT menegaskan konsep perpaduan dengan mendahulukan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu, sebagaimana yang disimpulkan oleh firman-Nya:

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ١٠﴾

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

Iman menjadi syarat pertama bagi menyatukan umat sebelum aspek ilmu dan akhlak yang mencipta syakhsiyah. Tanpa keimanan, maka integriti seseorang itu hanyalah suatu pembohongan dan penipuan. Syarat beriman menjadi rukun terpenting dalam konsep persaudaraan Islam.

Kemudian ayat seterusnya menegaskan bahawa hubungan seluruh manusia dalam masyarakat majmuk merupakan ciri kemanusiaan secara naluri. Perkara ini dinyatakan melalui firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ  إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian dalam pelbagai bangsa dan bersuku-suku, supaya kalian saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya, semulia-mulia manusia dalam kalangan kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kalian, (bukan yang lebih dari sudut keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Ayat ini mentafsirkan firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya (Adam AS dan Hawwa AS) Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebutkan nama-Nya, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

Rasulullah SAW memulakan langkah perpaduan umat Islam yang menjadi tonggak bagi memimpin manusia. Baginda SAW menggabungkan golongan yang beriman dan diperintah untuk berhijrah ke Madinah iaitu golongan Muhajirin dengan suku Aus dan Khazraj yang menetap di Madinah dinamakan Ansar.

Mereka disatukan dengan perpaduan sesama Islam berteraskan prinsip persaudaraan iman, yang menghapuskan kebanggaan diri, fanatik perkauman dan kekeluargaan yang menjadi kebanggaan bagi bangsa Arab.

Seterusnya perpaduan itu disertai oleh golongan bukan Islam yang terdiri daripada kaum Yahudi, Kristian, Majusi dan lain-lain yang bersedia berada di bawah kepimpinan Islam. Hal yang demikian kerana, setelah beberapa lama mereka berada di bawah kepimpinan agama dan kaum sendiri yang tidak mampu menyelesaikan masalah dalaman, apatah lagi masalah dengan pihak lain.

Perpaduan tersebut dimeteraikan melalui satu perjanjian yang dinamakan dengan Sahifah Madinah. Kemudian secara rasmi nama Yathrib atau Taibah diubah kepada Madinah. Perubahan nama yang sinonim dengan pembentukan masyarakat madani.

Perkataan madinah sama ada diambil daripada perkataan al-Din, nama yang disandarkan kepada Islam yang sempurna, atau perkataan Tamaddun yang seerti dengan perkataan Hadarah. Perkara ini menggambarkan sifat manusia yang berkumpul dan memajukan negara dengan ilmu.

Selain itu, mereka bermasyarakat dengan menjalinkan hubungan sesama manusia dalam menghasilkan keperluan kehidupan yang tidak boleh dicapai secara individu, mahupun kelompok yang tertentu sahaja.

Ibn Khaldun RH menyebutkan contoh keperluan makanan, pakaian dan rumah kediaman yang memerlukan sumber yang pelbagai dan kepakaran yang berbeza untuk dipenuhi semua keperluan tersebut. Termasuklah memerlukan pekerjaan yang berlainan dan wajib digabungkan dalam kerjasama dan pertukaran. Maka, manusia itu wajib bermasyarakat madani. Perpaduan sesama mereka adalah sangat penting, sama ada mereka mahu atau tidak.

Masyarakat wajib menegakkan negara (politik) yang dipimpin oleh Islam. Negara yang berkebajikan kepada semua, bercirikan iman, Islam, ihsan, berdaulat dan berwawasan akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ٤١﴾

“Iaitu mereka (umat Islam) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (bernegara), nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah daripada perbuatan yang munkar; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Prinsip dan konsep yang ditunjukkan oleh al-Quran telah berjaya menubuhkan sebuah negara masyarakat madani dan majmuk yang terbesar dalam sejarah manusia. Adapun kejatuhan umat Islam pada zaman mutakhir berlaku setelah Islam tidak lagi diamalkan oleh penganutnya sendiri.

Adalah menjadi satu hikmah yang besar, apabila penjajah British yang menakluk negara ini telah mewujudkan masyarakat majmuk yang bertujuan negatif pada permulaannya. Tujuan mereka untuk mengadu domba rakyat bagi menjana kekuatan politik mereka dan melangsungkan agenda kolonialisme politik serta ekonomi. Di samping itu, bagi memperhambakan rakyat dan mengaut hasil bumi dengan mudah apabila masyarakat majmuk yang bertelagah menjadi khadam kepada mereka buat selama-lamanya.

Para pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan pada zaman mutakhir, telah memilih konsep demokrasi yang diperkenalkan dalam Pilihan Raya Umum Pra-Kemerdekaan yang diadakan pada tahun 1955. Parti yang menang mendapat kerusi dalam pilihan raya itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Sama ada, parti daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Parti Perikatan yang terdiri daripada gabungan parti UMNO, MCA dan MIC telah berjaya membentuk kerajaan. PAS merupakan satu-satunya parti pembangkang. Pemimpin parti ini telah menerima dasar Perlembagaan Persekutuan yang telah digubal melalui memorandum dan bantahan yang berakhir dengan satu asas masyarakat majmuk yang berteraskan tiga perkara berikut:

  1. Islam agama bagi Persekutuan dan menerima hak penganut agama lain.
  2. Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang mendominasi masyarakat majmuk.
  3. Menerima hakikat kewujudan kaum lain.

Penerimaan perlembagaan itu menandakan terbentuknya suatu masyarakat majmuk. Pada masa yang sama, termeterainya satu perjanjian yang bersifat kontrak sosial yang mengandungi konsep umum yang boleh dilakukan pembaharuan dan penambahbaikan.

Bahkan dalam sejarah kita, pernah berlaku pindaan perlembagaan yang mendatangkan hasil positif dan juga yang negatif. Ambil yang positif, dan tinggalkan yang negatif. Perubahan itu berlaku kerana situasi yang turut berubah.

Perkara yang terpenting sekarang ialah menyatukan parti-parti Melayu- Islam yang mempunyai titik persamaan terhadap konsep perlembagaan, dan juga parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan bersama menerima asas perlembagaan.

Maka, dengan tegas semua parti yang merancang ke arah merungkaikan prinsip perlembagaan yang nyata bersifat ekstrem terhadap Islam dan kepimpinannya mesti ditolak. Dan sekali-kali tidak mengiktiraf mana-mana parti yang bersekongkol bersama kelompok tersebut.

Maka, perpaduan ummah inilah gabungan baru yang diusahakan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) dan penganjuran Kongres Maruah Melayu, secara khusus telah menggabungkan tiga parti Melayu-Islam iaitu UMNO, PAS dan BERSATU. Kemudian disertai oleh parti bumiputera majmuk Sarawak dan Sabah serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem dalam gabugan Perikatan Nasional (PN).

Matlamat kita ialah menjayakan agenda besar perpaduan ummah dalam kalangan mereka yang mempunyai persamaan konsep, bukan hanya terhad kepada parti tertentu atau kaum tertentu, dan jauh sekali semata-mata untuk kepentingan orang tertentu.

Kita menolak semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda hendak merungkai asas penting daripada petunjuk Islam yang telah wujud dalam perlembagaan, sehingga mereka bermatlamat untuk meminggirkan Islam dan kepimpinan Islam.

Petunjuk kita berpandukan al-Quran yang diwahyukan daripada Allah SWT. Adapun teladan kita pula ialah Rasulullah SAW, bukan mengambil contoh daripada ciptaan asing yang disifatkan dengan falsafah dan semuanya berakhir dengan menyampah. Ikutilah firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ٤٥ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ  وَاصْبِرُوا  إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ٤٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kalian bertemu pasukan (musuh), maka teguhkanlah hati kalian dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kalian mendapat kemenangan. (45); Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kalian saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kalian menjadi gentar dan hilang kekuatan kalian. Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. (46).”  (Surah al- Anfal: 45-46)

Belajarlah dengan al-Quran, bukan belajar dengan media sosial yang berakal bebal tanpa petunjuk Ilahi. Media kini lebih digunakan menjadi senjata musuh yang menyesatkan kita daripada jalan Allah. Bahkan banyak yang bergelumang dengan dosa, kerana dosa dan pahala tiada lagi dalam perhitungan mereka .

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Rajab 1442 / 3 Mac 2021