MUHAMMAD HAKIM AL-HASHIMI
WANGSA MAJU : Kesepaduan Perikatan Nasional semakin terserlah di Parlimen Wangsa Maju apabila kepimpinan PAS dan BERSATU bersama menjalankan Program Isi Minyak Motor yang berlangsung di Petronas Taman Setapak Indah, di sini hari ini.
Program ini bertujuan mewujudkan jalinan ukhuwah dan strategi politik antara kedua-dua parti yang turut merancang untuk mengadakan pelbagai program bersama bagi meneguhkan sokongan rakyat.
Turut hadir ialah pimpinan kedua-dua parti, mewakili PAS ialah Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Mohd Azmi Yusof dan Naib Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Mahfuzan Gaddafi.
Manakala BERSATU diwakili Ketua BERSATU Bahagian Wangsa Maju, Sdr Ridzal Ghazalee serta beberapa ahli jawatankuasanya.
“Dengan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN), insya Allah ada titik pertemuan supaya berlakunya pertembungan satu lawan satu antara kerajaan atau PN dan sekutunya apabila bertembung Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang”, kata Azmi Yusof.
“PAS yang mengambil prinsip ‘Perkukuhkan Perikatan Nasional dan Perkasakan Muafakat Nasional’ akan bertindak sebagai orang tengah bagi menjernihkan hubungan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Umno demi menghadapi PRU-15 kelak.
“Pada masa yang sama, penganjuran aktiviti seumpama ini dapat mengukuhkan lagi Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional di samping mendekatkan MN/PN dengan rakyat, khasnya penduduk setempat”, tambah Azmi.