Oleh : Sabrina Ab Rahim
BATU : Program ‘MyFood@Wilayah’ anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 1 Parlimen Batu telah berjaya dijalankan di Perumahan Awam Seri Perak baru-baru ini.
Program ‘MyFood@Wilayah’ ini merupakan satu inisiatif pihak berkuasa untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Wilayah Persekutuan.
Lebih 550 buah keluarga yang menetap di Perumahan Awam Seri Perak tersebut telah menerima bantuan berupa barangan keperluan dapur untuk sesi penyerahan kali ini.
Turut serta dalam aktiviti penyerahan bantuan tersebut adalah Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandarayat Kuala Lumpur (DBKL), Ustaz Azhar Yahya, Pengerusi MPP Parlimen Batu, Ghulam Muszaffar, Timbalan Pengerusi MPP Parlimen Batu, Shamsuddin Yaakob dan Pengerusi MPP Sub Zon 2, Ustaz Abu Bakar Abdul Rahman dan jawatankuasa MPP yang lain.
Menurut Ustaz Azhar Yahya yang juga Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), pelaksanaan program ‘MyFood@Wilayah’ ini merupakan satu usaha baik yang dapat memupuk sikap peduli sesama penduduk setempat dan pihak berkuasa.
Beliau turut menghargai keterlibatan banyak pihak dalam penganjuran aktiviti seperti ini supaya lebih ramai golongan yang memerlukan dapat disantuni.
Program ini juga turut melibatkan kerjasama Yayasan Himmah Malaysia, Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduk Seri Perak, Madrasah Al-Khairiah Seri Perak, Kelab Rukan Tertangga (KRT), Kelab Belia Seri Perak dan Persatuan Kebajikan Bakti Wilayah Persekutuan.
Seramai 70 orang petugas telah terlibat secara langsung pada hari kejadian.
Bantuan diagihkan mengikut blok perumahan dan penduduk terlibat telah turun mengambil bantuan tersebut mengikut garis panduan norma baharu yang ditetapkan.