Home Minda Presiden

Perpaduan Umat Berdasarkan Acuan Allah SWT

1259
SHARE

Minda Presiden PAS

PERPADUAN UMAT BERDASARKAN ACUAN ALLAH SWT


Rasulullah SAW sebelum kewafatannya, telah menyampaikan satu wasiat melalui sabdanya:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ.

“Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama-lamanya selepasku (wafat), selagi mana kalian berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya (ajaranku).” (Riwayat Malik 2618)

Pesanan yang diriwayatkan oleh para ulama’ itu telah dirakamkan melalui hafazan dan tulisan, sepatutnya ditanam di dalam diri setiap Muslim dan umatnya supaya dihayati dalam kehidupan di alam dunia ini. Kehidupan yang sangat mencabar daripada segenap penjuru.

Petunjuk Rasulullah SAW adalah sangat sempurna yang merangkumi segala aspek kehidupan beragama dan bermasyarakat. Khususnya dalam perkara yang menjadi perbincangan sekarang iaitu masalah perpaduan umat.

Banyak pendekatan yang diperkenalkan di seluruh dunia. Ada yang mengambil konsep perkauman, politik, ekonomi, wilayah, dan lain-lain secara berasingan. Mereka menubuhkan gagasan masing-masing dengan pelbagai jenama.

Islam membawa mesej berkonsepkan sejagat dan mempunyai pendekatan yang tersendiri mengikut petunjuk al-Quran dan pelaksanaan Sunnah Rasulullah SAW yang konsisten dan anjal. Kedua-duanya telah berjaya dilaksanakan dalam masyarakat majmuk, walaupun pada zaman tersebut belum wujud kemudahan perhubungan seperti zaman kini.

Perpaduan yang digariskan oleh Islam berteraskan konsep Islam memimpin, persaudaraan dan adil kepada semua mengikut fitrah kejadian manusia. Walaupun wujud kepelbagaian dan perbezaan, namun semua pihak boleh bersatu atas titik persamaan dan bertasamuh (bertoleransi) dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian.

Konsep Islam memimpin perlu didahulukan, dengan kuasa pemerintahan Islam yang berdaulat. Maka kekuatan umat Islam itu sendiri hendaklah diperkukuhkan, berkonsepkan firman Allah SWT:

﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠﴾

“Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada melakukan perkara yang ma’ruf, dan mencegah daripada perkara yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, terdapat dalam kalangan mereka, golongan yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah Ali ‘Imran: 110)

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ١٠﴾

“Sesungguhnya mereka yang beriman itu bersaudara. Maka disebabkan itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat-Nya.” (Surah al-Hujurat: 10)

Maka Rasulullah SAW telah mengambil langkah untuk menjayakan usaha penyatuan umat Islam, dengan mendahulukan konsep persaudaraan iman bersama prinsip amar ma’ruf dan nahi munkar yang termasuk dalam ciri-ciri sifat taqwa. Sebaik sahaja berlaku hijrah, Baginda SAW terlebih dahulu mempersaudarakan penganut Islam. Mereka terdiri daripada kalangan Muhajirin yang datang ke Madinah dan kumpulan Ansor, gabungan suku Aus dan Khazraj yang bersatu setelah berperang sebelum Islam.

Konsep persaudaraan seagama Islam adalah berprinsipkan iman yang merentasi batasan kaum, bangsa dan keluarga. Maka umat Islam yang mendominasi masyarakat majmuk di Madinah disatukan atas konsep aqidah yang menegakkan syariat Islam yang adil kepada semua dan akhlak yang bersifat kemanusiaan sejagat.

Selain itu, konsep manusia sebagai satu keluarga yang besar dilaksanakan mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan daripada kedua-duanya Allah kembang biakkan golongan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta antara satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Seluruh manusia yang berasal daripada seorang bapa (Adam) dan seorang ibu (Hawa) sahaja, menunjukkan bahawa adanya hubungan silaturahim dalam konsep kekeluargaan yang besar. Ia juga berkonsepkan sifat kemanusiaan yang sama dari segi asal kejadiannya, walaupun selepas itu berpecah mengikut perkembangan zaman yang berubah dalam tempoh masa yang panjang dan jarak yang jauh.

Islam juga mewajibkan hubungan kekeluargaan sekalipun berbeza agama. Agama Islam dipegang dengan teguh dan hubungan kekeluargaan juga dijaga agar tidak putus, walaupun berbeza agama yang dianuti dan mereka tetap beramal dengan agama masing-masing. Allah SWT berfirman dalam aspek ini:

﴿وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ١٤ وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ١٥﴾

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang ibu bapanya; ibunya yang telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kamu kembali. (14); Dan jika kedua-duanya (bukan Islam) memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang kamu tiada pengetahuan tentangnya, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada Akulah kamu akan kembali, maka Aku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (15).” (Surah Luqman: 14-15)

Kemudian manusia ditemukan pula dengan konsep ta’aruf (saling berkenalan dan saling berkeperluan) mengikut firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawa) dan menjadikan kalian itu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku; supaya kalian saling berta’aruf (kenal-mengenal dan saling bergantung). Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Maka Rasulullah SAW dalam Piagam Madinah yang terkenal, menekankan suatu konsep hubungan kemanusiaan dengan penganut bukan Islam. Termasuk hubungan dengan bangsa bukan Arab yang tidak menganut Islam daripada kalangan penduduk Madinah yang bermasyarakat majmuk.

Ibn Khaldun RHM menyebutkannya dengan istilah Madani dan ada juga dalam kalangan para ilmuwan Islam menyebutkannya dengan istilah Hadhari. Kedua-dua istilah ini membawa maksud manusia itu mesti bertaut dalam keperluan hidup yang terjalin antara satu sama lain secara fitrah atau semula jadi bermasyarakat.

Sebagai contoh keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain yang memerlukan campuran daripada pelbagai jenis bahan-bahan dan kebolehan yang berbeza. Namun, ia perlu digabungkan dan dikumpulkan dalam bentuk kemahiran, perusahaan, perniagaan, perdagangan dan kehidupan berpolitik serta berekonomi.

Semua aktiviti tersebut berpusat di tempat yang dinamakan sebagai bandar atau disebutkan juga dengan Madinah dalam bahasa al-Quran. Begitu juga perlu dihadirkan di suatu tempat yang dinamakan bandar atau pasar yang menjadi pusat pertemuan. Maka perkataan hadharah atau hadhari berasal daripada perkataan hadir.

Oleh itu, pusat pemerintahan bagi sebuah kerajaan Islam yang bernama Yathrib ditukar kepada nama Madinah. Islam yang diterapkan dengan pemahaman sebagai al-Din, bukan difahami dengan istilah agama dengan makna yang sempit.

Sifat adil yang diwajibkan dalam sebuah pemerintahan Islam diluaskan pelaksanaannya yang tidak terhad terhadap masyarakat majmuk dalam satu negara sahaja, bahkan termasuk juga terhadap musuh di luar negara. Ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum, mendorong kalian untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana sesungguhnya adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Rasulullah SAW telah menterjemahkan konsep adil terhadap musuh, sewaktu Panglima Khalid bin al-Walid RA telah bertindak melampau dalam satu peperangan terhadap musuh. Baginda SAW mengarahkan agar dibayar pampasan kepada mangsa, walaupun ketika itu Islam telah menang dan berada dalam keadaan yang paling kuat. Ini menunjukkan Islam tidak berkonsep ‘double standard’ seperti negara kuasa besar pada zaman kini terhadap negara yang lemah khususnya melibatkan perilaku jenayah perang.

Konsep adil terhadap semua dalam segala aspek ini telah ditegaskan melalui perintah Allah SWT dalam al-Quran. Firman-Nya:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian agar menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kalian) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

PAS telah mengambil langkah proaktif dalam politik Malaysia hari ini dengan usaha mewujudkan perpaduan umat melalui kerjasama melalui gagasan baru Muafakat Nasional (MN), bagi menyatukan umat Islam bermula dengan parti utama Melayu-Islam yang terdiri daripada UMNO, PAS dan BERSATU.

Kemudian diikuti pula dengan gagasan Perikatan Nasional (PN) iaitu gabungan parti pelbagai agama dan kaum yang tidak ekstrem dan tidak liberal. Gabungan yang berlandaskan perubahan secara holistik atas titik persamaan dan berkompromi dalam perbezaan berlandaskan acuan yang telah dinyatakan di atas.

Gagasan ini telah berjaya menukar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang tidak mempunyai kestabilan dalaman. Perubahan berlaku melalui proses demokrasi berperlembagaan yang sah dari segi politik dan undang-undang. Walaupun mendapat majoriti yang kecil dan tipis, akan tetapi masih bertahan dan mampu menggerakkan jentera kerajaan. Walaupun sedang menghadapi pandemik COVID-19 yang sedang menular di seluruh dunia.

Namun, gagasan perpaduan umat yang dibentuk ini perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-15 yang mesti diadakan. Kejayaan sebelum ini dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, serta kegagalan menolak Bajet 2021 oleh pihak lawan adalah tanda positif yang perlu dilangsungkan kemajuannya berasaskan konsep perpaduan yang telah dinyatakan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Rabi’ul Akhir 1442 / 4 Disember 2020