Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Luqman: Siri 15

818
SHARE

??Tadabbur Al Quran??
Surah Luqman: Siri 15

Ayat 33-34 : Segala Perkara Ghaibiyyat Dalam Pengetahuan Allah SWT

? Firman Allah serta terjemahannya:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمۡ وَٱخۡشَوۡا۟ یَوۡمࣰا لَّا یَجۡزِی وَالِدٌ عَن وَلَدِهِۦ وَلَا مَوۡلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِۦ شَیۡـًٔاۚ إِنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقࣱّۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلۡحَیَوٰةُ ٱلدُّنۡیَا وَلَا یَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ (٣٣)

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya daripada azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya daripada azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥ عِلۡمُ ٱلسَّاعَةِ وَیُنَزِّلُ ٱلۡغَیۡثَ وَیَعۡلَمُ مَا فِی ٱلۡأَرۡحَامِۖ وَمَا تَدۡرِی نَفۡسࣱ مَّاذَا تَكۡسِبُ غَدࣰاۖ وَمَا تَدۡرِی نَفۡسُۢ بِأَیِّ أَرۡضࣲ تَمُوتُۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرُۢ (٣٤)

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau buruk); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan beberapa kejadian alam yang paling hebat iaitu perubahan siang dan malam dan keluasan lautan di bumi, Allah SWT lantas memberikan peringatan kepada manusia supaya berasa takut tentang malapetaka yang besar yang akan menimpa mereka, iaitu hari kiamat. Betapa dahsyatnya keadaan di hari kiamat nanti sehinggakan ibu bapa langsung tidak mampu menyelamatkan anaknya, begitu juga sebaliknya. Setiap manusia hanya memikirkan hal diri sendiri semata-mata, tanpa ada sebarang penolong dan tempat bergantung walaupun daripada kaum kerabat yang paling hampir.

2. Oleh itu, Allah SWT mengingatkan manusia supaya tidak terpedaya dengan kenikmatan dunia, hiburan dan sibuk mengejar nikmat dunia semata-mata, kerana kehidupan dunia merupakan tempoh yang sangat singkat dan merupakan medan ujian buat manusia. Selain itu, Allah SWT juga memperingatkan agar manusia tidak terpedaya dengan tipu daya dan bisikan syaitan.

3. Seterusnya pada ayat akhir surah ini Allah SWT menggambarkan betapa dangkal dan ceteknya ilmu dan pengetahuan yang ada pada manusia. Buktinya Allah SWT menyenaraikan antara contoh perkara yang manusia selama-lamanya tidak mampu mengetahui hakikatnya, iaitu tentang bilakah berlakunya kiamat, bila dan di manakah hujan bakal turun, apakah hakikat kejadian sebenar janin dalam kandungan seorang ibu, apakah perkara yang seseorang itu akan dapat pada esok hari dan di manakah dia akan mati. Sesungguhnya segala pengetahuan tentang perkara-perkara itu hanyalah milik Allah SWT secara mutlak.

? Pengajaran:

1. Kita perlu menyedari bahawa walaupun kita dilahirkan daripada keturunan yang baik, namun jika kita tidak membina taqwa kepada ALLAH SWT untuk dibawa menuju ke akhirat, maka akan rugilah kehidupan kita. Usahlah berbangga dengan asal usul keturunan kita kerana ahli keluarga dan zuriat keturunan tidak boleh menyelamatkan kita di hari kiamat kelak.

2. Kita mesti sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak terpesona pada pujukan dan hasutan syaitan yang sentiasa memujuk untuk membawa manusia ke lembah kehinaan. Syaitan akan memperdayakan manusia dengan menjanjikan sesuatu kepada manusia dan memberikan angan-angan kepada manusia tetapi semua itu hanyalah angan-angan kosong dan tipu daya belaka.

3. Janganlah leka dengan hiburan dan terpesona dengan kesenangan dunia sahaja, kerana kita tidak tahu bilakah kiamat akan berlaku. Berusahalah untuk memperbanyakkan persediaan sebagai bekalan kehidupan yang kekal abadi nanti.

4. Kita mestilah yakin bahawa segala perkara yang akan berlaku pada esok hari telah ada dalam pengetahuan Allah SWT. Sebagai manusia, kita perlu berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT supaya kita termasuk dalam kalangan insan yang dirahmati-Nya. Selain itu, lakukanlah persiapan untuk menghadapi kematian sebelum malaikat maut datang untuk mencabut nyawa kita pada masa yang telah ditetapkan.

5. Janganlah terlalu berbangga dengan kemajuan sains dan teknologi yang berjaya diterokai oleh manusia kini. Hakikatnya pengetahuan yang ada pada manusia hanyalah umpama setitis air daripada lautan yang sangat luas, berbanding khazanah pengetahuan Allah SWT Yang Maha Agung.

? Rujukan:

1. Tafsir Fizilalil Al Quran
2. Tafsir Ibnu Katsir
3. Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
27 November 2020 / 11 Rabiul Akhir 1442