Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Luqman: Siri 13

1130
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 13

Ayat: 29-30 : Tanda-tanda Kebesaran dan Kebenaran Allah SWT untuk Difikirkan

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَيُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى وَأَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ٢٩

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia tundukkan matahari dan bulan masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ هُوَ الْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ الْبَاطِلُ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ ٣٠

Demikianlah, kerana sesungguhnya Allah, Dialah yang hak dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain daripada Allah itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah menerangkan keluasan ilmu-Nya yang tidak mampu diterokai seluruhnya oleh manusia, Allah SWT menjelaskan pula tanda-tanda kebesaran-Nya yang boleh diperhatikan dengan pancaindera.

2. Dalam ayat 29, Allah SWT menggunakan ayat tanya untuk menyuruh kita memperhatikan kekuasaannya yang mampu memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam agar waktu siang atau malam itu bertambah panjang sepertimana yang berlaku pada musim panas dan musim sejuk. Pada musim panas, waktu siang hari sangat panjang. Kemudian secara perlahan-lahan, waktu siang semakin berkurang, manakala waktu malam semakin bertambah sehinggalah apabila tiba musim sejuk, waktu malam lebih panjang daripada waktu siang.

3. Terdapat dua pendapat dalam mentafsirkan frasa “matahari dan bulan berlari / berjalan sampai kepada waktu yang tertentu”. Pendapat pertama bermaksud sampai pada tujuan yang telah ditetapkan dan menurut pendapat kedua, sampai hari kiamat. Kedua pendapat itu benar, pendapat yang pertama didukung oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Zar, tahukah kamu ke manakah matahari ini pergi?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya matahari ini pergi dan sujud di bawah ‘Arasy kemudian ia meminta izin kepada Tuhannya. Maka sudah dekat masanya akan dikatakan kepada matahari, “Kembalilah kamu ke arah kamu datang (yakni terbitlah kamu dari arah barat).”

4. Malam dan siang merupakan salah satu daripada sekian banyak tanda-tanda yang membuktikan bahawa alam ini pasti diatur oleh suatu zat yang amat luar biasa. Allah SWT yang mengatur peredaran bumi, matahari dan bulan; semuanya tetap di garisan peredaran masing-masing dan memberi manfaat kepada manusia dengan terjadinya siang dan malam seperti firman Allah dalam ayat 47 surah Al Furqan dan ayat 23 surah Ar Rum. Waktu siang adalah untuk mencari rezeki dan waktu malam untuk beristirehat. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita kerjakan, kerana Dia yang Maha Menciptakan dan Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.

5. Allah SWT memperlihatkan kepada manusia tanda-tanda kebesaran-Nya agar manusia memperhatikan dan mengerti bahawa Dialah Yang Hak yakni benar ada-Nya dan Tuhan yang sebenar, dan bahawa semua yang selain-Nya adalah batil. Sesungguhnya Dia Maha Kaya daripada selain-Nya, dan segala sesuatu berhajat kepada-Nya, kerana semua yang ada di langit dan yang ada di bumi merupakan makhluk dan hamba-hamba-Nya. Tiada seorang pun daripada mereka yang dapat menggerakkan suatu zarah pun kecuali dengan izin Allah. Hatta, seandainya seluruh penduduk bumi berkumpul untuk mencipta seekor lalat, nescaya mereka tidak akan mampu melakukannya.

? Pengajaran:

1. Perhati dan fikirkanlah tanda-tanda kebesaran dan kebenaran Allah SWT di sekeliling kita agar bertambah keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya. Muhasabahlah betapa kerdilnya diri kita sebagai manusia tetapi kita masih lagi leka melakukan maksiat.

2. Letakkanlah sepenuh pergantungan dan sandaran kepada Allah semata-mata, bukannya kepada kemampuan diri kita sendiri. Kita ini tidak mampu dan Allah Maha Kuat. Kita wajib memurnikan ibadah kita kepada Allah dan tidak boleh beribadah kepada selain-Nya.

3. Kita hendaklah memanfaatkan nikmat yang Allah kurniakan, mencari rezeki pada waktu siang dan menggunakan waktu malam untuk beristirehat dan beribadah kepada-Nya.

4. Kita hendaklah sentiasa mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir kepada Allah sebagai tanda kesyukuran di atas kasih sayang, rahmat serta anugerah-Nya yang tidak terhitung kepada kita.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
13 November 2020 / 27 Rabiul Awal 1441