Wilayah Bebas Berniaga: Rebut Peluang Tambah Pendapatan
- Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) mengambil maklum akan pengisytiharan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang semestinya menjadi khabar gembira buat warga Malaysia.
- BPPWP berpandangan bahawa inisiatif ini tepat pada masanya kerana ianya dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada warga kota yang hilang mata pencarian disebabkan pandemik yang sedang melanda ketika ini.
- BPPWP juga menjangkakan kelonggaran ini akan merancakkan kitaran ekonomi rakyat terutama golongan B40 sekaligus melahirkan lebih ramai usahawan yang berdikari mencari pendapatan tanpa mengharapkan makan gaji semata-mata dan semestinya ini perlu digalakkan dengan kepatuhan kepada undang-undang oleh pihak berwajib.
- BPPWP menyeru orang awam untuk memanfaatkan peluang keemasan ini dengan berniaga secara jujur, menjaga kebersihan dan tidak menghalang lalu lintas selain menjual dengan harga barangan yang tidak membebankan pengguna, selaras dengan perniagaan berasaskan cara dan barangan yang halal dan baik atau ‘Halalan Toyyiba’.
- BPPWP turut menyeru para pengguna terutama yang kurang terjejas kewangannya berikutan COVID-19 untuk membeli produk-produk ini sebagai tanda sokongan untuk memulihkan taraf ekonomi para peniaga di samping memenuhi keperluan harian.
- Semoga kesempatan berharga ini dapat digunakan sebaiknya oleh rakyat Malaysia ke arah mendapatkan rezeki yang berkat sehingga limpahannya mampu menunaikan zakat, sedekah dan lain-lain untuk manfaat masyarakat.
‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
‘Wilayah Sejahtera’
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
11 November 2020 | 25 Rabiulawal 1442