KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
21 Rabiul Awwal 1442 l 7 NOVEMBER 2020
BELANJAWAN 2021 SERLAH KEBAJIKAN BUAT RAKYAT
1. Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Mulia Dato Sri Tengku Zhafrul pada sidang Dewan Rakyat semalam dan menyifatkan Belanjawan 2021 adalah amat bersesuaian dengan fokus semasa yang dihadapi oleh negara dan rakyat dalam situasi COVID-19 dari sudut kesihatan dan pemulihan kelembapan ekonomi.
2. Perluasan Program MySalam, peruntukan RM 3 billion bagi perolehan vaksin COVID-19, baucer sebanyak RM 50 kepada golongan B40 bagi program Perlindungan Tenang dan peruntukan sebanyak RM 1 billion bagi keperluan barisan hadapan membendung gelombang ke-3 COVID-19 serta Bantuan Prihatin Naisonal (BPN) 2.0 fasa 2 antara peruntukan yang menunjukkan kecaknaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap keutamaan waktu ini berkaitan kebajikan kesihatan semua rakyat dan juga kebajikan khusus golongan B40.
3. Kebenaran untuk rakyat mengeluarkan wang dari akaun 1 KWSP secara bersyarat sebanyak RM 500 sebulan bagi tempoh setahun juga adalah kebijaksanaan dalam menguruskan emosi rakyat yang terhimpit dengan tekanan ekonomi dan juga keperluan penggunaan kerajaan dalam memastikan simpanan dana besar bagi tempoh jangka panjang dapat diurus secara sistematik. Ini kerana, jika keputusan mengikut secara emosi mengenai kebenaran mengeluarkan wang KWSP dari akaun 1 sebanyak RM 10 ribu sekaligus akan menyebabkan kesukaran pada KWSP itu sendiri dalam mencairkan aset di saat kelembapan ekonomi serta simpanan hari tua rakyat selepas berusia 55 tahun dan ke atas.
4. Kebajikan rakyat pada Belanjawan 2021 ini juga cukup terserlah apabila Menteri Kewangan turut mengumumkan kenaikan bantuan kebajikan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan kepada golongan OKU tidak berupaya bekerja dari RM 250 ke RM 300, elaun pekerja OKU dari RM 400 ke RM 450 serta warga emas, penjagaan OKU dan pesakit kronik terlantar dari RM 400 ke RM 500.
5. Menerusi inisiatif Geran Prihatin Khas (GPK) yang dibuka semula dengan peruntukan sebanyak RM 600 juta bagi anggaran sebanyak 200 ribu penerima kalangan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) Mikro adalah sangat tepat bagi memastikan kerancakan semula aktiviti ekonomi di kalangan peniaga kecil tempatan (domestic local player) yang realitinya sebanyak 98.5% perniagaan berdaftar di Malaysia adalah berstatus IKS.
6. Selain itu, DUPP juga turut memuji dan mengalu-alukan peruntukan menaikkan kadar elaun Guru Takmir daripada RM800 kepada RM900 sebulan bagi menghargai jasa 4,000 guru takmir yang menjadi penggerak komuniti peringkat kariah serta pemberian bayaran khas One Off sebanyak RM500 kepada imam, siak, noja, merbut, Guru Takmir dan Guru KAFA. Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak mengesampingkan peranan komuniti agamawan dalam khidmat di lapangan masing-masing sama ada di peringkat pendidikan dan juga institusi.
7. Secara keseluruhannya, Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar sebanyak RM 322.5 billion adalah jelas bagaimana keseriusan, keprihatian dan keberanian kerajaan pada hari ini mengambil tanggungjawab dan menguruskan risiko bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin dan kesungguhan memulihkan kembali kelembapan ekonomi negara yang dihadapi ekoran pandemik yang melanda dunia pada hari ini.
8. DUPP percaya setiap pembahagian peruntukan perbelanjaan yang disalurkan telah mengambil kira semua aspek dan komuniti yang pelbagai untuk memastikan tiada mana-mana golongan yang terkecuali dari dibantu dan dibela. Sekarang yang tinggal hanyalah pelaksanaan kepada usaha keteguhan dan kesepakatan fokus bersama yang perlu dibina kalangan pimpinan, ahli politik dan rakyat untuk merealisasikan kebajikan yang telah direncanakan ini.
Firman Allah SWT :
(لَقَدۡ كَانَ لِسَبَإࣲ فِی مَسۡكَنِهِمۡ ءَایَةࣱۖ جَنَّتَانِ عَن یَمِینࣲ وَشِمَالࣲۖ كُلُوا۟ مِن رِّزۡقِ رَبِّكُمۡ وَٱشۡكُرُوا۟ لَهُۥۚ بَلۡدَةࣱ طَیِّبَةࣱ وَرَبٌّ غَفُورࣱ)
Maksudnya :
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun. – [Surah Saba’ 15]
Sekian.
Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)