Home Berita PAS Selangor

Kita Masih Ada Misi Yang Belum Selesai – “Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia

607
SHARE

Oleh : Zurk Ahmad

Kira-kira 21tahun yang lalu apabila pertama kali menjejakkan kaki di kotaraya Kuala Lumpur, bangunan pertama yang saya nampak sebaik keluar dari Terminal Bas Putra adalah Bangunan UMNO dan PWTC. Saya gigit bibir geram sebab saya orang PAS. Saya naik bas dari Marang yang ahli Parlimennya adalah Presiden PAS sendiri.

Setelah merantau bekerja dan berkeluarga di Lembah Klang saya ditakdirkan aktif dengan politik. Sekarang sebagai Ketua Pemuda diperingkat kawasan. Salah seorang Exco Harian peringkat Pemuda PAS Negeri dan terlibat secara langsung dalam entiti Pemuda PAS Malaysia iaitu Jabatan Amal Malaysia (JAM).

Sepanjang terlibat dengan Jabatan Amal Malaysia banyak misi bencana dan program besar yang saya ikuti.

Kebanyakan tugasan program atau himpunan mega tersebut saya diberi kepercayaan untuk mengetuai dan memantau operasi. Dalam setiap himpunan mega di ibu negara nama Jabatan Amal Malaysia tidak pernah dikecualikan. Kamilah yang menjaga kebajikan para peserta dalam setiap kali himpunan.

Antara pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan adalah detik bersejarah 14 September 2019.

Saya diberi kepercayaan untuk menjadi Pengarah Operasi JAM bagi tugasan Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang berlangsung di PWTC. Satu tugasan yang mencabar keupayaan dan emosi saya serta sahabat-sahabat anggota Jabatan Amal Malaysia. Namun dek kerana akur dan wala’ dengan arahan dan keputusan pimpinan kami melaksanakan tugasan tersebut sebaik mungkin.

Pada awalnya angka yang diminta hanyalah sekitar 200 orang. Namun berbaki kurang seminggu dari tarikh himpunan, saya dihubungi oleh KP Ir. Ts. Khairilnizam untuk menambah kekuatan anggota kepada minimum 700 orang! Menggaru kepala saya. Tetapi saya usahakan dengan bantuan Pengarah JAM diperingkat negeri yang sememangnya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Dalam kesukaran kami berjaya mengumpulkan angka yang diminta. Demi Islam, Amal Bersedia.

Beberapa minggu sebelum itu kami kerap berkunjung ke PWTC untuk bermesyuarat bersama Skuad Sabil, Keselamatan PWTC dan SUK UMNO Dato’ Sumali. Bagi memenuhi skop tugasan yang diberikan saya terpaksa “tawaf” PWTC beberapa kali dan memahami “layout” bangunan keramat UMNO ini. Satu pengalaman baru yang penuh dengan emosi. Saya hafal jumlah pintu di PWTC!

Dan malam sebelum 14/9 buat pertama kalinya saya jejak kaki ke Pejabat Pemuda UMNO, berbincang bagi penetapan akhir tugasan bersejarah keesokan harinya. Kemudian bergegas turun untuk mengikuti taklimat petugas bersama Jabatan Amal Malaysia dan Skuad Sabil.

Uniform maroon dan kelabu saling bergandingan, berbaris bersama. Kami sebak. Saya sebak dan saya yakin sahabat-sahabat saya yang lain merasai apa yang saya rasa. Sebelum ramai orang bergenang airmata pada 14 September apabila termenterainya Piagam Muafakat Nasional, kami terlebih dahulu sebak pada malam itu.

Manakan tidaknya 20 tahun sebelum itu saya mengetap bibir apabila melihat Bendera UMNO berkibar PWTC tetapi pada malam tersebut saya menyaksikan sendiri Bendera PAS berselang dengan Bendera UMNO berkibar megah di PWTC.

Sebak kerana sahabat-sahabat kami daripada Skuad Sabil yang dulunya mungkin “musuh” kini sudah boleh bergandingan bekerja bersama.

Allahuakbar!

Setelah kita sama-sama mencampak ego untuk mendakap erat tautan ukhwah atas nama muafakat ummah, apakah kini kita mahu ia runtuh kembali?

Pastinya tidak!

Ayuh, marilah kita sama-sama genggam erat janji demi kebaikan ummah. Ketepikan dahulu sentimen jahat yang dibisikkan syaitan durjana.

Sungguh, kita masih ada misi yang belum selesai!

Zurk Ahmad
Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Amal Malaysia
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

11 Rabiul Awwal 1442H | 28 Oktober 2020

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor

#demiIslam
#muafakatnasional
#Islammengukuhperpaduan
#pemudabangkitdemiislam
#PemudaPAS
#memimpinnegara
#kekaltenang
#mestimenang
#MalaysiaSejahtera