Home Artikel PAS Sabah

PAS Kudat prihatin barisan hadapan dan masyarakat terjejas

309
SHARE

Oleh: Suziana Ghani
28 Oktober 2020

KUDAT: Memandangkan keperluan petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), Kudat semakin berkurangan, PAS Kudat tampil memberikan sumbangan kelengkapan perlindungan diri (PPE), kipas, meja, makanan dan minuman.

Sumbangan telah disempurnakan oleh YB Dr. Aliakbar Gulasan, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah di sini kelmarin.

Dr. Aliakbar turut menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada Pejabat Daerah Kudat untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang melibatkan RELA, PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi yang terlibat.

Beliau mendoakan agar petugas barisan hadapan sentiasa sihat dan bersabar dengan ujian yang melanda negeri Sabah khususnya di kawasan Kudat.

Pada majlis berasingan, seramai 40 pemandu teksi, 35 buah keluarga di Kampung Bak Bak, 50 buah keluarga di Kampung Lanjong, 18 orang guru dan ibu bapa PASTI Al-Furqan Kudat turut menerima sumbangan barangan dapur berupa beras, bihun, telur, tepung, minyak masak dan gula.

Sumbangan ini adalah hasil usaha dan kerjasama di antara PAS Kudat dengan Muslim Care.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kudat, Abu Luqman Mohd Raja berkata sumbangan disampaikan kepada masyarakat yang terjejas akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang melibatkan nelayan, penoreh getah, asnaf, fakir miskin dan masyarakat yang hilang sumber pendapatan.

“Kami mengagihkan sumbangan kepada keluarga yang tidak mendapat bantuan bakul makanan daripada kerajaan negeri Sabah,” ujarnya.

Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Setiausaha PAS Kudat, Azman Madusin, Timbalan Setiausaha, Che Lutfi Che Abdullah dan beberapa ahli jawatankuasa PAS Kudat.

Sehingga kini, seramai 470 buah keluarga telah menerima sumbangan daripada Tabung Covid 2.0 yang dilancarkan oleh PAS Kudat pada 11 Oktober lepas.