Home Berita PAS Selangor

Isu Air Selangor – Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

648
SHARE

Oleh : Shehdi Hazrik Shamsudin

Gangguan bekalan air mentah tidak berjadual di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlaku sepanjang tahun ini akibat dari pencemaran sungai sudah pastinya mengundang ketidak selesaan rakyat, ini kerana rakyat terpaksa berdepan masalah yang sama beberapa kali ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini PKP Bersyarat.

Bagi tahun ini sahaja sudah lebih 6 kali kejadian pencemaran air sungai berlaku dan 5 darinya di sungai yang sama, termasuk yang baru berlaku pada bulan oktober di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 dan LRA Rantau Panjang yang telah menjejaskan keseluruhan 1.2 Juta pemegang akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan sekitar Lembah Klang iaitu di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sebelum itu pada awal bulan yang sama pencemaran air sungai juga berlaku di LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi yang telah menjejaskan penduduk Hulu Langat, Putrajaya dan Sepang. Kekerapan pencemaran air sungai yang berlaku di Selangor kini menjadi tanda tanya penduduk dan ada yang mengatakan ia sebagai sengaja dilakukan, namun sebab pencemaran sudah diketahui umum berpunca dari pencemaran sisa kilang-kilang yang dikategorikan sebagai penjenayah alam sekitar.

Kebiasaannya kes pencemaran mengambil masa yang lama untuk dibawa ke mahkamah dan begitu juga perbicaraan sebelum sebarang keputusan dapat dicapai, namun rakyat mula muak dan marah kerana masalah yang sama kerap timbul. Keadaan bertambah buruk lagi ketika rakyat sedang berdepan dengan ancaman jangkitan COVID-19 yang kini sedang menular dengan cepat dan rakyat perlu melaksanakan prosedur operasi yang ketat ketika menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan namun masalahnya air pula tiada.

Mengulas masalah yang seolah-olah tidak berpenghujung ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohammad Shukri Omar dalam forum “Sembang Hangat” anjuran Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat sabtu lepas mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil serius dalam isu pencemaran air ini dengan merobohkan kilang-kilang haram yang tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa.

Tambah beliau “penguatkuasaan pencemaran yang kerap berlaku ini perlu penambahbaikan, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan pusat perlu bekerjasama dalam meningkatkan keupayaan dan kepakaran agensi berkaitan pencemaran sumber air”, sejajar dengan perkembangan teknologi semasa terutama dalam bidang teknologi forensik alam sekitar di Malaysia.

Sewajarnya bidang forensik alam sekitar perlu diperkasakan dan dikemas kini dengan kemudahan makmal dan peralatan terkini dalam mengesan unsur bahan cemar, bukannya dengan membeli Dron berharga jutaan ringgit namun belum tentu mampu menyelesaikan masalah kehadiran pelbagai jenis bahan kimia baharu yang mendatangkan cabaran kepada agensi penguatkuasa.

Walaubagaimanapun ketika masalah ketiadaan air ini berlaku, Ustaz Shukri memberi jaminan bahawa PAS akan terus bersuara memperjuangkan nasib rakyat dan bagi pihak Dewan Pemuda PAS, “kami melalui Jabatan Amal akan terus membantu rakyat dalam membantu menghantar dan menyampaikan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas” sebagaimana kebiasaan yang sudah dilakukan oleh anggota Amal ini sebelum ini.

Masalah air di Selangor tidak seperti negeri lain yang berhadapan masalah ketirisan air, manakala di Selangor masalah yang besar adalah ketiadaan rizab air mentah. Menurut Dr Zuhdi Marzuki, Setiausaha Politik YB Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) “Selangor ketika ini perlu bersedia mewujudkan 20 peratus rizab air mentah” dengan membina simpanan air mentah luar sungai dan mewartakan rizab sungai tersebut sebagai kaedah kotigensi bagi mengatasi isu gangguan air berulang pada masa hadapan.

Menurut Dr Zuhdi Marzuki lagi, ketika perkongsian beliau dalam Forum yang sama, beliau menjelaskan peruntukan kuasa dan tanggugjawab perkhidmatan air terbahagi kepada 2 bahagian iaitu air mentah sebelum dirawat LRA adalah di bawah seliaan dan kuasa Kerajaan Negeri manakala air yang sudah dirawat LRA pula di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerajaan pusat, dan untuk mebina Rizab simpanan air mentah yang dicadangkan itu mestilah dibawah kuasa kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan pusat.

Sehubungan itu semua pihak harus berperanan memikirkan inisiatif bagi mengelakkan gagguan bekalan air berlaku lagi dan seterunya menghalang jenayah alam sekitar ini dari terus berlaku, dan diantara inisiatif yang dilaksanakan oleh KASA adalah dengan penubuhan Unit Pencegah Jenayah Alam Sekitar yang berperanan sebagai pasukan penguatkuasa menjaga khazanah alam negara dan kemungkinan juga melihat kembali peranan Angkatan Tentera Malaysia di bawah 60 Rejimen Pakar Pengedalian Air dalam memastikan air mentah negara sentiasa dalam keadaan selamat.

Antara program lain yang telah dilaksanakan oleh Menteri KASA adalah program “Denai Sungai” dengan membina susur denai pejalan kaki atau berbasikal sepanjang sungai terpilih sebagai pusat rekreasi rakyat dan program pertama seumpama ini telah dilaksanakan di sungai Pengkalan Datu, Kelantan sebagai perintis. Program seterunya adalah program sungai angkat dengan penubuhan NGO sukarelawan sungai sebagai “Wira Sungai” bagi melaksanakan program kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar dan sungai kita.

Perbincangan forum kali ini juga mengupas cadangan Kementrian untuk melaksanakan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dengan menambah peruntukan baharu bagi membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak yang terjejas. Seksyen ini akan membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pengiraan kerugian pendapatan dan kos tambahan yang ditanggung pihak yang terbabit semasa kejadian pencemaran. Dengan cadangan pindaan itu, pesalah perlu membayar denda, kos pembersihan dan tuntutan dari pihak yang terjejas.

Pelbagai ilmu dan pendapat telah dikongsikan oleh kedua-dua ahli panel ini dan diharapkan isu air ini mendapat perhatian semua pihak terutama pihak berkuasa dan rakyat keseluruhannya dalam usaha kita bersama menangani masalah pencemaran air ini dari terus menghantui kehidupan rakyat dan penduduk Negeri Selangor khususnya.

Shehdi Hazrik Shamsudin
Pengarah
Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor