BACALAH WAHAI TEMAN (27)
Rabu, 7 Oktober 2020
MENGHADAPI PENYAKIT : IBRAH DARIPADA KISAH NABI AYUB AS
Allah SWT menjadikan kehidupan dunia sebagai tempat ujian supaya manusia akan mendapat ganjaran di atas usaha mereka menghadapi ujian itu. Semakin besar ujian, semakin besarlah ganjaran pahala yang akan diraih oleh seseorang itu di hari akhirat kelak.
Di antara rahmat Allah SWT kepada hamba-hambaNya ialah Allah SWT memberikan contoh dan panduan bagi manusia dalam menghadapi ujian supaya manusia dapat mengharunginya sebaik mungkin, seterusnya mendapat ganjaran syurga. Oleh itu menjadi tanggungjawab manusia mempelajari dan memahami bagaimana caranya menghadapi ujian di atas dunia ini mengikut pedoman wahyu.
Ujian pula terbahagi kepada dua, iaitu ujian kesusahan dan ujian kesenangan. FirmanNya;
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al Anbiya’ 35)
Al Quran juga memaparkan beberapa contoh ujian yang telah berlaku sebelum ini, dan Allah SWT juga telah menetapkan bahawa ujian yang paling sukar ialah kepada para Nabi dan Rasul, supaya menjadi contoh kepada manusia yang lain dalam menghadapinya, dan supaya mereka tidak berputus asa kerana merasakan ujian mereka yang paling berat. Sabda Nabi SAW :
أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً اْلأَنِبْيَاءُ ثُمَّ اْلأَمْثَلُ فَاْلأَمْثَلُ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلٰى حَسًبِ ( وَفِي رِوَايَةٍ قَدْرِ ) دِيْنُهُ فَإِنْ كَانَ دِيْنُهُ صَلَبًا اِشْتَدَّ بَلاَؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِيْنِهِ رِقَةٌ اُبْتُلِيُ عَلٰى حَسَبِ دِيْنُهِ فَمَا يَبْرَحُ اْلبَلاَءُ بِالْعَبْدِ حَتىٰ يَتْرُكَهُ يَمْشِيْ عَلَى اْلأَرْضِ مَا عَلَيْهِ خَطِيْئَةُ
Manusia yang paling berat ujiannya adalah para anbiya’, kemudian orang-orang yang serupa dengan mereka, lalu orang-orang yang paling serupa. Seseorang itu diuji menurut ukuran (dalam suatu riwayat ‘kadar’) agamanya. Jika agamanya kuat, maka ujiannya pun berat. Dan jika agamanya lemah, maka ia diuji menurut kadar agamanya. Maka ujian akan selalu menimpa seseorang sehingga membiarkannya berjalan di muka bumi, tanpa sebarang kesalahan lagi.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Di musim pandemik Covid-19 ini yang mana ramai manusia terjangkit dengan virus tersebut, marilah kita kembali kepada petunjuk Islam dalam menghadapi penyakit. Samada pesakit atau orang-orang terdekat dengan pesakit. Mudah-mudahan kita berjaya melepasi ujian penyakit ini dengan cara yang diredai oleh Allah SWT.
Oleh kerana manusia itu tidak dapat lari daripada ujian ditimpa penyakit, maka Allah SWT telah melakarkan satu kisah sebagai pengajaran bagi manusia, supaya mereka dapat menghadapi ujian tersebut dengan jayanya. Allah SWT telah menguji Nabi Ayub AS dengan ujian penyakit yang berat supaya Baginda As boleh menunjukkan cara dan kaedah bagaimana mahu berjaya menghadapi ujian penyakit ini.
Firman Allah SWT;
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِن ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ
Maksudnya : “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik). (Surah Al Anbiya’ ayat 83-84)
FirmanNya lagi :
وَاذْكُرْ عَبْدَنَا أَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الشَّيْطَانُ بِنُصْبٍ وَعَذَابٍ
ارْكُضْ بِرِجْلِكَ هَذَا مُغْتَسَلٌ بَارِدٌ وَشَرَابٌ
وَوَهَبْنَا لَهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنَّا وَذِكْرَى لِأُولِي الأَلْبَابِ
وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَاضْرِب بِّهِ وَلا تَحْنَثْ إِنَّا وَجَدْنَاهُ صَابِرًا نِعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ
Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)”. (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu“ (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin)“. Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya – keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang). Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): “Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu“. Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya). (Surah Sad ayat 41-44)
Menurut beberapa riwayat yang disebut di dalam beberapa kitab-kitab tafsir seperti Ibnu Kathir dan lain-lain, Nabi Ayub AS telah ditimpa penyakit yang begitu berat dan lama sehingga 18 tahun lamanya.
Bahkan menurut sesetengah ulamak tafsir menghuraikan perkataan ‘Ad-Durru’ (الضر) itu membawa maksud keadaan yang buruk pada tiga perkara iaitu pada badan, ahli keluarga dan harta.
Ini bermakna ujian yang menimpa kepada Nabi Ayub AS adalah ujian yang berat lagi menyeluruh, sehingga menjadi lemah seluruh tubuhnya, kehilangan seluruh ahli keluarganya termasuk anak-anak dan isteri-isteri melainkan seorang isterinya dan juga binasa semua hartanya.
Walaupun begitu Nabi Ayub AS tidak mengeluh, tidak memberontak dan apatah lagi menyesal. Bahkan beliau terus bersabar dan berzikir dengan akal dan lisannya kerana semua anggota badannya tidak mampu lagi bergerak.
Yang tinggal di sisi Nabi Ayub AS hanyalah isterinya yang sentiasa berkhidmat menemani dan menjaga suaminya walaupun Nabi Ayub AS yang mana pada asalnya merupakan seorang yang mempunyai pelbagai jenis harta seperti wang ringgit, ahli keluarga yang ramai, tanah dan kebun yang luas, kini tidak memiliki apa-apa bahkan ditimpa penyakit yang berat pula.
Sehingga akhirnya menurut sesetengah riwayat isterinya terpaksa bekerja mengambil upah dan memotong ikatan rambutnya untuk dijual bagi mencari sesuap makanan untuk mereka berdua. Inilah yang menyebabkan Nabi Ayub AS merasa sangat sedih sehingga bersumpah mahu memukul isterinya kerana melakukan perkara tersebut untuknya.
Walaupun sesukar itu keadaannya Nabi Ayub AS tidak pernah mengeluh dan mengadu kepada manusia bahkan Baginda mengadu kepada Allah SWT dengan katanya : “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit sedangkan Engkaulah yang paling mengasihani dari segala yang lain yang mengasihani”
Lalu Allah SWT memakbulkan doa dan munajat Nabi Ayub AS dan menyembuhkan penyakitnya. Allah SWT menggantikan bagi Baginda ahli keluarganya yang hilang dan mengandakan bilangan mereka itu sekali ganda sebagai ganjaran dan rahmat daripada Allah SWT di atas kesabaran dan ketaatan Baginda AS.
Di akhir kisah Nabi Ayub AS, Allah SWT menutupnya dengan mengatakan “Ini adalah peringatan bagi orang yang berakal”. Ini kerana manusia yang waras akalnya apabila membaca kisah Nabi Ayub AS, mereka akan sedar dan insaf bahawa tiada manusia yang terlepas daripada ujian ditimpa penyakit, hatta Rasul yang paling mulia sekalipun. Walaubagaimana susah sekalipun penyakit itu jika mereka bersabar, pastilah Allah SWT akan menggantikan kesusahan itu dengan kesenangan dan digandakan rezeki serta pahala mereka jika mengikut contoh teladan Nabi Ayub AS.
Pengajaran yang boleh diambil dari kisah Nabi Ayub AS ini ialah :
1) Sabar
Pentingnya umat Islam memahami sikap sabar supaya penyakit yang menimpa mereka tidak merugikan mereka, bahkan ianya merupakan modal yang besar untuk mereka meraih rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.
2) Peranan isteri dan orang sekeliling
Apabila seseorang itu diuji, sebenarnya bukan dia sahaja yang diuji. Bahkan orang sekelilingnya juga diuji, samada mereka sanggup membantu ahli keluarga yang sakit atau mereka berlepas diri kerana bimbangkan bebanan yang terpaksa dipikul. Contohilah isteri Nabi Ayub AS yang menemani Baginda AS sehingga ke tahap yang paling sukar semata-mata kerana Allah SWT. Akhirnya Allah SWT menggantikan apa yang hilang dan digandakan lagi rezekinya. Jika tidak di dunia sekalipun, akhirat sudah pasti ganjarannya tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana nikmat dunia.
3) Sakit bukanlah ukuran kemuliaan atau kehinaan seseorang
Hari ini sebahagian orang tersilap memandang saudara seagama yang ditimpa musibah penyakit covid 19 dengan pandangan serong sedangkan penyakit itu asasnya adalah ujian dari Allah SWT untuk menguji pesakit itu dan orang sekelilingnya. Ditimpa penyakit bukan ukuran kehinaan atau kemuliaan seseorang, bahkan ianya adalah ujian untuk kita semua. Bahkan para Nabi dan Rasul ditimpa sakit yang lebih berat daripada manusia biasa. Jika orang yang sakit bersabar maka terhapus dosanya dan meningkat martabatnya di sisi Allah SWT.
Orang lain pula, jika mereka memandang buruk dan menghina pesakit itu, bertambahlah dosanya dan jatuhlah martabatnya di sisi Allah SWT. Oleh itu hendaklah kita semua memperbetulkan persepsi kita terhadap penyakit dan pesakit.
4) Mengadu dan bermunajat kepada Allah SWT
Ambillah peluang ketika sakit untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT, kerana Allah SWT sangat ingin mendengar kita bermunajat kepadaNya. Mereka yang diuji dengan kesakitan, janganlah menghabiskan masanya dengan mengeluh, berputus asa, mengadu kepada makhluk sahaja dan mencari ubat semata-mata tanpa kembali merujuk kepada Allah SWT.
5) Berusaha mengubati penyakit :
Dalam kisah Nabi Ayub AS ini juga Allah SWT memerintahkan Nabi Ayub AS supaya mandi sebagai sebab dan berusaha untuk menyembuhkan penyakitnya. Sedangkan jika Allah SWT mahu, Dia boleh menyembuhkan penyakit itu sekelip mata. Akan tetapi sudah menjadi ‘sunnatullah’ bahawa dunia ini bergerak dengan sebab sehinggakan para Nabi dan Rasul juga tidak terlepas daripada peraturan ini. Maka semestinya umat Islam tidak wajar hanya duduk sahaja berdoa, bahkan mestilah mencari penawar bagi penyakit yang dihadapi oleh mereka.
6) Matlamat daripada ujian sakit
Sabda Nabi SAW
“مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حَزَن وَلاَ أَذًى وَلاَ غمٍّ، حتَّى الشَّوْكَةُ يُشَاكُها إِلاَّ كفَّر اللَّه بهَا مِنْ خطَايَاه”
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya, melainkan Allah SWT akan menghapus dosa kesalahan-kesalahannya.” (Hadis riwayat Bukhari Muslim)
Jelas daripada hadis Nabi SAW ini, ujian penyakit adalah untuk menghapuskan dosa, kerana tiada manusia yang terlepas daripada melakukan dosa. Ia juga supaya manusia itu kembali kepada Allah SWT dalam keadaan suci bersih dan mudah memasuki syurga.
Kesimpulannya
Tiada manusia pun akan terlepas daripada ujian. Apabila seseorang itu diuji dengan penyakit, hendaklah dia insaf dan sedar bahawa Allah SWT ingin menghapuskan dosanya dan mengangkat martabatnya jika dia bersabar. Hendaklah dia memperbanyakkan istighfar dan bermuhasabah diri selain berusaha mengubati penyakitnya.
Adapun ahli keluarga dan teman sekelilingnya hendaklah membantu dan menemani si pesakit dan memberikan nasihat yang baik kepadanya supaya kedua-dua pihak mendapat pahala dan ganjaran yang besar dari Allah SWT.
Juga tak dilupakan, di akhir kisah Nabi Ayub AS, Allah SWT memuji sifat sabar dan memuji sikapnya yang sentiasa kembali kepada Allah, kerana itulah yang diinginkan olehNya daripada hambaNya apabila Allah SWT menguji mereka.
Oleh:
YB Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak