Oleh: Nurhidayah Zamdee
LABUAN, Isnin: Skuad Prihatin Ameerah Care Labuan yang diketuai oleh Pengerusi Ameerah Labuan, Puan Nur Salina Nazreen Nonchi serta 6 orang yang lain telah menyantuni keluarga mangsa kemalangan jalan raya langgar lari di Kg MC Kilan, sabtu lalu.
Pengerusi Ameerah menyerahkan sedikit bantuan kepada suami Almarhumah bagi meringankan beban keluarga Almarhumah dan turut bersimpati dengan musibah yang dihadapi oleh keluarga Almarhumah.
“Program kali ini merupakan ziarah kali pertama yang kami lakukan untuk meringankan beban waris mangsa. Diharapkan suami mangsa tabah dan sabar dengan ujian ini dan kami juga mendoakan agar proses pengebumian Almarhumah dapat diselesaikan dengan segera,” ujar Puan Salina.
Menurut anak saudara Almarhumah, keluarga mereka hidup bergantung dengan bantuan sahaja kerana kedua-duanya berada dalam keadaan uzur.
Almarhumah juga merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan menghidap penyakit darah tinggi manakala suaminya pula menghidap penyakit batu karang dan akan menjalani pembedahan pembuangan batu karang pada bulan Oktober kelak.
Terdahulu, Almarhumah Rosnah Binti Banggau, 62, merupakan mangsa langgar lari dalam kemalangan jalan raya yang berlaku sekitar pukul 5 petang, 24 September lalu.
Dalam kejadian itu, Almarhumah meninggal dunia di tempat kejadian akibat dilanggar lari oleh seorang pemuda lelaki berumur 23 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu.
Menurut suami Almarhumah, pada ketika kejadian itu berlaku, Almarhumah sedang berjalan kaki di tepi laluan jalan raya kerana ingin ke rumah kenalannya.