Home Berita PAS Perlis

MN Indera Kayangan Anjur Program Kacau Bubur Malaysia

556
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Tradisi mengacau bubur dalam kalangan masyarakat di Malaysia biasanya dikaitkan dengan bulan Ramadhan ataupun sempena sambutan Hari Asyura, namun lain pula halnya dengan program kucai bubur yang berlangsung di DUN Indera Kayangan dekat sini semalam.

Program anjuran yang diberi nama Kucai Bubur Malaysia itu bermatlamat memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini serta mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dianjurkan oleh Muafakat Nasional DUN Indera Kayangan bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia, program berkenaan meriah dengan penyertaan para pemimpin dan ahli PAS dan UMNO serta penduduk setempat.

Selain itu, acara mengacau bubur turut diserikan lagi dengan kehadiran bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr. Mat Isa Sabu.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar yang juga Pengarah MTD Indera Kayangan, Wan Hassan Ismail ketika ditemui berkata, DUN Indera Kayangan dipilih sebagai lokasi program berdasarkan kepada faktor masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di DUN berkenaan.

“Justeru, kita ingin menyedarkan masyarakat betapa pentingnya keharmonian ini dipelihara melalui sikap saling menghormati kepelbagaian yang wujud dari aspek agama, bangsa, budaya dan bahasa.

“Pada masa yang sama, penganjuran aktiviti seumpama ini dapat mengukuhkan lagi Muafakat Nasional di samping mendekatkan MN dengan rakyat, khasnya penduduk setempat,” katanya.

Sebanyak 600 bungkus bubur yang disediakan kemudiannya diedarkan kepada penduduk di sekitar DUN berkenaan.