“Dalam pertempuran dengan askar Jepun, Askar Melayu menunjukkan keberanian dan semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota Askar Melayu, termasuk 7 pegawai Melayu dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara pegawai Askar Melayu yang terkorban itu adalah Leftenan Adnan bin Saidi. Dia bersama 42 orang anggotanya berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.
Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya penulis novel sejarah prolifik Abdul Latip Talib, memaparkan kisah serangan terakhir askar Jepun di Singapura serta keberanian dan keperwiraan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.” (Ini sinopsis dari buku Leftenan Adnan: Wira Bangsa oleh Abdul Latip Talib)
Ada yang bertanya, adakah Lt. Adnan Pejuang Kemerdekaan?
Saya jawab TIDAK tapi ya!
Kenapa TIDAK tapi Ya?
Kerana Lt. Adnan terkorban di Bukit Chandu, Singapura pada Februari 1942 sebelum usaha mendapat kemerdekaan dimulakan oleh Tengku Abdul Rahman. Namun perjuangan Lt. Adnan menentang tentera Jepun menjadi pemangkin kepada perjuangan menuntut kemerdekaan 15 tahun selepas gugurnya Lt. Adnan di Bukit Chandu, Singapura.
Memasuki tentera pada usia 18 tahun sebagai rekrut pada tahun 1933, Adnan Bin Saidi telah dipilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936 (diusia 21 tahun) dia dinaikkan pangat ke Sarjan dan kemudian ke Sarjan Mejar. Sjn. Mejar Adnan dihantar ke Singapura untuk melanjutkan latihan menjadi Leftenan Muda. Beliau diangkat mengetuai Platun ke-7 Kompani C Rejimen Askar Melayu dan seterusnya dinaikkan pangkat ke Leftenan. Satu perjalan kenaikan pangkat yang amat pendek menunjukkan beliau seorang yang berdisiplin dan cemerlang.
Pada 13 Februari 1942 tentera Jepun telah mendarat di Singapura dan menyerang Permatang Pasir Panjang. Lt. Adnan bersama Platun ke-7 Kompani C Askar Melayu berjaya menghalau tentera Jepun walaupun jumlah tentera Jepun jauh mengatasi jumlah askar Melayu.
Pada 14 Februari Platun ke-7 kompeni C seramai 42 orang dibawah pimpinan Lt. Adnan telah diarah pergi ke Bukit Chandu yang menjadi banteng menghalang tentera Jepun masuk ke Singapura. Pertempuran sengit mengorbankan ramai askar Melayu namun Platun ke-7 kompeni C telah berjaya membunuh lebih 800 orang tentera Jepun.
Setelah kehabisan peluru Lt. Adnan dan 42 anggotanya tetap meneruskan perjuangan menggunakan benet yang sudah tersedia di hujung senapang. Lt. Adnan tetap tidak mahu menyerah kalah meskipun pada waktu itu ramai Askar Melayu telah terkorban.
Di sinilah Lt. Adnan gugur sebagai wira dan jasadnya digantung lalu kemudian ditusuk dengan benet dan lehernya dikelar oleh tentera Jepun yang marah kerana keberaniannya. Lt. Adnan Bin Saidi gugur pada usia 27 tahun meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak kecil. Peristiwa ini diceritakan oleh koperal Yaakob yang terselamat dalam pertempuran berkenaan.
Begitu ringkasan kisah wira Tanah Melayu, Lt. Adnan Saidi.
Perjuangannya dikenang dan menjadi inspirasi perjuangan kemerdekaan meskipun dia sendiri mungkin tak pernah termimpi erti kemerdekaan. Dari tarikh kematiannya di tahun 1942 hingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan ditahun 1957, ada luang masa selama 15 tahun. Namun keberanian Lt. Adnan dan Platun ke-7 Kompeni C Rejimen Askar Melayu terus diperkatakan oleh anak bangsa.
Mungkin Tengku Abdul Rahman tidak pernah menyebut namanya sewaktu perisytiharan kemerdekaan namun roh perjuangannya terus dirasai oleh Rejimen Askar Melayu DiRaja sebagai antara wira yang mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh tentera asing.
Perjuangan Lt. Adnan Saidi setanding dengan Tok Janggut yang melawan British di Kelantan. Tok Gajah, Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan dan Datuk Mat Kilau (Tok Guru Pramu) yang menentang British di Pahang. Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela yang menentang British di Perak. Datuk Dol Said Penghulu Naning yang menentang British di Melaka. Begitu juga Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Limbong yang menentang British di Terengganu dan beberapa nama besar yang tidak dapat saya sebutkan di sini.
Jasa Lt. Adnan akan terus dikenang sebagai wira Tanah Melayu yang menjadi pemangkin semangat menuntut kemerdekaan. Semoga roh Lt. Adnan dan semua yang berjuang menentang penjajah Allah letakkan bersama para syuhada’.
Selamat menyambut ulangtahun Kemerdekaan yang ke 63.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
11 Muharram 1442H | 30 Ogos 2020
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor