Oleh: Muhammad Hadi
PADANG BESAR : Pertandingan Karom Anak Muda Muafakat Nasional yang telah berlangsung semalam mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan anak muda.
Seramai 35 orang peserta telah menyertai pertandingan tersebut yang diadakan di PASTI Nurul Hayah, Santan, dekat sini semalam.
Pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Muafakat Nasional Pemuda Cawangan Santan Tengah.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan Azizan Sulaiman dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Padang Besar Haziq Asyraf Dun.
Menurut Haziq, sambutan terhadap program semalam membuktikan penerimaan yang amat baik generasi muda terhadap Muafakat Nasional.
“Golongan pemuda amat perlu disantuni kerana mereka turut berperanan besar dalam masyarakat sebagai agen penerangan terutama dalam media baru untuk memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat yang sahih dan tepat.
“Seperkara yang cukup menarik pada malam ini (semalam) adalah selepas saling ‘bermusuhan’ di meja karom, mereka kemudiannya bersatu hati meraikan berita kemenangan calon Barisan Nasional dalam PRK Slim,” katanya ketika dihubungi di sini.