Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Luqman: Siri 1

8939
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 1

Ayat: 1-5 : Pujian Terhadap Ketinggian Al-Quran dan Golongan Al-Muhsinun

Pengenalan surah:

Surah Luqman ialah surah ke-31 dalam Al-Quran. Luqman, juga dikenali sebagai Luqman al-Hakim ialah seorang yang begitu istimewa sehingga sebuah surah diberi nama bersempena dengan namanya. Beliau seorang yang sentiasa merenung akan kejadian alam dan kehidupan di sekeliling, sehingga terbuka hikmah baginya dan mendekatkan hatinya kepada Allah SWT. Allah merakamkan nasihat-nasihat Luqman kepada anaknya untuk diikuti oleh sekelian manusia.

Surah ini adalah surah Makkiyyah dan terdiri dari 34 ayat. Secara umumnya surah ini membicarakan tentang akidah yang merupakan perkara asas dalam kehidupan manusia. Surah ini bertujuan menyampaikan mesej akidah tauhid melalui pelbagai topik:

Pertamanya menzahirkan kemuliaan al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan panduan bagi golongan al-muhsinun atau orang yang melakukan kebaikan.

Topik kedua adalah konsep syukur kepada Allah sebagai kewajipan seorang hamba serta nasihat hamba Allah yang soleh iaitu Luqman al-Hakim kepada anaknya juga buat umat.

Topik ketiga adalah kaitan manusia dengan alam semesta langit dan bumi, siang dan malam agar manusia memerhatikannya dan mengambil ibrah daripada alam.

Topik keempat adalah peringatan Allah tentang kehidupan dunia dan hakikat perkara ghaibiyyat yang tidak diketahui oleh manusia.

? Firman Allah serta terjemahannya:

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ

الۤمۤ ١

Aliif-Laam-Miim

تِلۡكَ ءَایَـٰتُ ٱلۡكِتَـٰبِ ٱلۡحَكِیمِ ٢

Ini ialah ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi hikmah,

هُدࣰى وَرَحۡمَةࣰ لِّلۡمُحۡسِنِینَ ٣

Sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan,

ٱلَّذِینَ یُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلۡـَٔاخِرَةِ هُمۡ یُوقِنُونَ ٤

Iaitu orang-orang yang mendirikan solat, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat.

أُو۟لَـٰۤىِٕكَ عَلَىٰ هُدࣰى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

? Tafsir ringkas:

1. Surah ini dimulai dengan potongan huruf Alif Lam Mim yang maknanya hanya diketahui oleh Allah SWT.

2. Ayat kedua menyebutkan Al-Quran dengan nama Al-Kitab Al-Hakim. Ia bermaksud sebuah kitab yang seluruh kandungannya adalah hikmah. Puncak kepada hikmah itu ialah mengenal Allah SWT dan takut kepada-Nya.

3. Ayat ketiga menjelaskan bahawa Al Quran itu adalah petunjuk yang bermaksud pimpinan atau bimbingan. Prof. Hamka menghuraikan pentingnya petunjuk kepada manusia kerana kita melalui kehidupan di dunia ini buat pertama kali, dan hanya sekali sahaja. Ibarat seseorang di jalan raya, memasuki jalan baru yang belum pernah dilalui. Perkara yang amat diperlukan ialah papan tanda-papan tanda petunjuk arah, pemberitahuan maklumat, arahan dan amaran. Dalam kehidupan ini, Al-Quran lah petunjuk kita.

4. Di samping itu, Al-Quran juga menjadi rahmat, iaitu petanda kasih-sayang Allah SWT kepada manusia, bahkan seluruh alam. Rahmatnya Allah menurunkan Al-Quran dan mengutus Nabi Muhamad S.A.W supaya kita faham dan tahu petunjuk-petunjuk kehidupan. Rahmat ini tersedia untuk golongan muhsinun iaitu orang-orang yang berbuat kebaikan.

5. Siapakah golongan muhsinun? Mereka ialah orang-orang yang mendirikan solat, membayar zakat dan yakin adanya hari akhirat. Ketiga-tiga ciri ini menjadi rukun bagi seorang Muslim. Solat ialah bukti perakuan kita, iaitu dengan menyembah Allah. Melalui solat kita menjaga hubungan dengan Tuhan. Zakat pula menjaga hubungan dengan manusia, melalui serahan harta untuk maslahah bersama. Keyakinan kita kepada hari akhirat pula memberi harapan dan peringatan terhadap ganjaran yang sempurna di syurga, dan peringatan bagi azab di neraka.

6. Mereka, iaitu golongan muhsinun, yang mengikut petunjuk Allah SWT dan Rasul SAW, telah dijamin kejayaan dan kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat.

? Pengajaran:

1. Kita mesti tahu dan sedar betapa besarnya erti hidup ini. Masa itu adalah usia. Waktu yang telah berlalu bererti usia yang sudah habis, tiada ganti. Perkara besar dalam hidup ini ialah membawa kehidupan ini sesuai dengan kehendak Allah SWT. Jadi kita mesti berusaha mempelajarinya daripada petunjuk Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

2. Kita wajib membaca Al-Quran dan belajar memahami isi kandungannya. Ia adalah Rahmat yang utama daripada Allah SWT. Al-Quran disampaikan melalui Rasulullah SAW. Jadi semestinya kita mengikuti apa yang telah Rasulullah sampaikan dan memberi contoh kepada kita sepanjang hidup baginda. Janganlah kita menolak hadis, kerana tanpa Rasulullah SAW, bagaimana mungkin kita akan mendapat petunjuk dan memahami Al-Quran.

3. Marilah kita berusaha menjaga solat dan menjadikannya sebagai agenda utama dalam jadual hidup kita, begitu juga membaca Al-Quran.

4. Kita juga perlu pasangkan niat untuk menjadi pembayar zakat tegar. Ini akan mendorong kita berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh mencari kekayaan kerana Allah.

5. Keyakinan akan adanya hari akhirat mestilah sentiasa dipesan-pesan ke dalam diri. Ini akan lebih mudah apabila kita memahami setiap patah bacaan di dalam solat.

? Rujukan:
Tafsir Hamka

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
21 Ogos 2020 / 2 Muharam 1442