Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) yang berlangsung hari ini menjadi medan membakar semangat serta memperbaharui tekad pemuda dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Meskipun berlangsung dalam keadaan serba sederhana dalam suasana ‘norma baharu’, kehangatan bermuktamar tetap terasa dengan kehadiran seramai 100 orang peserta.
Bermula dengan alunan ayat suci Al-Quran oleh Ahmad Munawwar Fadzli, pelajar Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Furqan, Jejawi Dalam, tirai muktamar kali ke-45 dibuka secara rasmi oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis Ruselee Eizan.
Dalam ucapannya beliau menggesa agar pemuda mempersiapkan jenteranya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.
Para pemuda juga diingatkan agar tidak leka serta sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran sebagai persediaan menjadi sebahagian daripada kerajaan nanti.
Hadir sama dalam muktamar kali ini ialah Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Muhammad Zikri Ismail.
Muktamar kali ini juga menyaksikan PASTI Padang Besar diberi penghormatan naik ke pentas bagi menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Data E Pasti.