Home Artikel PAS Perlis

Ubah Mindset Untuk Teraju Kerajaan

289
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Seluruh kepimpinan serta ahli pemuda diingatkan agar tidak terus terbawa-bawa dengan corak pemikiran sebagai pembangkang dalam era kerajaan Malaysia diterajui Perikatan Nasional pada hari ini.

Jelas Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan, ini kerana PAS pada hari ini bukan lagi sebuah parti pembangkang sebaliknya merupakan sebahagian daripada parti yang memerintah kerajaan.

Tambahnya lagi perubahan ‘mindset’ ini amat perlu agar PAS kekal relevan serta dilihat memiliki kredibiliti memimpin negara.

“Perubahan cara berfikir ini mestilah dimulakan dahulu oleh pimpinan-pimpinan PAS, dan disusuli oleh ahli-ahlinya.

“Perubahan cara berfikir ini termasuklah dalam aspek imej dan penampilan dan ianya amat perlu supaya PAS dilihat berupaya dan diyakini untuk memerintah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis Kali Ke-45 di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini hari ini.

Menurut Muhammad Azmir lagi, para pemuda pada hari ini seharusnya melazimi sesuatu perbuatan mahupun percakapan yang bersifat membina, membangunkan dan membaiki berbanding terkongkong dengan sikap gemar membangkang dan menentang.

Selain itu katanya, sikap ‘lebih banyak mendengar berbanding mengkritik’ serta menjadi agen penyelesai masalah juga perlu ada dalam diri setiap ahli PAS khususnya para pemimpin, dalam berhadapan dengan pelbagai karenah masyarakat.

“Ada yang datang meminta bantuan, mengadu masalah tertentu, meminta peruntukan dan sebagainya, mereka tidak sempat ambil tahu apakah jawatan kita.

“Yang mereka tahu, PAS adalah parti pemerintah (maka bagi rakyat), sesiapa sahaja yang pakai lambang PAS, tentunya adalah pemerintah yang boleh menjadi tempat untuk mendengar segala hal masalah mereka,” ujarnya.