BPMS : Politik Penyelesaian
Kerajaan permudahkan rakyat utk berniaga, Islam haramkan judi.
Ayat 90 dari Surah al-Ma’idah yang menyebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Wabak COVID-19 benar-benar memberi kesan kepada sumber pendapatan rakyat terutamanya golongan B40. Secara umumnya kita dapat melihat gerai-gerai makanan tumbuh di bahu-bahu jalan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ini adalah usaha mereka bagi tujuan mencari atau menambah pendapatan secara halal kerana ada diantara mereka yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan.
Sebahagian dari mereka bukan sahaja tidak memenuhi syarat berniaga oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), malah berniaga dikawasan yang tidak dibenarkan. Ada diantara mereka yang hanya sekadar mampu mengeluarkan modal untuk bahan jajaan. Tidak lebih dari itu, apatah lagi untuk tujuan mendapatkan lesen dari PBT.
Disinilah letaknya peranan kerajaan dan PBT bagi membantu golongan B40, menyediakan premis atau kawasan perniagaan, membenarkan kawasan premis rumah kampung, suntikan typhoid dan kursus pemakanan secara percuma dan pelbagai lagi kaedah untuk membantu golongan ini.
Bukan hanya sekadar penguatkuasaan semasa-mata.
Kita tidak mahu rakyat mencari sumber pendapatan secara mudah melalui aktiviti yang diharamkan dan berisiko memudaratkan rakyat kebanyakkan. Kita juga tidak mahu orang Islam terutamanya dan rakyat secara umum terlibat dalam perjudian yang mempunyai kesan buruk kepada sistem bermasyarakat.
Tindakan tegas perlu di ambil oleh pihak yang berautoriti secara bersepadu samada menutup premis perjudian yang tidak berlesen atau pun perjudian secara online dan menangkap penjual nombor ramalan haram mengikut lunas undang-undang apabila ada maklumat yang sahih. Tidak ada kompromi kepada mereka yang bersalah agar integriti pihak berautoriti tidak dipertikaikan.
Pihak berkuasa telah memainkan peranan dan ini harus di perkukuhkan lagi melalui operasi secara bersepadu. Di Selangor, Polis Bantuan yang ditempatkan di PBT yang disebutkan oleh Menteri Besar dalam Sidang Dewan Negeri, bolehlah membantu operasi penguatkuasaan sekiranya kekuatan anggota polis sangat terhad.
Semoga usaha bersungguh dari semua pihak akan dapat menjana dan memulihkan ekonomi rakyat negeri Selangor dengan lebih baik lagi ekoran wabak pandemik COVID-19.
21 Zulhijjah 1441H | 11 Ogos 2020
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan