Home Kenyataan Media PAS Selangor

“Perutusan Hari Pengguna 2020” – YB Dato Dr Ahmad Yunus Hairi Pesuruhjaya PAS Selangor / ADUN Sijangkang

718
SHARE

Firman Allah SWT di dalam Al Quran, surah Al-Furqan ayat 67 yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian”.

Mac 2020 telah menyaksikan penularan wabak Pandemik Covid-19 yang sangat mengejutkan
pelbagai pihak. Natijah daripada penularan tersebut telah menyebabkan berlakunya
kemelesetan ekonomi yang agak teruk akibat penutupan sektor pembuatan, perladangan, pembuatan dan selainnya.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berfasa yang berlarutan sehingga 3 bulan sebelum fasa pemulihan telah menyebabkan banyak kilang dan syarikat yang gulung tikar dan tutup kedai. Ini telah memberikan kesan yang agak teruk kepada para pengguna daripada kelompok B40 dan M40 yang kehilangan mata pencarian mereka.

Walaubagaimanapun, para pengguna terpaksa juga berbelanja untuk mengurus kehidupan berkeluarga mereka dengan kos kewangan yang minima. Namun ketahuilah bahawasanya ini adalah merupakan ujian Allah SWT kepada kita yang mesti diterima dengan hati dan perasaan yang tenang oleh semua pihak.

Kesungguhan Kerajaan Perikatan Nasional di dalam menggunakan sejumlah peruntukan kewangan dengan kadar segera untuk mengagendakan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) bagi membantu para pengguna yang terkesan dengan pandemik ini adalah satu tindakan yang baik dan terpuji.

Kini Kerajaan Negeri-Negeri turut telah membentangkan peruntukan pakej rangsangan ekonomi diperingkat negeri masing-masing. Harapan saya agar setiap sen daripada peruntukan yang disediakan
ini akan benar-benar sampai kepada sasaran yang telah ditetapkan. Semoga semua pihak terutamanya para pengguna akan mendapat laba keuntungan daripada PRE tersebut tanpa ada yang ditinggalkan atau dianaktirikan.

Maka bersempena dengan Hari Pengguna Tahun 2020 kali ini, saya menyeru agar para pengguna rakyat Negeri Selangor terutamanya lebih bijaksana dan berhemah di dalam melakukan pembelian barangan keperluan. Utamakanlah kedai barangan dengan harga mampu beli dan munasabah.

Amalkan sikap berjimat cermat, bertimbang rasa, tidak boros dan membeli mengikut keperluan. Jauhi sikap bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk. Marilah kita bersama-sama menjadi pengguna yang bijak, berani, bertanggungjawab dan bermaruah.

Akhirnya marilah sama-sama kita mengharapkan ihsan daripada Allah SWT agar melepaskan kita semua daripada bala wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi masakini.

5 Zulhijjah 1441H | 26 Julai 2020

#PASSelangor

#BersamaMembawaSejahtera

#IslamMemimpinPerpaduan