Home Berita PAS Perak

Petikan ucapan saya dalam Pelancaran Program TVET Islamik (TEKNOHAFIZ)

551
SHARE

Image may contain: 1 person, textPetikan ucapan saya dalam Pelancaran Program TVET Islamik (TEKNOHAFIZ)

Orang yang menghafal Al Quran atau orang yang belajar ilmu agama dalam masa yang sama belajar kemahiran yang lain bukanlan sesuatu yang baru. Ia telah dimulai oleh generasi awal Islam.

Sabda Rasulullah SAW :

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ ))
(صحيح البخاري)

‏Tiada makanan yang lebih baik dimakan oleh seseorang lebih baik dari yang diusahakan oleh tangannya sendiri. Dan Nabi Allah Daud memakan dari hasil pekerjaan tangannya. (Hadis Sahih Al Bukhari)

‏Nabi Daud bertukang besi termasuk juga tukang kayu dan lain- lain pekerjaan tangan

‏Jadi Ulama khilaf ada yang mengatakan kerja pertukangan tangan adalah kerja paling baik berdasarkan hadis ini

Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَة

Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah.
(Riwayat al-Bukhari)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hads ini berkata: Dalam hadis ini terdapat keutamaan menanam pohon dan tanaman, bahawa pahala pelakunya akan terus mengalir selama mana pohon dan tanaman itu masih ada, serta sesuatu (benih) yang keluar daripadanya sampai hari kiamat masih ada.

Imam Nawawi menyatakan bahawa pekerjaan yang terbaik adalah bercucuk tanam berdasarkan penjelasannya di akhir bab al-Ath’imah dalam kitab Syarh al-Muhazzab.

Abu Sa’id RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

‎التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ

Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid. (Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama mengatakan pekerjaan terbaik adalah berniaga.

Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul. Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.

Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan. Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat. Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga. Ini kerana, bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya.

‎وهذا خباب بن الأرت كان حدادًا، وعبد الله بن مسعود كان راعيًا، وسعد بن أبي وقاص كان يصنع النبال، والزبير بن العوام كان خياطًا، وبلال بن رباح وعمار بن ياسر كانا خادمين، وسلمان الفارسي كان حلاقًا ومؤبرًا للنخل، وخبيرًا بفنون الحرب، والبراء بن عازب وزيد بن أرقم كانا تاجرين (راجع الحافظ ابن حجز في فتح الباري) .

Ini adalah Khabab bin Al-Art seorang tukang besi, Abdullah bin Masud adalah pengembala, dan Saad bin Abi Waqas membuat anak panah, dan Zubair bin Al-Awam adalah seorang penjahit, dan Bilal bin Rabah dan Ammar bin Yasir adalah khadam, dan Salman Al-Farisi adalah tukang gunting dan penanam pohon kelapa, dan ahli dalam seni perang, Al-Bara bin Azib dan Zaid bin Arqam adalah peniaga (lihat Al-Hafidh Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari).

Adalah disebut beberapa org hafal Quran sebab dalam peperangan Yamamah saja 70 orang hafiz Quran gugur syahid.

Oleh itu, Pusat tahfiz bukan sahaja pusat pendidikan Al Quran, malah menjadi pusat latihan yang melahiran generasi huffaz yang berkemahiran dan berketrampilan tinggi.

Lebih ramai ilmuan Islam yang bukan saja pakar dalam bidang agama, malah juga dilengkapi dengan skill kemahiran tertentu yang menjadikan mereka berbeza dengan orang lain.

Mungkin akan lahir lebih ramai Muslim profesional yang dibentuk bermula dari pusat-pusat tahfiz di negeri Perak ini hasil daripada latihan menerusi program TEKNOHAFIZ yang bakal dijalankan ini.

Maka dengan itu, pihak kerajaan berhasrat membina jalinan kerjasama yang lebih terancang bersama pusat-pusat tahfiz dan institusi latihan kemahiran dari pihak kerajaan mahu pun swasta.

Aktiviti dan silibus latihan akan disusun bersama agar bersesuaian dengan sistem pendidikan di pusat tahfiz tanpa mengganggu fokus utama pengajian iaitu hafalan Al Quran dan pengajian kitab.

Akhir kalam, diharapkan semua pihak pengusaha pusat tahfiz serta institusi latihan kemahiran di negeri Perak dapat berganding bahu bagi menjayakan program TEKNOHAFIZ ini agar dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh demi melahirkan generasi huffaz yang berilmu dan berkemahiran.

Akmal Hj Kamarudin,
Laman Seri Ridzuan,
23/7/2020