PERAK TEGAS PERANGI JUDI
IPOH, 21 Julai 2020 – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) gempur judi habis-habisan melalui Ops Judi Serentak, Peringkat Negeri Perak yang telah diadakan pada Ahad, 19 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, YB Mohd Akmal Kamarudin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan bahawa 10 lelaki telah ditahan dibawah Seksyen 26, Enakmen Jenayah (Syariah) Negeri Perak 1992.
“Mereka yang ditahan disabit kesalahan dibawah Seksyen 26 kerana berjudi ataupun berada ditempat judi dan tindakan lanjut akan diambil oleh JAIPk” tambahnya.
Tegasnya, tangkapan agak rendah dalam operasi kali ini kerana diadakan di pertengahan bulan selain kebanyakkan premis perjudian masih menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menyukarkan penjudi untuk memasuki premis.
“Kita dapat laporan yang kebanyakkan penjudi agak segan untuk beratur panjang di luar premis kerana khuatir akan dilihat oleh orang awam” jelasnya.
Setakat ini, 10 lelaki telah ditahan melibatkan enam dari Teluk Intan manakala Ipoh, Parit Buntar, Manjong dan Gerik masing-masing mencatatkan seorang tahanan setakat ini.
“Jumlah tersebut dijangka akan meningkat semasa hujung bulan atau pada musim gaji jadi kita akan terus buat pantauan melalui operasi yang JAIPk jalankan bagi mengurangkan penglibatan orang Islam diluar sana” tambahnya.
Beliau bertegas Islam melarang umatnya untuk tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti perjudian termasuk perjudian secara langsung ataupun secara atas talian.
“Kita sedar, dengan kecanggihan teknologi yang ada masa kini, mereka (penjudi) tidak perlu ke premis judi. Aktiviti perjudian dapat dijalankan dari rumah masing-masing secara atas talian.
Pihak Kerajaan Persekutuan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau aktiviti perjudian atas talian” katanya.
Beliau sempat merakam ucapan tahniah kepada penguatkuasa yang bertungkus lumus menjalankan tugasan dalam operasi itu yang sentiasa komited untuk membanteras penglibatan orang Islam.
Ops Judi Ini adalah operasi banteras judi besar-besaran berkala Negeri Perak di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Perak yang juga aktif menjalankan Ops Judi Berjadual bagi tujuan itu.
Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]