Home Berita PAS Sabah

PAS Putatan Teruskan Bantuan Banjir

889
SHARE

Janira Ain Abu Bakar
16 Julai 2020

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan telah menyerahkan kelengkapan untuk Surau An Nur Rahim, Kg Sailan pada 12 Julai yang lalu.

Surau An Nur Rahim adalah antara premis ibadah yang terjejas dalam kejadian banjir kilat pada 28 Jun yang lalu. Ia ditenggelami air yang menyebabkan banyak kelengkapan surau rosak.

Sebahagian daripada hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Bencana Banjir Sabah yang dilancarkan oleh PAS Putatan, telah digunakan untuk membeli kelengkapan seperti rehal, buku iqra dan telekung bagi menggantikan kelengkapan yang telah rosak akibat banjir.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Putatan, Wawa ‘Athiyah A Aziz kepada AJK Surau An Nur Rahim, En Ismail. Turut hadir membantu, Jabatan Amal dan Briged Muslimat PAS Putatan.

Pihak surau merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang prihatin. Sumbangan tersebut sangat bermakna kerana pihak surau telah memulakan solat berjemaah, manakala aktiviti seperti kuliah dan kelas-kelas pengajian akan diteruskan semula dalam jangka masa terdekat.

Wawa ‘Athiyah ketika ditemui berkata, “PAS Putatan melihat pentingnya bantuan disampaikan supaya dapat melancarkan urusan pihak surau dalam menjalankan fungsinya sebagai pusat ibadah dan komuniti setempat. Apatah lagi surau adalah satu institusi penting dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat.”