Home Artikel PAS Perak

Kembalikan Fungsi Dan Keutuhan Dewan Rakyat

541
SHARE
BACALAH WAHAI TEMAN (15)
Rabu, 15 Julai 2020
KEMBALIKAN FUNGSI DAN KEUTUHAN DEWAN RAKYAT
Mesyuarat kali ke 2 Dewan Rakyat telah kembali bersidang bermula 13 Julai sehingga 27 Ogos 2020. Hari pertama Dewan Rakyat telah dihangatkan dengan usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon. Susulan daripada usul ini mencetuskan pelbagai nistaan dan cercaan dari kalangan ahli parlimen sehingga parlimen dilihat seperti “pasar” yang tidak terkawal. Pada sebelah petangnya pula, parlimen terpaksa ditangguhkan kerana perbalahan tentang isu “gelap” dan “tempek bedak” yang didakwa sebagai rasis dan perkauman. Ini semua merendahkan martabat Dewan Rakyat yang merupakan salah satu daripada institusi perundangan tertinggi negara.
Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Parlimen ialah institusi perundangan tertinggi di dalam negara sebagai medan penggubalan undang-undang. Parlimen Malaysia terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara. Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan kepentingan orang ramai.
Namun, insiden yang berlaku khususnya dalam Dewan Rakyat tidak menggambarkan Dewan Rakyat berfungsi sepertimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Negara. Semua ini menyebabkan anak muda semakin tidak minat dengan politik. Menurut laporan SPR pada tahun 2018 menyatakan bahawa 3.6 juta belia yang berumur 21 tahun ke atas tidak mendaftar sebagai pengundi. Ini semua membahayakan masa depan negara.
Dalam Islam, kepimpinan merupakan antara perkara yang penting sehingga perkara kecil seperti permusafiran perlu dilantik seorang ketua untuk melancarkan perjalanan. Ini disebut dalam Sabda Nabi SAW :
إذا خرج ثلاثة فى سفر فليؤمروا عليهم احدهم
Maksudnya: “Apabila tiga orang keluar musafir maka hendaklah mereka melantik seorang di antara mereka sebagai ketua” (Hadis riwayat Abu Daud)
Melihat kepada suasana yang berlaku dalam Dewan Rakyat sekarang, perlu kepada cadangan pemerkasaan supaya mutu perbahasan dapat dipertingkatkan seterusnya membantu pihak kerajaan untuk bergerak dengan lebih efektif dan efisyen. Dewan Rakyat bukan sekadar untuk menunjukkan siapa hero, tetapi Dewan Rakyat adalah untuk menyelesaikan permasalahan negara.
Berdasarkan dengan apa yang berlaku sekarang, ada dua isu asas yang perlu diperkasakan iaitu;
1. Pemilihan ahli parlimen
2. Tatacara perbahasan Dewan Rakyat
PEMILIHAN AHLI PARLIMEN
Dalam Sistem Demokrasi hari ini, kelayakan ahli parlimen disebut secara umum sahaja iaitu;
1. Warganegara Malaysia
2. Berumur tidak kurang dari 18 tahun
3. Sempurna akal
4. Bukan seorang muflis
5. Seorang tidak boleh memegang jawatan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa
Sedangkan dalam Islam, kelayakan untuk menjadi pemimpin disebut dengan lebih terperinci, sesuai dengan tugas seorang pemimpin yang ingin menjaga rakyat. Islam meletakkan kepimpinan itu mestilah menepati beberapa kriteria, iaitu berilmu dan soleh.
1) Berilmu
Allah SWT mengangkat Nabi Adam AS sebagai khalifah di muka bumi berbanding makhluk lain, termasuk malaikat, dengan ilmu. Sayyid Qutb di dalam Fi Zhilal al Quran menyatakan bahawa ilmu tersebut ialah ilmu menamakan sesuatu. Allah SWT berfirman;
وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32(
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”. (31) Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (32)
Selain itu, Talut juga digambarkan sebagai seorang pimpinan yang diberikan ilmu,
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِیُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكࣰاۚ قَالُوۤا۟ أَنَّىٰ یَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَیۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ یُؤۡتَ سَعَةࣰ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَیۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةࣰ فِی ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ یُؤۡتِی مُلۡكَهُۥ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ
.
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya (Surah al Baqarah 247).
Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS juga merupakan raja yang diberi ilmu. Allah SWT berfirman
وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا ۖ وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman” (Surah An Naml 15)
Pedoman daripada kisah-kisah pemerintahan yang baik, yang digambarkan di dalam al Quran ialah dengan diurus oleh pemerintah yang berilmu. Nabi Adam AS dikurniakan ilmu menamakan sesuatu. Nabi Daud AS diberikan ilmu tentang besi. Nabi Sulaiman AS diberikan ilmu komunikasi dengan makhluk makhluk lain.
Walaubagaimanapun, secara umumnya masing masing diberikan ilmu yang diperlukan dan bersesuaian dengan zaman itu. Maka, kepimpinan perlu kepada ilmu semasa, dalam masa yang sama sangat memahami ilmu syariat kerana ilmu syariat itu ialah undang undang yang mengatur hidup manusia.
2) Soleh
Kepimpinan perlu berperanan sebagai pengislah, iaitu mengurus dan memperbaiki masyarakat. Maka, titik tolak kepada sifat ini ialah soleh. Iaitu, seorang yang berakhlak. Tak guna kalau ilmu ada, tetapi tiada akhlak. Justeru Allah SWT berfirman menggambarkan bahawa bumi Allah itu diwarisi oleh orang orang yang soleh
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab Zabur setelah tertulis didalam Al-Zikr (Luh Mahfuz) bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Al-Anbiya’:105)
وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40) الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)
Antara akhlak sebagai seorang pimpinan ialah melaksanakan syariat-syariat Allah seperti solat, zakat dan lain lain. Kepimpinan yang rosak ialah mereka yang hanya memikirkan untuk kepentingan peribadinya sahaja, bukannya untuk negara.
Secara kesimpulannya ahli parlimen mestilah seorang yang mempunyai dua asas utama, iaitu ilmu dan mempunyai akhlak/moral yang baik yang boleh dijadikan ikutan, disamping nilai kebajikan yang sememangnya sinonim dengan tugasan seorang wakil rakyat.
TATACARA PERBAHASAN DEWAN RAKYAT
Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa hak dan pengecualian yang dipanggil “Keistimewaan Ahli-ahli Parlimen” kepada ahli Parlimen. Setiap Dewan mempunyai kuasa untuk mengawal selia tatacaranya sendiri, mempunyai kuasa mutlak atas prosiding masing-masing yang mana kuasa-kuasa ini tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah; dan setiap Dewan boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran hak keistimewaan atau menghina (contempt) di dalam Dewan tersebut. Secara amnya, ahli Dewan menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen (laman web Parlimen Malaysia)
Namun begitu, penguatkuasaan peraturan mesyuarat disamping adab dan etika perbahasan perlu diperkasakan, lebih-lebih lagi sidang mesyuarat ditonton secara langsung oleh semua lapisan rakyat. Kepimpinan mesti menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada rakyat.
Melihat kepada perbahasan dalam Dewan Rakyat baru-baru ni, saya mencadangkan dua perkara yang boleh diperkasakan di Dewan Rakyat
1. Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Merujuk kepada Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Bahasa rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia, tetapi Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris. Melihat kepada perbahasan baru-baru ni, permohonan izin penggunaan Bahasa Inggeris semakin dilihat tidak berlaku. Perkara ini sepatutnya ditegur oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya setiap ahli parlimen sedaya-upaya berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia sebagai lambang penyatuan dan perpaduan.
Setiap ahli parlimen sepatutnya petah Berbahasa Melayu termasuk ahli parlimen yang bukan berbangsa Melayu. Ini selaras sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Rasmi yang digunakan dalam urusan kerajaan ialah Bahasa Melayu.
2. Adab Dalam Perbahasan
Peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat telah menetapkan peraturan-peraturan berbahas termasuk adab dalam perbahasan seperti tidak boleh diganggu, dan diam sewaktu seseorang bercakap kecuali mendapat keizinan. Namun peraturan ini semakin jelas dilanggari menyebabkan parlimen menjadi pasar yang bingit.
Di sinilah nilai ahli parlimen akan dilihat samada menjadi seorang yang mematuhi peraturan ataupun berlagak seperti hero yang terkinja-kinja dalam parlimen.
Dalam hal ini, ia memerlukan ketegasan dan teguran segera daripada Yang di-Pertua Dewan supaya perbahasan Dewan Rakyat menjadi perbahasan yang bermutu dan bererti kepada pihak kerajaan.
KESIMPULAN
Dewan Rakyat bertindak sebagai badan semak dan imbang kepada pihak kerajaan. Ahli-ahli parlimen perlu bersikap menyokong apa yang benar dan menyanggah apa yang silap dan salah, sesuai dengan budaya politik matang dan sejahtera.
Perdebatan remeh dan penggunaan Bahasa yang tidak sesuai patut dielakkan demi memastikan fungsi dewan rakyat dilihat gah di mata masyarakat.
Oleh:
YB Ustaz Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak