DAP menjadi sebahagian dari kerajaan negeri Selangor sejak Pilihanraya Umum 2008. Sejak itu DAP terus menyusup agenda perjuangan partinya dalam dasar dan program kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan politiknya di negeri ini.
Pada PRU 2008 DAP memenangi 13 kerusi yang rata-rata majoriti bukan Melayu, hari ini ia memegang 16 kerusi termasuk satu kerusi Melayu iaitu DUN Dusun Tua.
Dalam keadaan kerajaan PH yang tidak stabil ekoran keluarnya 4 ADUN PKR dan 5 dari Bersatu, iaitu termasuklah seorang Timbalan Speaker dan dua orang ahli EXCO, kedudukan DAP dan ADUN bukan Melayu di Selangor menjadi semakin dominan. Ini sudah tentu janggal apabila negeri yang majoriti Melayu diperintah oleh kerajaan yang didominasi masyarakat minoriti.
DAP bercita-cita menjayakan agenda “Malaysian Malaysia” nya dimana setiap rakyat dipandang sama-rata dengan menghapuskan sebarang bentuk keistimewaan pada satu-satu kaum atau kelompok. Ianya bertetangan dengan jaminan di dalam Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial turun-temurun yang meletakkan orang Melayu Bumiputera lantaran faktor sejarah dengan beberapa keistimewaan dan perlindungan.
Selain itu ia juga berjuang untuk memastikan yang Malaysia kekal sebagai sebuah negara sekular iaitu negara yang memisahkan urusan agama dengan pentadbiran kerajaan.
Segala tindak-tanduk DAP ini sudah pasti mengancam kedudukan dan hak orang Melayu Bumiputera sebagaimana dirasai ketika mereka dominan di kerajaan Persekutuan pasca PRU 14. Ia hanya berakhir apabila kerajaan PH roboh di Putrajaya.
Namun Selangor terus menjadi pengkalan mereka selepas Pulau Pinang. Lantaran itu rakyat Malaysia khasnya berketurunan Melayu Bumiputera di Selangor perlu menyedari ancaman DAP ini.
Tiada cara lain untuk menyekat kemaraan mereka selain orang Melayu bersatu membentuk muafakat politik yang kukuh dan berhadapan satu lawan satu menentang DAP dan PH ini. Selangor perlu diselamatkan dari terus ditelan agenda politik mereka.
Kini melalui Muafakat Nasional iaitu kerjasama politik PAS dan Umno di Selangor usaha sedang dilakukan untuk merampas kembali tampuk kuasa dari tangan DAP-PH yang rasis dan ektrimis itu. Dan sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat, iaitu melalui penyertaan parti Bersatu dan kelompok PKR yang pro Datuk Seri Azmin yang telah meninggalkan PKR adalah dijangkakan PH boleh dicungkil keluar dari negeri Selangor sekaligus menghapuskan penguasaan DAP.
Selangor yang berbilang kaum dan agama ini sewajarnya terus maju membangun tanpa ciri-ciri pecahbelah dan pemimpin yang rasis. Nasib dan masadepan agama, bangsa dan negara perlu dipertahankan sementara kestabilan negeri dijamin.
Rakyat Selangor perlu bangkit menyahut politik baru yang dibawa oleh Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dengan harapan tiada lagi pengaruh DAP bertapak dalam pentadbiran dan kerajaan negeri Darul Ehsan ini.
Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Selangor
21 Zulkaedah 1441H | 12 Julai 2020