Home Berita PAS Pahang

ARAK : Saranan Dewan Ulamak PAS Pahang

1424
SHARE

Seruan Dewan Ulama PAS Negeri Pahang Berkaitan Isu Pemandu Mabuk Mengancam Nyawa

Sudah terlalu kerap dan sentiasa berulang kes kemalangan maut yang berpunca dari pemandu mabuk.

Terbaru, kemalangan yang mengorbankan satu nyawa yang tidak berdosa di Jalan Kuantan By-pass Semambu Kuantan pada hari Isnin 25 Mei 2020.

Tragedi yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu dikatakan berpunca daripada tindakan seorang pemandu mabuk yang memandu laju bertentangan arah. Ia telah mengakibatkan berlakunya kemalangan membabitkan beberapa buah kereta.

Mangsa yang terkorban akibat kejadian tersebut adalah dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng Kuantan.

Dewan Ulama PAS Pahang memandang serius isu kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ini kerana ia sudah terlalu kerap berlaku dan didapati mendatangkan kesan yang sangat buruk.

Perkara ini bukan sahaja mengancam nyawa orang ramai, bahkan mengakibatkan kesedihan, kesusahan dan kemarahan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia atau cedera.

Atas kesedaran untuk memelihara keselamatan dan mengelakkan kemudaratan, berpandukan hadis Nabi SAW:
لا ضرر ولا ضرار
Maksudnya: Tiada kemudaratan dan tidak boleh membuat mudarat (Hadis Hasan Riwayat Ibnu Majah).

Maka Dewan Ulamak PAS Pahang menggesa agar pihak Kerajaan:

1. Mengharamkan terus aktiviti meminum arak dan semua jenis minuman keras yang memabukkan ketika memandu dan di khalayak ramai kerana ancaman kemudaratannya kepada masyarakat awam. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
الضرر يزال
“Kemudaratan Itu Hendaklah Dihilangkan”.

2. Menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mabuk ketika memandu.

3. Melarang penjualan arak secara terbuka di pasaraya, mini market dan kedai serbaneka 24 jam bagi mengekang pembelian arak secara berleluasa.

4. Mengenakan tindakan yang tegas terhadap penjualan arak di kalangan orang Islam serta golongan bawah umur bagi membendung gejala yang negatif ini dari awal.

Hakikatnya Ini bukan soal Islam dan bukan Islam atau Melayu dan bukan Melayu. Sebaliknya ia soal kemaslahatan (kebaikan) bersama masyarakat Malaysia yang pastinya akan terdedah kepada mudarat yang berpunca dari ketagihan arak ini.

Agama Islam mengharamkan arak dan menetapkan hukuman keras terhadap peminumnya iaitu 40 kali sebatan. Bahkan agama lain seperti Hindu, Budha dan Kristian juga melarang penganutnya mengambil minuman yang merosakkan ini.

Malah bagi mereka yang berfikiran positif pastinya melihat bahawa arak tiada apa-apa kebaikan selain hanya mengundang mudarat kepada peminumnya.

Lantaran itu didapati beberapa buah negara bukan Islam telahpun menguatkuasakan undang-undang yang berat terhadap pemandu mabuk.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari pekerjaan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah Al-Maidah ayat 90)

Dengan ini juga saya mewakili Dewan Ulamak PAS negeri Pahang melahirkan rasa amat sedih serta mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham Irwan Herman Kamarudin, 41 yang menjadi mangsa kemalangan terbaru akibat dilanggar pemandu mabuk. Didoakan agar Allah Taala merahmati roh arwah dan ditempatkan bersama golongan solihin.

Dewan Ulamak PAS Pahang mengharapkan pemimpin negara mengambil tindakan segera dan memberikan perhatian serius agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi dan negara kita diberkati oleh Allah Taala.

Yakinlah jika kita buat sesuatu demi melaksanakan perintah Allah, nescaya Allah Taala akan bantu kita selesaikan urusan dunia.

USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang.
ADUN Damak.