Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 19
Ayat : 45-48 : Seruan Buat Nabi SAW Sebagai Penyeru Ummat
Firman Allah serta terjemahannya:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّبِیُّ إِنَّاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ شَـٰهِدࣰا وَمُبَشِّرࣰا وَنَذِیرࣰا
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
وَدَاعِیًا إِلَى ٱللَّهِ بِإِذۡنِهِۦ وَسِرَاجࣰا مُّنِیرࣰا
Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada Agama Allah dengan taufiq yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi.
وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ بِأَنَّ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَضۡلࣰا كَبِیرࣰا
Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan memperoleh limpah kurnia yang besar dari Allah.
وَلَا تُطِعِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ وَٱلۡمُنَـٰفِقِینَ وَدَعۡ أَذَىٰهُمۡ وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِیلࣰا
Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).
? Tafsir ringkas:
1. Dalam keempat-empat ayat ini, Allah SWT telah menjelaskan tentang tugas Rasulullah SAW dan kelebihannya terhadap seluruh orang-orang yang beriman. Pertamanya, Rasulullah SAW adalah sebagai saksi terhadap keesaan Allah SWT juga saksi terhadap amal perbuatan manusia di akhirat kelak. Allah SWT juga menjadikan Rasulullah SAW sebagai pembawa khabar gembira kepada orang yang beriman dengan ganjaran pahala yang besar serta pemberi peringatan kepada orang yang kafir dengan beratnya seksaan Allah SWT.
2. Dalam ayat 46, Allah menyambung lagi peranan Rasulullah SAW sebagai penyeru kepada seluruh makhluk Allah untuk menyembah Dia Tuhan Yang Satu dengan kebenaran agama Allah yang begitu jelas dan nyata umpama matahari yang bersinar dan memancarkan cahayanya.
3. Pada ayat 47, Allah SWT mengarahkan Rasulullah SAW agar menyampaikan berita gembira kepada semua orang beriman yang beramal dengan ajaran Islam berkaitan ganjaran besar di sisi Allah yang akan diperolehi oleh mereka. Antaranya adalah seperti nikmat yang menyenangkan, rezeki yang berkat, kemenangan di dunia, serta selamat daripada kemurkaan dan siksaanNya.
4. Di ayat 48 pula, Allah memberi peringatan tegas agar mereka menjauhkan diri daripada golongan kafir serta munafik. Jangan sesekali menurut atau patuh kepada mereka dalam perkara yang boleh menghalangi mereka dari jalan Allah. Dan perlu juga untuk berlapang dada terhadap mereka serta memaafkan mereka dan menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT.
Pengajaran
1. Sebagai seorang muslim, menjadi suatu keperluan untuk kita mencontohi dan menguasai kemahiran menyampaikan dakwah (uslub dakwah) berpandukan qudwah atau contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan adanya elemen khabar gembira (basyir) dan peringatan keras (nazir) yang bersesuaian dengan mengambil kira Fiqhul Waqi’ (feqah memahami keadaan).
2. Pendakwah hendaklah berusaha seboleh mungkin menjadi seorang yang bijaksana (fatanah) dalam menyampaikan dakwah bagi memberi pencerahan kepada masyarakat berhubung dengan hukum hakam serta arahan dan larangan yang berkait dengan ajaran Islam.
3. Sewajarnya kita praktikkan setiap hari selepas bangun daripada tidur untuk mengucapkan rasa syukur kita kepada Allah atas pelbagai nikmat berterusan yang Allah SWT kurniakan kepada kita terutamanya nikmat iman dan Islam serta janji yang pasti daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman akan ganjaran yang bakal diperolehi di akhirat nanti.
Antara doa yang boleh kita amalkan pada waktu pagi ialah :
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَكَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ، وَدِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم وَمِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا، وَمَا كاَنَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ.
4. Untuk menegakkan agama Islam yang sebenar-benarnya dalam negara yang kita cintai ini, amat perlu untuk kita mempunyai pendirian yang teguh serta memahami prinsip-prinsip asas Islam agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan provokasi daripada musuh-musuh Islam.
Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Tafsir Fii Zilalil Quran
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
12 Mei 2020 / 19 Ramadhan 1441