Home Minda Presiden

Ramadhan: Kemenangan Melawan Hawa Nafsu

1885
SHARE

Minda Presiden PAS

RAMADHAN: KEMENANGAN MELAWAN HAWA NAFSU


Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang diberikan keistimewaan, kerana mempunyai fitrah (naluri) yang berjasad, ada roh dan akal serta beroleh hidayah Allah sehingga mereka sanggup menerima amanah beribadat dan mentadbir kehidupan di alam dunia. Kewajipan itu tidak mahu diterima oleh makhluk lain yang hanya lebih besar dan kukuh pada zahir sahaja, sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah:

﴿إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا٧٢﴾

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan  amanah (tanggungjawab) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan).” (Surah al-Ahzab: 72)

Berdasarkan kepada tujuan manusia diciptakan dengan kurniaan nikmat Allah, menunjukkan matlamat dan keperluan hidup manusia tidak sama dengan makhluk lain yang hidup di atas muka bumi. Ini memungkinkan mereka menunaikan amanah beribadat kepada Allah dan mengurus alam dunia dengan akal dan hidayah yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

﴿۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah melebihkan kepada mereka dengan selebih-lebihnya atas kebanyakan makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Peranan manusia berbeza dengan malaikat yang tidak mempunyai jasad dan nafsu, bahkan mereka diletakkan di alam rohani di langit. Manusia juga berbeza dengan makhluk bumi lain seperti binatang yang mempunyai jasad dan nafsu tanpa akal. Begitu juga berbeza dengan makhluk tidak bergerak seperti tumbuhan, dan jauh sama sekali seperti batu, bukit-bukau dan gunung-ganang.

Allah SWT menciptakan manusia dengan tujuan dan hikmah tersendiri. Firman Allah:

﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥ فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡكَرِيمِ١١٦﴾

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada penciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? (115); Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggi Allah yang Menguasai seluruh alam, lagi yang Tetap Benar, tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang Mempunyai Arasy yang mulia (116).” (Surah al-Mu’minun: 115-116)

Manusia mempunyai kehendak yang diperlukan oleh jasad seperti binatang yang tiada akal. Namun manusia diberikan jasad dan akal untuk hidup yang tidak sama seperti binatang.

 

Manusia juga memerlukan makanan, pakaian dan peralatan kediaman serta bergerak ke sana ke mari. Bahkan manusia mempunyai keperluan akal dan maruah diri bersifat rohani seperti roh iman, akhlak yang mulia, ilmu dan kebijaksanaan melalui pancaindera dan pengalaman hidup.

Manusia pertama yang diciptakan ialah Nabi Adam dan Hawa AS yang ditarbiah oleh Allah SWT sebelum dihantar ke bumi supaya menyesuaikan diri dengan sifat kejadiannya yang mulia, berakal, beriman dan budiman. Tiba-tiba kedua-dua insan mulia itu berjaya digoda oleh Iblis yang dilaknat dengan memenangkan nafsunya. Kisah benar ini menceritakan peristiwa hitam yang mendidik manusia. Firman Allah:

﴿فَوَسۡوَسَ إِلَيۡهِ ٱلشَّيۡطَٰنُ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ هَلۡ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلۡخُلۡدِ وَمُلۡكٖ لَّا يَبۡلَىٰ١٢٠ فَأَكَلَا مِنۡهَا فَبَدَتۡ لَهُمَا سَوۡءَٰتُهُمَا وَطَفِقَا يَخۡصِفَانِ عَلَيۡهِمَا مِن وَرَقِ ٱلۡجَنَّةِۚ وَعَصَىٰٓ ءَادَمُ رَبَّهُۥ فَغَوَىٰ١٢١ ثُمَّ ٱجۡتَبَٰهُ رَبُّهُۥ فَتَابَ عَلَيۡهِ وَهَدَىٰ١٢٢﴾

“Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” (120); Kemudian mereka berdua memakan daripada pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (121); Kemudian Tuhannya memilih dirinya (dengan diberikan taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk (122).” (Surah Taha: 120-122)

Nabi Adam dan Hawa AS digoda dengan perkara yang menarik hawa nafsunya sehingga hilang pertimbangan akal dan merosakkan iman, kerana tertarik mahu hidup sepanjang hayat di dunia dan berkuasa, namun Allah SWT tetap memelihara iman mereka berdua dengan hidayahNya, lalu bertaubat.

Nafsu adalah dorongan keinginan untuk melakukan sesuatu dalam kehidupan dunia. Namun nafsu manusia tidak sama seperti binatang kerana perlu dikawal oleh akal dan roh yang bijak, beriman dan berilmu.

Ini menjadikan manusia itu mampu membina masyarakat, memimpin dan mengurus diri yang sihat untuk beribadat dan memakmurkan bumi dengan sumber hasil semula jadi supaya berkembang dengan baik secara istiqamah (konsisten) dan memberikan kebahagiaan kepada manusia yang dimuliakan oleh Allah dalam kehidupan dunia yang bersifat sementara waktu, bukannya kebahagiaan seperti binatang yang tiada martabat dan maruah diri. Sekiranya manusia berjaya, maka Allah akan memberikan ganjaran kebahagiaan di Hari Kiamat yang kekal abadi.

Rasulullah SAW menceritakan peristiwa Hari Kiamat dengan bersabda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ؛ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

“Tujuh golongan manusia di mana Allah memayunginya pada Hari Kiamat dengan rahmatNya, itulah hari yang tiada sesiapa pun boleh memberi perlindungan selain Allah. Golongan manusia itu ialah pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat, seorang yang hatinya cintakan masjid, dua orang yang bersahabat dengan kasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah keranaNya, seorang yang digoda oleh wanita yang bangsawan dan rupawan lalu dia menegaskan, “Saya (tidak mahu melakukan maksiat) kerana takut terhadap Allah”, seorang dermawan yang ikhlas terlalu pemurah, dan (paling akhirnya) seorang yang berzikir secara bersembunyi sehingga berlinangan matanya kerana khusyuk.” (Riwayat al-Bukhari 660 dan Muslim 1031)

Semua yang dijelaskan di dalam hadis ini ialah manusia yang diberikan nikmat dunia, lalu bersyukur dengan memberikan ketaatan kepada Allah.

Kini kita sedang menyaksikan betapa manusia yang berasal daripada zuriat Nabi Adam dan Hawa AS digoda hawa nafsunya, seolah-olah mahu hidup untuk selama-lamanya dan tiada kematian di alam dunia ini.

Kunci paling berbahaya untuk mengikut hawa nafsu ialah berlumba-lumba dan saling berebut untuk mendapatkan kuasa dan jawatan tanpa rasa malu dan segan sehingga tidak sedar akan tahap kemampuan diri sendiri. Semuanya kerana mahu menuruti keperluan nafsu supaya selepas itu mudah untuk mendapatkan apa-apa sahaja, sama ada memuaskan nafsu perut atau kemaluan, sehingga menjadi seperti binatang tanpa akal apabila berkuasa, berharta dan sihat sejahtera.

Apabila  Abu Zar al-Ghifari RA, seorang sahabat yang dikasihi oleh Rasulullah SAW datang meminta jawatan apabila beliau tidak diberikan jawatan seperti sahabat yang lain. Tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda:

يا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيْهَا

“Wahai Abu Zar! Kamu seorang yang lemah (tidak layak), sesungguhnya tugas itu adalah satu amanah besar, nanti di Hari Kiamat akan beroleh kekecewaan dan penyesalan, melainkan orang yang mampu dan menunaikan kewajipannya yang sebenar.” (Riwayat Muslim: No 1825)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW memberi amaran kepada seseorang yang meminta-minta secara nafsu untuk mendapatkan jawatan kerana akan dihempaskan jawatan itu ke atas kepalanya, tanpa mendapat pertolongan Allah sehingga menjadi bencana kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman bin Samurah RA:

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، لَا تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ ؛ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا.


“Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan kamu meminta jawatan, sekiranya diberikannya dengan cara meminta minta nescaya ia akan dibebankan kepadamu, sekiranya tidak diminta nescaya kamu diberi pertolongan (oleh Allah).” (Riwayat al-Bukhari: No. 6622)

Manusia yang beriman telah ditarbiah di bulan Ramadhan yang berkat ini supaya memahami al-Quran sebagai petunjuk sepanjang perjalanan hidup di dunia yang menjadi tempat ujian dan menuju ke alam akhirat yang akan diumumkan keputusan daripada Allah SWT.

Ibadat puasa mendidik sahsiah dan jati diri manusia yang diciptakan menjadi hamba Allah yang dipilih supaya beribadat bersama para malaikat yang mulia. Kehidupan mereka untuk memakmurkan bumi dengan jasad dan akal yang sihat serta dipilih makanan mengikut kadarnya, tidak sama seperti binatang, kayu dan batu yang diciptakan untuk digunakan sementara waktu sahaja.

Manakala menahan diri ketika berpuasa daripada melakukan perkara yang dihalalkan di waktu tidak berpuasa dapat melatih untuk mengawal nafsu supaya tidak sama seperti binatang yang tidak berakal. Pada masa yang sama, mendidik manusia hiudup bermasyarakat madani yang sebenarnya apabila al-Quran dijadikan petunjuk yang tertinggi.

Al-Quran sebenarnya datang daripada Allah dan para Rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad SAW yang menjadi pilihanNya untuk menjadi contoh dan teladan dalam semua perkara.

Kejayaan tarbiah Ramadhan dapat dilihat kepada perubahan yang positif selepas Ramadhan dan keputusan terakhir yang sebenar pada hari pertemuan (Hari Kiamat) untuk menerima keputusan daripada Allah yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Kejayaan manusia adalah kemenangan melawan nafsu kebinatangan yang ada dalam dirinya, dan mengalahkan syaitan yang nyata dan ghaib. Itulah musuh yang sentiasa menunggu dan menggoda hidup manusia di alam dunia walaupun sudah menang pilhan raya atau revolusi sehingga berperang dengan ganas terhadap sesama saudara sendiri, apabila nafsu kebinatangan tidak dapat dikalahkan dan syaitan berjaya menggodanya sehingga meninggalkan hidayah Allah SWT.

Justeru itu, perlunya kita sentiasa berdoa dengan memohon petunjuk daripada Allah SWT:

﴿بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧﴾

“Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1); Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam (2); Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (3); Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat) (4); Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan (5); Tunjukilah kami jalan yang lurus (6); Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (7).” (Surah al-Fatihah: 1-7)

Perlu juga mengingatkan diri kita dengan firman Allah:

﴿وَٱلۡعَصۡرِ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ٣﴾

“Demi Masa! (1); Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2); Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (3).” (Surah al-‘Asr: 1-3)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Ramadhan 1441 / 12 Mei 2020

                             .