RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441
Siri 10
https://m.facebook.com/mohdfadlighani
SHEIKH MAS’UD AL-BANJARI: BERJIHAD HINGGA SYAHID
PERJUANGAN umat Islam mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh bangsa kafir telah mendorong para pemberani agama mengejar syahid di jalan Allah. Bumi Nusantara menjadi tanah yang paling subur untuk dakwah Islam sejak abad ketujuh Masehi lagi. Perkembangan pesat dakwah Islam telah menyebabkan seluruh kekayaan Nusantara, kedudukan strategik di laluan laut yang utama antara timur dan barat dan populasi umat yang besar telah dikuasai oleh Islam, sehingga menimbulkan kecemburuan bangsa lain terhadap orang Melayu Islam. Orang Melayu telah meninggalkan kepercayaan lama, Hindu-Buddha, lalu menjadi bangsa yang beriman kepada Allah.
Berdirinya kerajaan-kerajaan Islam dari Pasai sampai Ternete, dari Champa sampai ke Demak, dari Minangkabau sampai Mindanao, serta dari Manila sampai Palembang, telah menimbulkan kedengkian musuh-musuh Islam. Seperti mana Portugis telah merobek Melaka, Samudera-Pasai dan Ambon, Sepanyol meruntuhkan Amanillah (Manila) dan Annam menghancurkan Champa, begitulah usaha Siam untuk menjarah negeri-negeri Melayu Islam dari Ligor sampai ke Kedah sejak awal abad ke-17M lagi. Kejayaan Raja Phraya Taksin menguasai Cupak (Chumpon), Randung (Ranong), Cahaya (Chaiya), Ligor (Nakhon Si Thammarat), Bedelong (Patthalong) dan Singgora (Songkhla) pada 1769M, telah membawa kepada kejatuhan Patani pada 1786M.
Kedah menjadi mangsa persaingan politik Siam. Kejayaan Kedah mengalahkan Perak bagi pihak Siam pada 1818M, telah menyebabkan Sultan Kedah diberikan gelar Chao Phraya oleh Raja Siam. Ini menimbulkan kedengkian Noi Na Nakhon, gobernor Siam di Ligor yang mempunyai gelaran kebesaran yang lebih rendah lalu memfitnah Kedah sehingga negeri itu dijajah oleh Siam pada 12 November 1821M. Akibatnya, Kedah terjajah selama 22 tahun (1821-1843M), selain kehilangan Perlis dan Setul (Satun). Kerana itulah umat Islam di Kedah telah bangkit berjuang sejak 1823M sehingga tercetusnya perang pada 1831M yang dipimpim oleh Tunku Kudin. Lihat https://berita.pas.org.my/tunku-kudin-syahid-ketika-mengusir-siam-di-kedah/ . Akibat tekanan berterusan daripada Siam, pada 1838M satu lagi perang ke atas Siam dilancar.
Kebangkitan Ulamak ke Atas Siam
Para ulamak tidak berdiam diri dengan pencerobohan Siam ke atas Kedah ini, setelah Patani juga jatuh pada 1786M. Apa yang menarik dalam perjuangan umat Islam di Kedah ialah penglibatan para ulamak dari pelbagai negeri, seperti yang berlaku di Melaka. Antara tokoh yang menonjol dalam mempertahankan Kedah ialah Tunku Kudin (berketurunan Melayu-Arab dan ayahnya dari Palembang), Sheikh Abdul Samad al-Falembani (keturunan Melayu-Arab, kelahiran Palembang), Sheikh Daud al-Fathani (dari Patani) dan Sheikh Mas’ud Abu Su’ud al-Banjari, ulamak berketurunan Banjar yang keluarganya dari Kalimantan. Para ulamak melupakan perbezaan darah dan tanah air mereka demi mempertahankan hak dan maruah umat.
Selepas peperangan pertama 1823-1831M yang dipimpin oleh Tunku Kudin, gerakan jihad kedua dipimpin pula oleh sepupu Tunku Kudin iaitu Tunku Muhammad Saad Tunku Daud. Gerakan ini dilancarkan pada 1831M dengan penglibatan para ulamak dari Patani, manakala Sheikh Abdul Samad dan Sheikh Mas’ud menjadi panglima-panglimanya. Mereka telah menyerang Siam di Kedah dan menghalau mereka hingga ke Singgora, sehingga menyebabkan mereka dikepung oleh tentera Siam dari Bangkok dan sebahagian mereka telah syahid. Lihat https://berita.pas.org.my/sheikh-abdul-samad-al-falembani-syahid-ketika-menghalau-siam/ .
Sheikh Mas’ud: Ulamak Berdarah Banjar
Cucu kepada tokoh ulamak Banjar, Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari ini tercatat sebagai salah seorang panglima perang Kedah yang syahid pada 1839M. Sheikh Muhammad Arsyad (m. 1812M) adalah teman sepeguruan Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Daud Fathani dan Sheikh Abdul Wahab Bugis di Mekah. Beliau adalah anak angkat Sultan Tamhidullah (1700-1734M), Sultan Banjar dan dikatakan berketurunan Sayyid al-Idrus dari Maghribi yang datang ke Alam Melayu dalam abad ke-16M. Anak beliau, Sheikh Abu Su’ud telah datang ke Kedah dari Mekah dan dilantik sebagai qadhi di Kedah. Dari Qadhi Abu Su’ud inilah lahirnya Sheikh Mas’ud al-Banjari di Kedah sekitar tahun 1760M.
Setelah mendapat didikan agama secara mendalam di Kedah, Sheikh Mas’udi telah bertolak ke Mekah untuk belajar agama mengikut tradisi keluarga mereka. Setelah alim, beliau telah kembali ke Kedah dalam keadaan negeri tersebut sedang mengalami huru-hura kerana akibat diserang oleh Siam. Ketika ini, ayahnya, Sheikh Abu Su’ud menjadi qadhi di Kedah dan Sheikh Abdul Qadir al-Mahdani menjadi mufti. Kedah baru sahaja dipukul oleh kekalahan akibat serangan Siam pada 1831M yang membunuh Tunku Kudin. Tetapi kali ini, semangat umat Islam dibangkitkan semula oleh penglibatan tokoh ulamak besar, Sheikh Abdul Samad al-Falembani sebagai panglima perang Kedah untuk memerangi Siam.
Sebagai anak seorang qadhi, Sheikh Mas’ud mendapat tempat dalam kepemimpinan pasukan tentera Kedah. Salah satu faktornya kerana beliau turut menguasai ilmu mempertahankan diri dan strategi perang. Tunku Muhammad Saad yang memimpin kebangkitan ini telah memberi kepercayaan kepada Sheikh Mas’ud untuk bersama Wan Wa dan Wan Mat Pulau memimpin pasukan Kedah berkubu di Chenak sebelum menggempur Singgora. Hubungan beliau sebagai cucu Sheikh Mohamad Arsyad dengan Sheikh Daud al-Fathani yang juga gurunya di Mekah telah memudahkan beliau memimpin tentera Kedah yang bergabung dengan tentera Patani dan Reman di Chenak.
Jihad Kedua ke Atas Siam
Tokoh utama gerakan jihad ini ialah Tunku Muhammad Saad Tunku Daud, sepupu Tunku Kudin. Sejak 1835M, Sultan Ahmad Tajuddin telah mengatur usaha-usaha untuk bangkit semula yang berpusat di Beruas, Perak. British yang tidak senang dengan peranan sultan, berusaha memindahkan baginda ke Melaka dan mengugut Raja Muda Perak yang cuba menyokong Kedah.Tunku Muhammad Saad dilantik sebagai ketua untuk mengatur pergerakan rakyat Kedah bersama bersama beberapa pemimpin wilayah seperti Setul, Langkawi dan Kayang (Perlis). Satu pertemuan diadakan di pada 24 Mac 1838M di Sungai Merbuk dan Sungai Muda yang diaturkan oleh Tunku Muhammad Saad dan Dato’ Wan Mohamad Ali. Pertemuan ini dihadiri oleh Dato’ Wan Mohamad Ali dari Langkawi, Tunku Mohamad Taib dan Tunku Mohamad Akil (Setul), Syed Hussein dan Wan Mohamad Arsyad (Kayang) serta kerabat utama iaitu Tunku Abdullah dan Tunku Sulaiman.
Beberapa panglima telah dilantik antaranya Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Tok Mo Ris (Bomoh Idris dari Kubur Panjang), Dato’ Syahbandar Wan Daud (Baling), Dato’ Madi (Bandar Baru) dan Sheikh Mas’ud anak Qadhi Abu Su’ud. Pergerakan bermula Mei 1838M di mana bermula dengan serangan ke atas Siam di sempadan Kedah di Kuala Muda. Kemudiannya mereka menyerang Kota Kuala Kedah pada awal Ogos 1838M. Setelah itu, kubu Siam di Alor Ganu pula diserang, sebelum mereka terus bergerak ke Chenak dan Haddyai untuk menyerang Singgora.
Sheikh Abdul Samad berkubu di Haddyai, sedangkan Sheikh Mas’ud menyertai Tunku Mohammad Saad, Wan Wa dan Wan Mat Pulau mara ke Chenak dan bergabung dengan tentera Reman dan Patani. Siam yang terkejut dengan serangan ini telah menggempur tentera Melayu melalui Raja Ligor dan Raja Singgora dengan dibantu oleh orang Melayu dan Cina. 150 orang telah syahid dan kubu Kedah telah pecah. Turut syahid ialah Sheikh Mas’ud. Jenazahnya sebagai panglima dikatakan telah dicincang oleh Siam. Setelah itu, pasukan Kedah di Haddyai juga tutut kalah, diikuti oleh serangan Siam ke atas Alor Ganu dan Kuala Kedah dengan bantuan British. Walaupun Kedah kalah, usaha ini memaksa Raja Siam melantik Tunku Anom sebagai Gabenor Saiburi (Kedah) mengganti gabenor berbangsa Siam dari Ligor, seterusnya memerdekakan Kedah pada 1842M.
Perjuangan Disambung
Kesyahidan Sheikh Mas’ud di Singgora pada hujung Ogos 1838 menjadi salah satu faktor pecahnya kubu Kedah setelah 20 hari bertempur. Walau bagaimanapun, perjuangan ini tidak terhenti di situ kerana Sheikh Mas’ud mempunyai empat anak iaitu Muhammad Tayyib, Saerah, Muhammad Zain dan Baharuddin. Muhammad Tayyib yang sudah menjadi ulamak ketika ayahnya syahid adalah penulis kitab Miftahul Jannah fi Bayan al-Aqidah (1832M), sebelum dilantik sebagai Mufti Kedah pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah (1853-1879M). Sebagai mufti beliau menulskan sebuah karya politik Islam, Liqaz al-Ghafilin wa an-Nasihat as-Salatin untuk memandu Sultan Kedah. Anak mufti ini, Haji Mohamad Nasir adalah ayah kepada Tuan Hussein Kedah, ulamak besar yang masyhur itu, sekali gus menjadi datuk kepada Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, Ketua Dewan Ulamak PAS yang memenangi Pilihan Raya Umum 1955M. Lihat
https://m.facebook.com/paspusat/posts/1394015243948549 . Antara anak Tuan Guru Haji Ahmad pula ialah Tuan Guru Haji Ali (Pak Long) Pokok Sena dan Haji Najib Ahmad, Yang Dioertua PAS Bandar Tun Razak.
MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
10 Ramadhan 1441 / 2 Mei 2020