Home Artikel PAS Pusat

Sheikh Abdul Samad Al-Falembani: Syahid Ketika Menghalau Siam

274
SHARE


RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441

Siri 4
https://m.facebook.com/mohdfadlighani

SHEIKH ABDUL SAMAD AL-FALEMBANI: SYAHID KETIKA MENGHALAU SIAM


KEJAYAAN Siam menakluk Patani dan membunuh Sultan Mohammad, Sultan Patani pada 1786M telah mengancam kedudukan seluruh negeri Melayu di utara. Setelah berhasil menguasai Singgora (Songkhla) dan Patani, Siam melanjutkan ekspedisi mereka dari Legur (Ligor atau Nakhom Si Tamarat) untuk menguasai wilayah Kedah. Pada masa ini negeri Kedah memanjang dari Kedah sekarang hingga ke Ujung Sanglang (Phuket, Thailand) dan Grabi (Krabi, Thailand) terus ke Tanah Seri (Tennasirim, Myanmar). Kawasan di pantai timur Segenting Kra seperti Cahaya (Chaya) dan Terang (Trang) hingga ke Singgora, Chenak (Channa) dan Tiba (Thepa) hingga ke Patani telah jatuh ke tangan Siam lebih awal.

Kejatuhan Patani telah menyebabkan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II (1710-1778M) telah meminta bantuan Francis Light untuk membantu Kedah jika diserang Siam, dan sebagai tukarannya, Kedah membenarkan British menduduki Pulau Pinang pada 1786M. Di sebelah utara, Perang Burma-Siam 1785-1786M telah tamat dan Siam mulai masuk ke wilayah Kedah, sehingga pada 1821M, Siam telah menduduki Kuala Kedah. Ternyata Francis Light tidak membantu Kedah sehingga seluruh wilayah Kedah jatuh ke tangan Siam dan Kedah mulai dibahagikan kepada empat wilayah iaitu Kedah, Kubang Pasu, Perlis dan Setul (Satun). Pulau Pinang dan Seberang Perai pula jatuh ke tangan British ekoran kekalahan Kedah dalam perang pada 1800M.

Kedah Bangkit: Ulamak di Barisan Hadapan

Perjanjian Burney 1822M yang berlangsung antara British dan Siam untuk mengesahkan wilayah masing-masing yang telah dijajah dan British tidak akan campur tangan dalam wilayah Siam. Menyedari keadaan ini, Kedah yang tewas oleh serangan kilat Raja Ligor, Phya Buri Sakmuton pada 12 November 1821M terpaksa mengatur langkah balas. Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II (1803-1843M) terpaksa berundur ke Pulau Pinang. Gerakan kebangkitan di susun oleh anak saudara baginda, Syed Zainal Abidin yang lebih dikenali sebagai Tengku Kudin pada 1831. Baginda mempunyai pertalian darah dengan Palembang.

Mufti Kedah, Sheikh Abdul Abdul Qadir Abdul Jalil al-Mahdani pula telah telah menghubungi ulamak-ulamak Melayu di Tanah Suci, khususnya abangnya sendiri, Sheikh Abdul Samad al-Mahdani al-Falembani untuk membantu Kedah membebaskan wilayahnya. Hasil daripada ajakan ini, maka “turunlah” para ulamak Mekah ke Tanah Melayu untuk berjihad ke atas Siam. Antara tokoh utama yang turun dari Mekah ialah Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Mas’ud al-Banjari (anak Sheikh Muhamad Arsyad al-Banjari) dan Sheikh Daud Abdullah al-Fathani.

Gerakan jihad ke atas Siam disusun oleh Tengku Kudin pada 1831M untuk menyerang Singgora dari Kedah. Tengku Kudin turut mengaturkan supaya ulamak Patani bergerak bersama rakyat Patani dan bertemu di Singgora. Apabila Raja Ligor mendapat tahu bahawa Kedah telah bangkit, dia mengarahkan Raja Jering berketurunan Cina-Siam, Nai Phai untuk mengerahkan raja-raja Melayu dari Pattani, Nongcik, Jalor, Legeh, Teluban dan Reman membantu Siam. Kecuali Legeh dan Reman, raja-raja negeri lain terpaksa mengikut arahan Siam untuk mengumpulkan rakyat dan bergerak ke Singgora membantu Siam.

Berdarah Arab, Kelahiran Palembang, Bermukim di Mekah, Berjihad di Kedah dan Syahid di Chenak

Salah seorang ulamak besar yang terlibat dalam gerakan jihad ini ialah Sheikh Abdul Samad al-Falembani. Ayahnya, Sheikh Abdul Jalil bin Abdul Wahab bin Ahmad al-Mahdani adalah seorang ulamak dari Yaman. Beliau adalah guru kepada Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin (1710-1778M) dan dilantik sebagai Mufti Kedah (1710-1782M). Dari isterinya di Palembang, Raden Ranti, beliau memperolehi anak, Sheikh Abdul Samad. Sedangkan isterinya di Kedah, Wan Zainab beliau memperolehi Sheikh Abdul Qadir Mufti Kedah itu dan Datuk Wan Abdullah.

Sheikh Abdul Samad dilahirkan sekitar tahun 1715M iaitu beberapa tahun selepas Sheikh Abdul Jalil dilantik sebagai Mufti Kedah dan beliau ke Palembang selama tiga tahun. Beliau dilahirkan di Palembang, tetapi membesar di Kedah. Setelah pendapat pendidikan dari ayahnya, beliau dan dua saudaranya dihantar ke Pondok Pauh Bok, Patani untuk belajar. Guru utamanya ialah Sheikh Abdul Rahman Abdul Mubin Pauh Bok. Selepas itu beliau belajar di Mekah dan Madinah.

Antara guru utamanya di Tanah Suci ialah Sheikh Muhamad Zain Jalaluddin Aceh, Sheikh Ataullah Mesir, Sheikh Abdul Karim as-Saman al-Madani dan ramai lagi, kerana beliau bermukim ilmu di Mekah dan Madinah selama 35 tahun. Antara teman perguruan beliau ialah Sheikh Muhamad Arsyad al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Bugis, Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Abdul Rahman al-Masri, Sheikh Muhammad Nafis al-Banjari, Sheikh Mohamad Ali Aceh dan lain-lain.

Setelah 35 tahun bermukim ilmu di Hijaz, Sheikh Abdul Samad pulang ke Nusantara kali pertama, tetapi tidak ke Kedah. Beliau menziarahi Betawi (Jakarta) kemudian ke Palembang. Setelah itu, beliau kembali ke Mekah kerana bencikan Belanda dan menjadi guru di sana selama puluhan tahun. Beliau juga menulis pelbagai kitab, dan yang paling terkenal ialah Siyarus Salikin dan Hidayatus Salikin yang masih dibaca hingga kini.

Bermula Dengan Karya-karya Jihad

Ketika berada di Mekah, kemarahan Sheikh Abdul Samad terhadap penjajahan Belanda ke atas bumi Melayu telah membuatkan beliau mendorong murid-muridnya berjihad. Bumi Patani tempat beliau belajar telah jatuh ke tangan Siam pada 1786M, bumi Palembang tempat kelahirannya telah dimasuki oleh Belanda pada 1742M, kemudian Inngeris pula cuba menguasai pada 1811-1815M dan akhirnya jatuh ke tangan Belanda pada 1821M. Di Kedah, setelah British masuk pada 1786M, Siam pula menyerang pada 1821M.

Memandang pada perkembangan ini, Sheikh Abdul Samad telah menuliskan sebuah karya yang mendorong umat Islam berjihad dengan tajuk “Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mukminin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah” pada 1772M. Setelah itu, beliau menulis pula “Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafiah fi Jihad fi Sabilillah.” Karya terakhir ditulis oleh beliau pada saat perang sedang berkobar di Kedah bertajuk “Puisi Kemenangan Kedah.” Puisi ini asalnya ditulis pada sehelai sutera dalam bahasa Arab sepanjang 10 baris dan dijadikan panji-panji dalam perang tersebut.

Pada 1772M, Belanda telah menyerang beberapa kerajaan Islam di Jawa, termasuk Mataram dan Singasari. Untuk menyokong jihad mereka, Sheikh Abdul Samad telah mengirimkan dua surat sokongan dari Mekah. Pertama ditujukan kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram, dan kedua kepada Susuhanan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Raja-raja ini didorong supaya berjihad ke atas Belanda.

Berjihad ke Atas Siam

Ketika serangan Siam ke atas Patani dan wilayah Kedah di utara berlaku, Sheikh Abdul Qadir Mufti Kedah telah mengirimkan surat ke Mekah memberi tahu keadaan negeri mereka yang terancam. Sepupu Sultan Kedah, Tengku Mohamad Saad juga sedang belajar di Mekah ketika ini. Beberapa ulamak seperti Sheikh Abdul Samad, Sheikh Mas’ud al-Banjari dan Sheikh Daud al-Fathani telah bergerak balik ke Tanah Melayu bersama Tengku Mohamad Saad. Sheikh Abdul Samad dan Sheikh Mas’ud ke Kedah, sedangkan Sheikh Daud ke Patani. At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah mencatatkan peristiwa perang ini dan peranan Sheikh Abdul Samad di dalam perang ini.

Setelah mereka sampai di Kedah pada 1 Muharram 1244H (1829M), Tengku Mohamad Saad bersama Tengku Kudin serta Sheikh Abdul Samad, Sheikh Abdul Qadir Mufti dan Dato’ Kerma Jaya Langkawi telah mengumpulkan hulubalang dan bermuafakat untuk menguasai semula Kota Kuala Kedah. Setelah berhasil melakukannya pada 1831M, mereka kemudian menyerang wakil Siam di Alor Ganu sehingga Siam itu lari ke Ligor. Kemudian mereka terus bergerak ke Haadyai (dalam negeri Singgora) untuk terus mara ke Bandar Singgora.

Orang-orang Patani dari lima negeri yang dipimpin oleh Nai Phai, Raja Jering telah bergerak ke Singgora bersama raja-raja dan para ulamak kerana dipaksa menyokong Siam. Mereka sebenarnya berpura-pura menyokong Siam. Sampai negeri Tiba, orang-orang Patani yang dipimpin oleh para ulamak termasuk Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Wan Mustafa Bendang Daya (Wazirah al-Harbiyah Patani) dan Sheikh Abdul Wahab (Hulubalang Tok Nik Hab) telah beralih arah dan menyokong tentera Kedah. Mereka bergabung di Chenok dan bertempur dengan Siam di Singgora.

Perang yang disebut sebagai Musuh Pattani ini berlaku dalam tahun 1832M. Ia adalah yang terhebat dalam sejarah Patani. Ketika Siam hampir kalah, satu ketumbukan tentera Siam datang dari arah belakang dan mengepung mereka di Singgora. Dalam perang ini, Tengku Kudin, Tok Nik Hab dan Sheikh Abdul Samad antara yang gugur syahid. Disebut dalam banyak riwayat bahawa Sheikh Abdul Samad “ghaib” dalam perang ini. Kubur beliau kini terletak di Chenok, sekitar 20km di selatan Songkhla.

Perjuangan jihad Sheikh Abdul Samad sangat menarik. Beliau bukan hanya menyeru pemimpin Melayu berjihad dan menuliskan karya-karya jihad, tetapi beliau berada sendiri di barisan hadapan medan jihad. Bahkan beliau berperang dalam usianya sudah mencecah 100 tahun. Dah Allah menganugerahkan syahid kepadanya.

Perang ini walaupun telah memperlihatkan jihad yang sangat besar oleh para ulamak dari Kedah dan Patani, tetapi kemudiannya bertukar menjadi mimpi ngeri kepada Patani dan Kedah. Kedah hilang seluruh wilayahnya yang asal dan tinggal hanya Kedah sekarang, manakala raja-raja Islam di bawah naungan Kedah telah dibunuh oleh Siam. Adapun di Patani, kerana sebab ini, Siam yang telah memecahkan Patani menjadi tujuh negeri pada 1816M, telah melantik pula “raja-raja patung” untuk melemahkan perjuangan umat Islam. Akhirnya, pada 1902M, enam raja Melayu telah dilucutkan hak mereka dan seluruh wilayah terjajah hingga kini.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
4 Ramadhan 1441 / 27 April 2020