PEMANDU MABUK : KERAJAAN PERLU BERTEGAS DALAM KES JENAYAH
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang (DPPKK) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah meninggal dunia ketika menjalankan tugas di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
Koperal Safwan, 31, terkorban selepas sebuah pacuan empat roda merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada jam 2.11 pagi 3 Mei 2020.
Kejadian pemandu mabuk atau pengguna dibawah pengaruh alkonol bertindak merempuh dan membunuh pengguna jalanraya dilihat menjadi acap kali dalam kes jalan raya pertama bahkan ianya sudah berulangkali terjadi. Namun, sehingga kini, hukuman yang sedia ada seolah-olah tidak mampu mengawal dan mengekang semua yang berlaku tanpa ada keputusan yang baik.
Di dalam Al-Quran Allah SWT menegaskan kepada umat Islam khususnya berkaitan keburukan dan pengharaman arak, bahkan ianya juga arahan yang menunjukkan “tegahan keras” agar umat Islam patuh dengan perintah Allah SWT. Ianya juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada golongan bukan Islam, tentang buruknya salah guna alkohol yang berlebihan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ma’idah 90 :
(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَیۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسࣱ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّیۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ)
“ Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
DPPKK mendesak agar tindakan tegas dari pihak kerajaan kepada pelaku dan penguatkuasaan undang-undang yang berat perkara berkaitan air kencing syaitan ini. Ianya bukan kes baru, bahkan kes ini telah berlanjutan tanpa penyelesainya dari zaman kerajaan Pakatan Harapan.
DPPKK bersetuju dengan cadangan daripada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menuntut hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan nahas korban khususnya bagi pengguna jalan raya apatah lagi ianya berlaku ke atas anggota keselamatan yang bertugas untuk keselamatan COVID-19.
DPPKK juga mencadangkan kepada pihak kerajaan dibawah kepimpinan YAB Perdana Menteri untuk mengkaji semula lesen-lesen kilang arak yang berada di tanah air kita. Hadkan pengeluarannya bahkan diperketatkan untuk dijual pada premis yang tertutup sahaja. Jikalau ada taikon atau penjual yang tidak mengambil peduli dalam hal ini, tindakan undang-undang perlu dikenakan secara langsung tanpa ada budi bicara.
Biarlah kita bertegas dengan undang-undang, jangan sampai ramai lagi terkorban disebabkan ketidaktanggungjawaban kita terhadap rakyat Malaysia. Setiap kita cintakan kebaikan bahkan kebaikan itu jugalah sebagai penanda aras untuk kita hidup secara bersatu padu menentang kezaliman dan budaya samseng yang tidak sihat.
Semoga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail digolongkan dikalangan orang beriman dan soleh, Al-Fatihah.
Muhammad Salihin Bin Abdullah
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang
11 Ramadhan 1441 H bersamaan 04 Mei 2020