RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441
Siri 8
https://m.facebook.com/mohdfadlighani
TUNKU KUDIN: SYAHID KETIKA MENGUSIR SIAM DI KEDAH
KEDAH merupakan negeri Melayu yang paling malang dalam sejarah Malaysia. Negeri ini mempunyai sejarah yang panjang dan dikaitkan dengan tamadun Sungai Batu atau Lembah Bujang (500SM), sebelum ia muncul sebagai pusat perdagangan yang besar. Orang China menyebut Kedah sebagai Yeh-po-ti atau Chieh-cha, manakala orang India menyebutnya sebagai Kadaram atau Kalagam, sedangkan orang Arab menyebutnya sebagai Kalah atau Qalha. Orang Barat yang datang kemudian memanggil Kedah sebagai Quedah, Quedaram, Kheddah atau Gedda. Hikayat Merong Mahawangsa mencatatkan Kedah mempunyai kerajaan yang besar sejak awal abad Masehi yang dikenali sebagai Langkasuka.
Data-data yang kabur menyebutkan adanya kerajaan-kerajaan Melayu yang besar dari utara Semenanjung hingga ke sempadan Bangkok antara abad pertama hingga ke-13M. Antaranya Yavadipa, Langkasuka, Sampugita, Sriwijaya, Jawaka dan Malayur. Akibat serangan Siam Ayutthya pada 1292M, negara-negara Melayu seperti Negara Prathama (yang paling utara, bersempadan dengan Bangkok iaitu di Ratchburi sekarang) hingga ke Negara Sri Dharmaraja (Legor atau Tambralingga, kini Nakhon Si Thammarat) telah jatuh ke tangan Siam secara berperingkat sehingga membawa kepada kekalahan Patani pada 1786M.
Negeri-negeri Melayu di Segenting Kra ini telah dijajah oleh Siam sebelum abad ke-18M. Sebelum itu, negeri Melayu utara terbahagi dua. Pertama, negeri pantai timur (dari Singgora hingga Terenggaru) berada di bawah Kerajaan Patani. Kedua, negeri pantai barat (dari Tanah Seri hingga Prai) berada di bawah Kerajaan Kedah. Dengan penaklukan Burma dan Siam pada abad ke-18M, Kedah hilang semua wilayahnya, bermula dengan Tanah Seri (Tenasserim) yang jatuh ke tangan Burma, kemudian kerajaan-kerajaan yang bernaung di bawah Kedah bermula dari Segenting Kra (Kera) dijajah satu-persatu pada zaman Rama I. Wilayah-wilayah itu dikenali sebagai Chumpon (Chupak), Ranong (Randung), Surat Thani (Surat atau disebut juga Chaiya – Cahaya), Phang-nga (Bunga atau Kuala Bunga), Phuket (Bukit), Krabi (Graibi), Trang (Terang) dan Satun (Setul) pada hari ini semua telah bertukar menjadi jajahan Siam.
Kedah Terjajah: Gerakan Kebangkitan
Setelah wilayah-wilayah Kedah di utara bersama Pattani jatuh, Siam menggunakan alasan Kedah tidak membekalkan makanan dalam perang Siam-Burma, untuk menyerang Kedah. Raja Ligor telah membawa 7,000 tentera ke Trang, kemudian melanggar Kuala Kedah secara mengejut pada 12 November 1821M. Sultan Ahmad Tajuddin terpaksa berundur ke Seberang Prai, manakala Bendahara, Tunku Jam Jam dan Tunku Yaakub (putera Sultan Kedah) ditahan oleh Siam dan dibawa ke Singgora. Dato’ Syahbandar, Dato’ Temenggung dan Dato’ Laksamana pula telah terbunuh. 1,000 rakyat Kedah ditawan untuk dijadikan hamba di Bangkok. Anak Raja Ligor dilantik menjadi Gabenor Kedah, dan pada 1826M, British mengakui kekuasaan Siam ke atas Kedah melalui Perjanjian Burney.
Setelah lima tahun dijajah, pada 1826M, Tunku Kudin, anak saudara Sultan Kedah telah mengatur satu gerakan ke atas Siam di Kuala Kedah bersama beberapa pembesar yang lain. Serang pertama dibuat pada 1829M tetapi gagal kerana pergerakan mereka telah diketahui oleh Siam. Pada awal 1830M, satu gerakan jihad ke atas kafir Siam dilancarkan oleh Tunku Kudin, sehingga mereka berjaya menduduki Kota Kuala Kedah pada 1831M, lalu Siam terpaksa berundur ke Alor Ganu. Ekoran itu, Raja Ligor telah menghantar tentera ke Kedah pada Jun 1830M dan bergabung dengan Siam di Alor Ganu. Mereka kemudiannya berjaya menghancurkan pasukan Tunku Kudin dan ramai tentera Melayu telah syahid, termasuk Tunku Kudin.
Tunku Kudin: Pahlawan Kedah Yang Syahid
Tunku Kudin adalah nama panggilan bagi Syed Zainal Abidin bin Raden Syed Mohamad az-Zahir bin Pangeran Hussein Shahabuddin bin Habib Mohamad Zahir yang berdarah ulamak dari Yaman. Datuknya, Pangeran Hussein telah mengahwini Raden Nayu Jendul, puteri Sultan Mahmud Badaruddin, Sultan Palembang, iaitu ibu ayahnya. Kemudian ayahnya berhijrah ke Kedah dan mengahwini Tunku Hitam, puteri Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1797M). Dengan hubungan ini, Tunku Kudin adalah anak saudara kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1797-1843M). Beliau yang dilahirkan pada 1790M adalah berketurunan ulamak di sebelah bapanya dan telah mendapat pendidikan agama yang mendalam di Kedah sehingga banyak catatan mengatakan beliau seorang ulamak di dalam Istana Kedah.
Tunku Kudin terkesan serangan Siam di Kuala Kedah pada 1821M yang menyebabkan Kedah terjajah. Sebagai tindak balas, Tunku Kudin telah memimpin satu ketumbukan tentera Sultan Kedah untuk menyerang kepentingan Siam di Perlis pada 1823M, kemudiannya menyerang Krian pada 1824M yang memaksa British mengusirnya pada 1825M. Setelah Perjanjian Burney dimaterai pada 1826M dan British mengiktirafan penjajahan Siam, Tunku Kudin mengatur gerakan yang baru. Dalam tahun 1826M itu, Tunku Kudin telah menyusun gerakan untuk menyerang Kota Kuala Kedah bersama Tunku Long Putih dan Tunku Sulaiman. Tetapi serangan ini dapat dipatahkan oleh Siam.
Pada 1829M, Tunku Kudin bersama Tunku Jaafar, Tunku Long Putih dan Tunku Dagang telah mengatur gerakan dari Seberang Prai bersama Panglima Hassan, Mis, Che Rio, Awang Lahal dan Che Akil. Mereka menyerang Siam di Kedah, tetapi tidak berhasil, kerana maklumat mereka telah bocor dan Siam dapat bertindak balas. Sikap aggresif Tunku Kudin juga telah menyebabkan Siam berusaha membunuhnya termasuk membakar rumahnya pada 1831M. Isteri dan tiga anaknya terbunuh dalam kejadian ini. Pembunuhan keluarganya tidak mematikan semangat Tunku Kudin, kerana sejak Januari 1830M, beliau berhasil mengumpulkan 5,000 pengikut di Perai dan bergerak ke Kedah untuk mengumpulkan kekuatan. Pada Januari 1831M, beliau melancarkan gerakan jihad ke atas kafir Siam dengan menyerbu dan menawan Kota Kuala Kedah pada 24 April 1831M.
Kejayaan gerakan jihad ini menyebabkan tentera Siam berundur ke Alor Ganu. Raja Ligor, kemudiannya memimpin 7,500 tentera Siam bergerak ke Kedah bersama 3,000 gajah. Di Alor Ganu, mereka telah bergabung dengan tentera Siam di Kedah dan melancarkan serangan ke atas Kota Kuala Kedah. Pertempuran sengit telah berlaku antara kedua-dua pihak dan sekitar 50 orang tentera Melayu terbunuh. Pasukan Melayu tewas apabila Tunku Kudin syahid ditembak oleh Siam. Jenazahnya dikatakan telah dicincang oleh Siam dan kepalanya dipancung untuk dibawa ke Bangkok. British yang berpihak kepada Siam dalam perang ini telah menangkap pejuang-pejuang Melayu dan mengisytiharkan mereka sebagai lanun.
Kekalahan Kedah pada Jun 1831M ini ternyata tidak memudarkan semangat jihad tentera Kedah. Pada 1837M, sepupu Tunku Kudin, Tunku Muhamad Saad telah memimpin gerakan baru yang telah menyerbu Siam hingga ke Singgora. Walaupun Tunku Kudin gugur dalam perjuangan ini, tetapi jihadnya telah memberi kesan buruk kepada Siam dan akhirnya, pada 1843M Siam terpaksa menyerahkan semula Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin. Di pihak Kedah pula, kekalahan mereka kepada Siam telah menghilangkan haknya ke atas Perlis dan Setul.
MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
8 Ramadhan 1441 / 1 Mei 2020