?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 1
Ayat 1-3 : Seruan Agung untuk Nabi agar Mentaati Manhaj Ilahi
Pengenalan Surah:
Surah ini adalah surah Madaniyah yang mengandungi 73 ayat, diturunkan pada tahun kelima Hijrah. Tema umum bagi surah ini adalah membicarakan berkenaan etika kemasyarakatan dan kekeluargaan Islam, di samping asas-asas aqidah yang menunjukkan perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Islam daripada kebiasaan di zaman Jahiliyah. Antara perincian yang dibahaskan adalah berkenaan adab orang-orang Mukmin dengan Rasulullah SAW serta keluarga baginda, penghapusan adat resam Jahiliyyah yang bercanggah dengan Islam, hukum zihar, anak angkat, perkahwinan, hijab wanita Muslimah, peristiwa peperangan Ahzab dan Bani Quraizah dan kisah orang Munafiq serta perlakuan mereka di dalam masyarakat.
? Firman Allah serta terjemahannya:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللَّهَ وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
وَاتَّبِعْ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ وَكِيلًا
Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
? Tafsir ringkas:
1. Sebelum menjelaskan pelbagai adab dan hukum hakam ke atas orang-orang Islam yang terdapat dalam surah ini, Allah SWT memulakan surah ini dengan memberikan beberapa arahan kepada Rasulullah SAW.
2. Pertama, Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW supaya sentiasa bertaqwa kepada-Nya iaitu mentaati Allah dengan melaksanakan perintah-Nya agar mendapat pahala dan meninggalkan maksiat kerana takutkan balasan azab daripada-Nya. Kedua, Allah SWT juga melarang Rasulullah SAW daripada mengikuti kehendak orang-orang kafir dan munafiq, juga daripada menerima cadangan dan buah fikiran mereka serta tunduk kepada desakan dan tekanan mereka. Allah SWT menegaskan bahawa hanya Dialah yang berhak ditaati dan dipatuhi kerana Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
3. Ketiga, Allah SWT juga memerintahkan supaya Rasulullah SAW hanya mengikut apa yang diwahyukan kepada baginda melalui Al-Quran dan Sunnah. Kewajipan menurut apa yang diwahyukan adalah kerana wahyu itu datang daripada Allah yang Maha Mengetahui hakikat segala apa yang kita lakukan. Seterusnya, Allah memerintahkan Rasulullah SAW supaya bertawakal kepada-Nya dengan menyerahkan seluruh urusan kepada-Nya dan meletakkan kepercayaan penuh kepada naungan dan pertolongan-Nya.
4. Kesemua perintah di atas adalah asas kepada semua etika, hukum-hakam, peristiwa dan peraturan yang disebutkan di dalam surah ini iaitu dasar kesedaran hati terhadap kebesaran Allah dan penyerahan mutlak kepada kehendak iradatNya, juga mengikut sistem hidup yang dipilih oleh Allah sahaja. Walaupun perintah dalam ayat-ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW, ia juga terpakai kepada semua orang beriman. Jika Rasulullah SAW yang ma’sum diperintahkan sebegitu rupa, apatah lagi orang lain.
? Pengajaran:
1. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, kita wajib bertaqwa kepada Allah dengan mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada baginda.
2. Janganlah kita tunduk kepada kehendak orang-orang kafir dan berasa lemah apabila melihat kehebatan dan kekuatan mereka. Kita juga tidak sepatutnya tunduk kepada peraturan dan sistem ciptaan mereka yang menyalahi Syariah.
3. Yakinlah dengan kebenaran dan kesempurnaan ajaran Islam yang bersumberkan Quran dan Sunnah kerana ia adalah wahyu daripada Allah. Oleh itu, berusahalah untuk menyebar ajaran Islam dan menegakkan hukum Islam dalam kehidupan kita.
4. Sebagai da’ie, tanggungjawab kita adalah untuk terus menyampaikan ajaran Islam dan berusaha bersungguh-sungguh menegakkan Syariat. Selebihnya hendaklah kita bertawakkal kepada Allah dan menyerahkan segala urusan kepada Allah untuk menentukan hasilnya.
? Rujukan:
1. Tafsir Ibn Kathir
2. Tafsir Munir
3. Tafsir Fi Zilal Al Quran
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
24 April 2020 / 1 Ramadhan 1441