Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini menyaksikan penyebaran maklumat berlaku dengan cukup pantas kepada masyarakat secara lebih berkesan dalam pelbagai bentuk.
Mengambil kira akan hal ini, Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis (DUPNPs) telah memperkenalkan program Jilsah Dhuha Ramadhan Al Mubarak 1441H yang boleh ditonton secara atas talian.
Program berkonsepkan bimbingan Ramadhan ini mula bersiaran pada hari ini dan boleh ditonton menerusi laman Facebook DUPNPs di pautan https://www.facebook.com/UlamakPerlis.
Ketua DUPNPs Ustaz Hj. Idris Yaacob berkata, program berkenaan adalah inisiatif bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis dan Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Negeri Perlis dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadhan dengan aktiviti-aktiviti keilmuan.
“Setiap hari, bermula jam 9.30 pagi, pelbagai topik menarik sekitar Ramadhan akan disampaikan kepada para penonton oleh para pimpinan PAS serta ilmuan jemputan.
“Dengan adanya program seumpama ini, adalah diharapkan dapat membantu para penonton dalam melengkapkan diri mereka dengan ilmu-ilmu baharu khususnya yang berkaitan dengan ibadah dalam bulan Ramadhan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.