KENYATAAN MEDIA PAS KAWASAN SANDAKAN
PROJEK BANTUAN KECEMASAN DIHENTIKAN BUAT SEMENTARA WAKTU
29 Mac 2020 | 4 Syaaban 1441H
(1) Dukacita dimaklumkan, projek Bantuan Kecemasan yang menyasarkan asnaf dan golongan terputus bekalan makanan di daerah Sandakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, dihentikan buat sementara waktu.
(2) Ia termasuklah aktiviti penyerahan sumbangan bantuan makanan kepada penerima dan ‘crowdfunding’ bagi mengumpul dana projek ini.
(3) Projek ini dihentikan buat sementara waktu susulan nasihat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agar Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tidak dibenarkan mengagih makanan secara terus kepada penerima sebaliknya hanya dibenar menghantar sumbangan makanan ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil kira situasi yang sedang dihadapi kini.
(4) Justeru, pihak kami memohon maaf kepada semua keluarga yang telah membuat permohonan kepada kami kerana tidak dapat menghantar bekalan makanan berkenaan kepada kalian disamping kekangan dana yang tidak mencukupi.
(5) Namun PAS Sandakan sentiasa komited untuk membela nasib keluarga yang terputus bekalan ini dan mengharapkan pihak kerajaan dapat mengambil jalan tengah agar para asnaf dan golongan terputus bekalan makanan ini terus dibantu.
(6) Hanya kepada Allah kita berserah dan mendoakan agar semua pihak yang terlibat khususnya keluarga yang terputus bekalan makanan ini dapat bersabar dan dipermudahkan segala urusan.
(7) Sebarang maklumat dan perkembangan terkini mengenai perkara ini akan dimaklumkan dari masa ke masa. Insya’ Allah.
Sekian, terima kasih.
MUSTAMAN BIN MUSTAIN
Pengarah Bantuan Kecemasan,
Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan,
PAS Kawasan Sandakan.