Oleh : Mustaman Bin Mustain
25 Mac 2020
SANDAKAN : PAS Sandakan bertindak proaktif dengan menghulurkan sumbangan barangan dapur semalam kepada sebuah keluarga asnaf di Batu 2, Sandakan yang terputus bekalan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Sumbangan berbentuk beras, lampin bayi, telur dan beberapa barang lain telah disampaikan oleh Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Sandakan, Nursyam Yahya.
Menurut Nursyam, pihaknya juga dalam usaha untuk membantu lebih ramai keluarga lain yang terjejas akibat PKP ini.
Sehubungan itu, Nursyam merayu orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan ke akaun sementara LKK PAS Sandakan, Maybank 160166276853 atas nama Norhasimah Husin bagi membantu usaha tersebut.
“Peringkat awal kita akan bantu 30 buah keluarga dulu, dalam masa yang sama sumbangan akan terus dikumpul bagi membantu lebih ramai keluarga selepas itu di sekitar Sandakan,” jelasnya.
“Sasaran sumbangan kita sebanyak RM10,000 agar dapat membantu 200 keluarga, namun sebenarnya jumlah ini sangat kecil jika dibandingkan dengan permintaan yang kami terima dari orang ramai,” tambahnya.
Ulasnya, pihaknya telah dihubungi oleh hampir 100 buah keluarga yang memaklumkan terputus bekalan makanan dan berharap mereka dapat dibantu, malah jumlah ini dijangka akan bertambah.