SELAMAT MENJALANKAN TUGAS SEBAGAI PM ke-8
Alhamdulillah istiadat angkat sumpah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam telah menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari lalu.
Marilah kita menzahirkan rasa syukur dengan penuh rasa kehambaan atas segala ketentuan Allah SWT kerana hanya Allah SWT Yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu.
فسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا
Maka bertasbihlah dengan memuji Rab kamu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat. (Surah An-Nasr:3)
Tarikh keramat 1 Mac 2020 semestinya menjadi sejarah penting negara untuk diingati oleh seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, setiap rakyat Malaysia bertanggung jawab untuk menjaga keharmonian dan perpaduan kaum sesama kita tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Kerajaan Persekutuan yang baru ini pula hendaklah mengutamakan agenda memulihkan ekonomi, merapatkan jurang rakyat yang kaya dan miskin, meningkatkan tahap pendidikan serta memastikan pembangunan yang seimbang di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Justeru, saya mewakili seluruh kepimpinan PAS Wilayah Persekutuan ingin merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-8. Semoga Tan Sri dapat melaksanakan amanah ini sebaiknya dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab mengikut lunas-lunas agama Islam.
Semoga Allah SWT sentiasa merahmati negara ini. Amin.
#IslamMemimpinPerpaduan
#MalaysiaSejahtera
#DaulatTuanku
USTAZ AZHAR YAHYA
PESURUHJAYA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
2 MAC 2020 bersamaan 7 REJAB 1441H