Home Berita PAS Wilayah

PAS Labuan gilap bakat penulis

934
SHARE

PAS Labuan gilap bakat penulis

Oleh: HASLINA HARIS

LABUAN: Bengkel Penulisan Berita telah dilaksanakan buat pertama kalinya yang disampaikan oleh Ustaz Amiruddin Mohd Rosdi, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Negeri Sabah.

Seramai 17 orang peserta telah menghadiri bengkel tersebut yang bertempat di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Labuan di sini, kelmarin. Bengkel ini juga turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan, Haji Hamir Haji Zahari dan Naib Yang Dipertua, Haji Abdul Rahim Haji Mohd Salleh.

Bengkel penulisan berita ini dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Kawasan Labuan di bawah kelolaan pengerusinya, Jenno Jamil. Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk menggilap bakat penulisan yang ada dalam kalangan ahli PAS Labuan di samping memberi pendedahan tentang teknik penulisan berita yang berkesan.

Semasa bengkel berlangsung, Ustaz Amiruddin telah berkongsi format dan teknik-teknik penulisan berita yang betul dan berkesan. Para peserta juga diberi peluang untuk menghasilkan sebuah berita semasa slot praktikal bengkel berkenaan.

Hal ini menunjukkan bahawa, PAS Kawasan Labuan komited untuk melahirkan golongan yang mahir dalam penulisan serta menyampaikan berita yang benar, pantas dan terkini bagi tatapan masyarakat umum khususnya di Labuan.

“Harapan saya, agar bengkel penulisan berita ini menjadi pemangkin untuk memperkasa kemahiran penulisan berita dalam kalangan ahli,” ujar Haji Hamir.

Majlis penutup disempurnakan oleh Haji Hamir dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah dan sijil penyertaan buat para peserta.