Oleh: Muhammad Nazri Abdullah
Bangga! Tanyalah kepada mana-mana guru di dunia ini, pasti itulah jawapan yang akan diberikan mereka, malah ada yang mengalirkan air mata kegembiraan apabila mengetahui kejayaan yang dikecapi bekas anak murid masing-masing.
Itulah juga perasaan yang terungkap dalam diri setiap guru PASTI di negeri ini saat mereka melihat insan-insan yang pernah dididik, kini menjadi antara nama penting yang mengisi ruang dalam kepimpinan PAS di pelbagai peringkat.
PASTI Darul Hidayah, Pauh Tiga Beradik misalnya, telah melahirkan Abd Hadi Halipah, yang kini merupakan Timbalan Pengarah PASTI Perlis manakala Husna Dato’ Hj Hashim pula memegang jawatan di peringkat PAS Pusat selaku Pengerusi Lajnah Antarabangsa DMPM.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Ridzuan Hashim pula adalah bekas murid PASTI Nur Zuwaidah, Kg Mua. Walaupun PASTI tersebut sudah tidak lagi wujud, namun di atas tapak yang sama telah didirikan semula PASTI baharu beberapa tahun lalu yang diberi nama PASTI Al Khairiah.
Mustaqim Abdullah dan Mohd Aniff Mohamad dari PASTI Nurul Hayah, Santan adalah penggerak aktif dalam Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) dan Lajnah Kebajikan DPPNPs sementara Syed Tareeg Assagaff (PASTI Tarbiyatul Atfal, Jejawi Dalam) pula merupakan antara tokoh penting dalam Ulama Pelapis Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis pada hari ini.
Cikgu Wan Rosni Sonan dari PASTI Ujung Guar (kini PASTI Ad Deen) sendiri tidak pernah menduga bahawa bekas pelajar yang pernah diasuhnya suatu ketika dahulu, kini adalah arkitek utama yang mencorak wajah PASTI negeri ini. Beliau yang dimaksudkan adalah Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil, Pengarah PASTI Negeri Perlis.
Siapa sangka, institusi yang terkenal dengan penekanan terhadap pendidikan agama juga mampu melahirkan seorang pegawai perubatan. Dr. Wan Redzuan Wan Hassan misalnya, seorang yang komited dengan kerjayanya di samping tetap istiqamah bersama-sama perjuangan PAS.
Hakikatnya, mereka ini hanyalah sebahagian daripada senarai panjang alumni PASTI daripada puluhan generasi sedari penubuhannya, yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Semoga penat jerih semua guru yang tidak pernah jemu mendidik, dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah S.W.T. Amin.