? Tadabbur Al Quran ?
_Siri 29/2018_
SURAH AL-KAHFI: KHIDIR MENYINGKAP RAHSIA 2: 80-82
?Firman Allah SWT serta terjemahannya:
وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا (٨٠)
_Dan adapun anak muda itu, maka keduanya ibu bapanya adalah orang-orang mukmin, dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong mereka kepada kesesatan dan kekafiran._
فَأَرَدْنَا أَنْ يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا (٨١)
_Dan kami menghendaki, supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam kasih sayangnya (kepada ibu bapanya)_
وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا (٨٢)
_Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta tersimpan” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang tersimpan itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”._
? Tafsir Ringkas:
1. Ayat ini menjawab kemusykilan Nabi Musa AS tentang peristiwa kedua iaitu mengenai tindakan Khidir membunuh seorang anak yang tidak berdosa, sedangkan Nabi Musa AS melihat perbuatan tersebut sebagai sesuatu yang dilarang oleh syariat. Dengan kata lain, apa yang dilakukan Khidir adalah menjatuhkan hukuman sebelum anak itu melakukan kesalahan atau jenayah.
2. Hikmah di sebalik tindakan Khidir itu sebenarnya berkaitan dengan masa depan anak muda tersebut yang bakal menjadi kafir dan melakukan perbuatan yang melanggar syariat sekiranya dia terus hidup. Khidir ditugaskan oleh Allah untuk membunuh anak tersebut demi melindungi keimanan kedua orang tuanya. Bila kita menerima bahawa Allah SWT adalah pencipta dan pemilik seluruh makhluk yang ada di alam semesta ini, maka sudah tentu pula kita memberikan hak kepadaNya untuk mematikan siapa saja yang diinginkanNya. Di sini, Khidir adalah petugas yang diperintahkan oleh Allah untuk melakukan hal tersebut.
3. Allah SWT memberi jaminan untuk menggantikan pemuda itu dengan anak yang lain yang lebih berbakti kepada kedua orang tuanya. Anak ini yang nantinya memberikan keturunan yang suci, beriman kepada Allah dan berbakti kepada kedua orang tuanya.
4. Ayat seterusnya menyingkap rahsia tindakan ketiga yang dilakukan oleh Khidir membaiki dinding yang hampir runtuh tanpa mendapat apa-apa upah pun. Tindakan tersebut sebenarnya adalah satu perintah untuk melindungi harta dua orang anak yatim yang tersimpan di sebalik dinding tersebut. Ayah mereka pula adalah seorang yang soleh.
5. Kalimat yang sangat penting daripada ayat ini adalah “Bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri”. Dalam ayat ini disebutkan bahawa Khidir berkata kepada Nabi Musa AS bahawa apa yang dilakukan itu bukan dari dirinya sendiri, melainkan perintah dari Allah SWT.
6. Ucapan Khidir itu mengingatkan kita akan ucapan para malaikat yang menjadi pelaksana perintah Allah. Kehidupan dan kematian mereka telah diatur oleh Allah SWT. Sementara dalam peristiwa ini, Khidir melakukan perbuatan seperti ini agar Nabi Musa AS memahami hikmah Ilahi dan tunduk di hadapan kehendak Allah SWT.
? Pengajaran:
1) Sentiasa redha menerima musibah terutamanya kematian orang yang disayangi sama ada pasangan dan anak-anak, kerana ia adalah satu pelajaran dan peringatan bahawa semuanya aturan Allah yang mahu memberi kebaikan dan kurniaan yang lebih baik untuk masa depan kita. Ingatlah bila Allah mengambil sesuatu daripada orang mukmin, maka itu pasti adalah lebih baik. Oleh itu, sentiasalah bersabar atas ujianNya.
2) Mempersiapkan harta kepada anak-anak adalah dituntut dalam Islam, sementara melindungi harta anak yatim adalah satu kewajipan malah haram mengambilnya tanpa izin syarak.
3) Sentiasalah berusaha dan gembira untuk berkhidmat dan menyantuni anak-anak yatim kerana amalan ini sangat hebat di mata Rasulullah SAW dan di sisi Allah SWT.
4) Berusahalah menjadi ibu bapa yang soleh kerana perbuatan baik orang tua akan mempengaruhi masa depan anak-anaknya. Kematian ibu bapa tidak akan melenyapkan segala amalan dan perbuatan baik mereka.
5) Peristiwa pahit dan manis yang terjadi dalam kehidupan manusia memiliki hikmah daripada Allah. Oleh kerana itu, jangan tergesa-gesa memprotes Allah atas kejadian yang menimpa kita.
6) Para alim ulama dan ilmuan hendaklah sentiasa membimbing masyarakat dalam memahami agama dan syariatNya. Jangan menyembunyi ilmu Allah. Jelaskan syariat dan hukum-hakam dengan benar, telus dan berani tanpa takut cercaan orang ramai dan jangan pula meminta-minta imbalan dan balasan.
7) Masyarakat hendaklah berusaha menghidupkan budaya ilmu di persekitarannya serta menghormati para alim ulama yang mengajarkan mereka. Perbuatan merendahkan dan memperlekeh para ulama adalah satu fenomena yang sangat tidak baik, kerana ulama yang benar dan beramal tidak akan melakukan perkara di luar perintah Allah SWT. Keberkatan akan diperolehi dari layanan baik kita terhadap para ulama.
?Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
_16 Februari 2018_ / _30 Jamadil Awal 1439_