KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
17 Jamadil Awwal 1441 l 13 Januari 2020
BANGKITLAH UMMAH, G25 PENCETUS FITNAH
Bismillahirrahmanirrahim
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh umat Islam untuk bangkit melawan dan menolak kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 yang terus menerus menyerang institusi agama dan mengelirukan masyarakat berkenaan kefahaman Islam dengan pandangan yang sesat lagi merbahaya pada konteks akidah.
2. Dalam wacana yang dilakukan, G25 terus mempertikaikan mengenai hukuman berkaitan murtad dengan alasan ia merupakan urusan peribadi seseorang dengan Tuhannya, serta menafikan hukuman duniawi ke atas kesalahan tersebut dengan berhujahkan bahawa hukuman ke atas murtad tidak terdapat ketetapan di dalam al-Quran.
3. Pemikiran songsang malah sesat ini amat merbahaya kepada akidah umat Islam kerana kedangkalan dalam memahami syariat Islam malah wujud pengaruh “anti hadith” kerana G25 juga tidak merujuk sumber hadith dalam hukuman ke atas kesalahan murtad. Sedangkan apa yang tidak diperincikan oleh al-Quran maka ia diperincikan dalam sunnah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT :
وَمَاۤ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُوا۟ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya :
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)”. – [Surah Al-Hashr : 7]
4. Malahan G25 dilihat konsisten mencabar kedudukan Islam dan kedaulatannya dalam Perlembagaan apabila turut mempertikai status dan kedudukan penubuhan agensi agama seperti JAKIM kerana tafsiran mereka dalam menghadkan bidangkuasa berkaitan agama yang lebih sempit.
5. Umat Islam diseru untuk bangkit mempertahankan isu semasa berkaitan agama Islam dan memelihara sensitivi ini dari terus dirobek oleh “tangan-tangan” jahat yang mahu menyekat perkembangan Islam di negara Malaysia. Peringatan dari Allah SWT jelas bahawa kerja musuh untuk terus memadamkan “cahaya” Allah namun sama sekali tidak akan diizinkan oleh-Nya.
Firman Allah SWT :
یُرِیدُونَ لِیُطۡفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَ ٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ
Maksudnya :
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” – [Surah As-Saf 8]
6. Sudahlah sebelum ini tulisan Jawi dicetuskan sebagai isu dan menjadi polemik yang berpanjangan oleh Dong Jiao Zong yang biadap lagi melampau, kini isu yang dibawakan oleh G25 pula sengaja “mencabar” kesabaran umat Islam dalam isu yang melibatkan hukum hakam serta institusi agama.
7. Yang lebih membahayakan dalam isu pemikiran songsang lagi sesat oleh G25 ini ialah mereka berimejkan seorang yang mengaku beragama Islam namun kedangkalan pemikiran yang mereka promosikan adalah merosakkan kefahaman Islam orang ramai. Begitu jugalah dibimbangi kumpulan lain seumpama mereka ini yang asasnya ditubuhkan kerana dibiayai dan kepentingan habuan dunia untuk melaksanakan agenda merosakkan Islam dari dalam.
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda :
«بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ. يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيْهَا مُؤْمِناً وَيُمْسِي كَافِراً. أَوْ يُمْسِي مُؤْمِناً وَيُصْبِحُ كَافِراً. يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا».
Maksudnya :
“Bersegeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah, seperti potongan malam yang gelap; seseorang menjadi Mukmin pada pagi hari tetapi kafir pada petang harinya, ia menjadi Mukmin pada petang harinya tetapi kafir pada pagi harinya; ia menjual agamanya demi meraih dunia.” – Riwayat Muslim
8. Di mana suara menteri-menteri yang beragama Islam untuk lantang bersuara? Sepatutnya merekalah yang terkehadapan dengan kuasa yang dimiliki oleh mereka untuk menjadi benteng kepada agama Allah ini bersesuaian dengan konteks realiti kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan pada Perkara 3(1) yang memperuntukkan bahawa Islam agama Persekutuan.
Sekian.
YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat