Home Berita PAS Terengganu

[Kenyataan Media] Tahun 2020 : Harapan Ameerah Malaysia Terhadap KPWKM

767
SHARE

KENYATAAN MEDIA

TAHUN 2020: HARAPAN AMEERAH MALAYSIA TERHADAP KPWKM

1. Ameerah Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas penerusan usaha-usaha sedia ada dalam memperkasakan wanita khususnya dalam sektor ekonomi, politik dan keselamatan sosial sepanjang tahun 2019. Ameerah Malaysia percaya, siapa pun yang memegang tampuk kepimpinan negara, agenda wanita tidak boleh berhenti sama sekali.

2. Namun begitu, bagi tahun 2020, Ameerah Malaysia mengharapkan agar pemerkasaan institusi keluarga menjadi agenda utama KPWKM. Setelah sekian lama Malaysia dihantui dengan masalah-masalah sosial seperti masalah seks songsang, rogol, ragut, judi, keganasan rumah tangga, pengabaian nafkah, penyalahgunaan dadah dan lain-lain lagi, sudah tiba masa KWPKM menyediakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan peranan lelaki sebagai ketua keluarga. Ameerah Malaysia yakin gejala sosial yang timbul disebabkan oleh keruntuhan institusi keluarga boleh dicegah sekiranya kaum lelaki memahami tanggungjawab mereka untuk memberi pendidikan, kasih sayang dan keselamatan kepada ahli keluarga yang berada di bawah jagaannya.

3. Ameerah Malaysia juga mengharapkan agar agenda kesaksamaan gender yang menjadi fokus KWPKM dirangka selari dengan cara pandang (worldview) dan hukum-hakam Islam. Ameerah Malaysia ingin menggesa agar Dasar Wanita Negara yang mahu disemak perlu meletakkan agama dan moral sebagai perkiraan utama dalam membuat dasar sekaligus dapat menjadi model yang boleh diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri lain. Malaysia perlu ke hadapan dalam membuktikan bahawa kesaksamaan gender tidak mustahil untuk dicapai dengan mengambil kira hikmah panduan agama.

4. Seterusnya, Ameerah Malaysia menyeru agar KPWKM memantapkan lagi kerjasama antara agensi persekutuan dan agensi negeri untuk memastikan isi kandungan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), Dasar Wanita Negara dan Pelan Bertindak Pembangunan Wanita dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

5. Seiring dengan itu, Ameerah Malaysia juga berpandangan bahawa Seksyen 37 Akta Pekerja 1955, Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak dipinda dengan segera agar cuti bersalin 90 hari dapat dilaksanakan dengan segera. Selagi akta-akta ini belum dipinda, majikan tidak boleh dikenakan tindakan sekiranya mereka enggan membenarkan pekerja wanita mengambil cuti bersalin 90 hari.

6. Akhir kata, sempena Tahun Baru 2020 Ameerah Malaysia mendoakan wanita-wanita Malaysia akan terus cemerlang dalam setiap bidang yang diceburi, di samping dapat terus bahagia berbakti sebagai isteri dan ibu yang menjadi tonggak utama institusi keluarga.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

YB Zuraida Md Noor
Ketua Pengarah Ameerah,
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
1 Januari 2020/5 Jamadilawwal 1441H