Di sebalik penganjuran-penganjuran yang dianggap melalaikan sempena menjelang tahun Baru 2020, pihak Sekretariat Adun Jengka sebaliknya telah mengatur beberapa program yang bermanfaat untuk masyarakat setempat.
Program yang bermula petang ini (Selasa) berlangsung di Dataran Jam Bandar Tun Razak Jengka dan akan berlanjutan sehingga jam 12 malam.
Menurut kenyataan oleh Adun Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim, antara program yang diatur ialah persembahan kompang, persembahan nasyid serta pertandingan dart dan memanah.
“Kemudian akan berlangsung Solat Maghrib berjamaah yang akan diimamkan oleh Timbalan Qadhi Jengka. Selepas itu, pengisian ilmu kuliah Maghrib pula akan disampaikan oleh Tuan Qadhi Daerah Maran, Ustaz Nik Ibrahim Nik Abdullah.
“Selepas solat Isyak, disajikan pula dengan persembahan kumpulan Anak Kayan, persembaham Buskers, nasyid, Qasidah, pidato daripada wakil PAS dan Umno Parlimen Kuala Krau, kemudiannya akan ditutup dengan selawat serta doa tahun baharu”.
Sementara pada sebelah pagi besok pula, bermula jam 7.30 pagi akan diadakan Fun Run, basikal serta pertandingan beyblade.
Pengunjung-pengunjung ditawarkan cabutan bertuah dengan ganjaran hadiah-hadiah menarik yg ditawarkan. Seperti telefon bimbit Vivo, basikal, barangan elektrik, buku agama dan sebagainya.
Program-program ini diharapkan dapat mengambil kesempatan dari mood tahun baru di kalangan umum untuk diarahkan kepada kesedaran dan aktiviti yang bersifat kebajikan.
Ustaz Shahril turut berharap agar program ini dapat membantu menimbulkan semangat untuk meningkatkan lagi pencapaian diri masing-masing di tahun yang mendatang.
Acara-acara menarik turut akan disiarkan secara langsung melalui Tvmakmur.