Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Tuntutan berdakwah iaitu menyeru manusia kepada Islam merupakan tuntutan syar’ie yang wajib diberi perhatian oleh setiap umat Islam.
Kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya, berdakwah merupakan tugas yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. kerana dengannya mampu mengubah manusia ke arah kebaikan serta menyelamatkan mereka daripada kesesatan manakala pelakunya (pendakwah) pula dijanjikan ganjaran oleh Allah.
Namun jelasnya, tugas sebagai pendakwah bukanlah tugas yang mudah kerana mereka (pendakwah) sudah pasti akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan sepanjang melaksanakan tugas tersebut.
Justeru beliau menggariskan tujuh sifat penting yang perlu ada pada diri setiap pendakwah agar mereka mampu melaksanakan tugas secara berkesan dan berterusan.
Sifat pertama ujar beliau, para pendakwah mestilah mengutamakan kepentingan Islam ketika berdakwah bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan kepentingan-kepentingan duniawi yang lain ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah.
Sifat kedua katanya, memiliki kesungguhan dalam memperjuangkan Islam kerana tugas menyeru manusia kepada Islam jelas beliau tidak boleh berhenti separuh jalan, sebaliknya perlu diusahakan hingga ke akhir hayat.
“Dari Mekah Baginda Rasulullah S.A.W. berhijrah pula ke Madinah dan perjuangan (berdakwah) Nabi adalah berterusan dan tidak terhenti sampailah Baginda wafat dan disambung pula oleh para sahabat,” katanya ketika berucap pada program Liqa’ Fikri anjuran Badan Perhubungan PAS Perlis di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini baru-baru ini.
Menyambung bicara, beliau menyebutkan sifat ketiga dan keempat iaitu sentiasa istiqamah dan tidak berputus asa serta memiliki ahlak yang baik kerana segala tindak-tanduk golongan tersebut (pendakwah) sentiasa diperhatikan oleh mad’u.
Sifat kelima pula menurut beliau adalah memiliki sifat pemaaf. Mengambil contoh peristiwa Fathul Makkah (Pembukaan Kota Makkah), Rasulullah S.A.W. katanya mempamerkan akhlak yang cukup hebat dengan memberikan kemaafan kepada para penentang dakwah Baginda termasuklah kepada mereka yang pernah memerangi Baginda dan para sahabat menerusi peperangan.
Para pendakwah juga tambahnya lagi, perlu memiliki sifat mengutamakan perkara prinsip (usul) berbanding perkara furu’ khasnya ketika berhadapan dengan perkara-perkara yang diperselisihkan manakala sifat ikhlas kerana Allah S.W.T. dalam setiap perkara yang dilaksanakan mereka adalah sifat ketujuh yang menurut beliau, wajib ada dalam diri para pendakwah.
“Ikhlas ini adalah rahsia diantara kita dengan Allah tapi ulamak ada menyebut sebaik-baik pemberian yang paling bernilai diberi oleh Allah kepada makhluknya ialah hidayah dan petunjuk sementara bahagian makhluk (yang diberikan) kepada Tuhan yang paling utama ialah keihklasan,” ujarnya.